Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

Bagi penggemar kereta-kereta pelik, ini mungkin berita baik untuