BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Sime Darby Beyond Auto selaku pengedar rasmi jenama kenderaan BYD di Malaysia hari ini memperkenalkan model elektrik terbaru untuk pasaran tempatan, BYD Seal 6. Ini merupakan penawaran sedan kedua daripada BYD, diposisikan di bawah Seal, yang baru sahaja diberikan kemaskini bulan lalu.

Ini ialah model yang dinamakan semula daripada model Qin L EV di China yang menggunakan penampilan Dynasty Series (dan bukan model Seal 06 dari Ocean Series, walaupun namanya hampir sama), dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, yang terdiri daripada Dynamic dan Premium dengan harga masing-masing ialah RM100,000 dan RM115,800. Di peringkat global, ini adalah pengenalan pertama bagi model berkenaan di luar China.

Berbanding model Seal sebelum ini yang dijual dengan harga RM171,800 bagi varian Premium (Extended Range) dan RM191,800 bagi varian Performance (AWD), Seal 6 dijual dengan harga yang jauh lebih murah — melibatkan perbezaan lebih RM70,000 bagi varian paling asas.

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Dari luaran, Seal 6 mempunyai ukuran dimensi 4,720 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,495 mm tinggi, dengan jarak roda 2,820 mm. Bagaimanapun, dari aspek ini, Seal 6 lebih cenderung mirip kepada Seal 06, dengan hanya melibatkan perbezaan lebar yang lebih 20 mm: ia bahkan menggunakan e-platform 3.0 Evo yang sama dengan Seal 06.

Berbanding dengan Seal pula, Seal 6 sedikit lebih pendek dan kurang lebar, tetapi lebih tinggi — 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak roda 2,920 mm. Jika hanya merujuk kepada saiz dimensi, Seal 6 disifatkan sebagai sedan paling besar dalam segmen C di sini, dan sedikit lebih besar berbanding model-model seperti Honda Civic, Toyota Corolla Altis, Proton S70 dan Mazda 3.

Bagi varian Dynamic, ia mempunyai jarak kelegaan tanah 165 mm dan berat 1,780 kg, sementara untuk Premium ialah 1,800 kg — yang berkemungkinan disumbang oleh pertambahan bumbung panoramik. BYD turut kongsikan angka ketahanan torsional sedan ini ialah 31,167 Nm, dengan memanfaatkan rekaan casis cell-to-body.

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Dari segi rekaan luaran, sekilas pandang varian Dynamic dan Premium nampak sama. Yang membezakannya hanyalah bumbung panoramik untuk Premium, yang boleh dibuka (tidak boleh dibuka untuk Seal) dan rim 18-inci (dengan tayar Westlake 225/50). Dynamic pula tanpa bumbung panoramik dan menggunakan rim 17-inci dengan tayar 225/55.

Untuk sistem janaan kuasa, Seal 6 dipacu oleh roda belakang, dengan motor elektrik tunggalnya merupakan unit 8-dalam-1 — menyepadukan motor, reducer, pengawal voltan tinggi, pengubah DC-DC, pengecas dalaman, unit agihan elektrikal, unit kawalan kenderaan dan sistem pengurusan haba, serta boleh beroperasi hingga maksimum 16,000 rpm.

Janaan output bagi kedua-dua varian ini berbeza: Dynamic dengan 129 PS (127 hp, atau 95 kW) dan 220 Nm; 0-100 km/j dalam 10.9 saat, serta laju maksimum 160 km/j; sementara Premium – 218 PS (215 hp, atau 160 kW) dan 330 Nm; 0-100 km/h dalam 7.5 saat, dengan laju maksimum 180 km/h.

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Selain itu, jenis bateri juga sama antara kedua-duanya, dengan Blade lithium iron phosphate (LFP) 56.64 kWj — kapasiti yang lebih besar berbanding yang ditawarkan di China. Anehnya, jarak perjalanan didakwa sama, dengan 485 km NEDC (sekitar 410 km WLTP) walaupun kedua-duanya mempunyai output kuasa yang berbeza.

Bateri berkenaan mampu menampung kadar cas maksimum 100 kW untuk DC, yang memerlukan masa hanya 25 minit untuk 30%-80% SoC. Bagi pengecas AC Type 2 pula, kadar maksimumnya ialah 6.67 kW, dan lengkap dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) hingga 6 kW.

Bateri penghidup 12V untuk Seal 6 ini juga menggunakan unit LFP. Dengan berat 2.2 kg, ia lebih ringan berbanding bateri jenis lead-acid kedap yang biasa digunakan, dengan kelebihannya adalah kecekapan caj/nyah-cas yang lebih tinggi, dengan jangka hayat lebih panjang hingga 3,000 kitaran sebelum perlu ditukar.

Untuk suspensi, bahagian depan Seal 6 menggunakan jenis MacPherson dual-ball joint, sementara di belakang dengan jenis multi-link. Penyerap hentaknya pula telah ditala untuk kegunaan di jalan raya Malaysia dengan menjadikannya sedikit lebih keras.

Di dalam, rekaan kabinnya bersih dan ringkas dengan menampilkan papan pemuka yang rata dengan panel hitam berkilat di sepanjang permukaannya. Tiada tombol pemilih gear kecil ala Seal 06, dan ini digantikan dengan tuil pemilih gear yang terletak di belakang stereng, seperti untuk Atto 2, dan begitu juga dengan roda sterengnya yang diambil dari model yang sama. Hanya satu pilihan tema untuk ruang kabin diberikan, iaitu dalam warna hitam dan kelabu.

Kelengkapan lain termasuklah panel instrumen digital 8.8-inci serta skrin sentuh infotainmen DiLink 12.8-inci. Tidak seperti model di pasaran domestiknya yang hadir dengan pilihan skrin lebih besar dengan 15.6-inci, skrin tengah ini tidak boleh dipusing untuk ditegakkan. Konsol tengah turut menempatkan dua ruang untuk telefon, satu daripadanya lengkap dengan pengecas tanpa wayar Qi 15-watt.

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Sistem infotainmennya lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, dengan ciri bantuan suara dalam bahasa Inggeris, Melayu, Kantonis dan Mandarin. Ada juga ditawarkan pakej internet 2GB data sebulan untuk tempoh dua tahun. Kunci kad NFC fizikal atau NFC/Bluetooth digital boleh digunakan melalui aplikasi digital BYD.

Kerusi bahagian depan untuk varian Dynamic boleh dilaras ke enam-arah untuk pemandu dan larasan secara manual untuk penumpang, manakala untuk Premium boleh dilaras ke lapan-arah untuk pemandu dan empat-arah untuk penumpang. Kedua-duanya juga menggunakan kerusi dengan liang pengudaraan. Ruang but belakang dibuka melalui pintu kuasa.

Dynamic juga datang dengan enam-pembesar suara, sementara untuk Premium ada lapan. Ada juga ciri pencahayaan seperti lampu LED untuk pintu depan dan ruang kaki, serta lampu ambient kabin yang tidak diberikan untuk varian Dynamic. Ruang barangan untuk Seal 6 ialah 460 liter, dengan 65 liter untuk ruang “frunk” di depan.

BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

Untuk aspek keselamatan, Seal 6 datang dengan enam beg udara, sensor parkir depan dan belakang, kamera 360-darjah dan sistem tinjauan tekanan tayar. Ia juga lengkap dengan ciri ADAS yang antara lain terdiri daripada fungsi AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penunukaran lorong serta amaran perlanggaran depan serta kawalan lampu tinggi pintar.

Tiga pilihan warna badan ditawarkan untuk Seal 6 Dynamic: Arctic White, Harbour Grey. Premium pula menerima tambahan pilihan warna Misty Blue.

Sempena pelancarannya, 800 pemilik terawal BYD Seal 6 EV ini juga akan menikmati pakej menarik melibatkan dua pilihan: pertama untuk pelanggan di rumah bawah — pengecas wallbox percuma bernilai RM3,288 serta rebat RM3,000; dan kedua untuk pelanggan di rumah bertingkat/kondominium — pakej Sime Platinum 4+ (4x pengecasan mudah alih + 2x cucian kereta / setiap bulan), 2x servis EV Rescue untuk setahun bagi kawasan terpilih, dan rebat pelancaran berjumlah RM1,000.

Untuk jaminan, sedan EV ini datang dengan jaminan enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk unit pacuan dan bateri.

BYD Seal 6 EV Premium 2025

BYD Seal 6 EV — Gambar rasmi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required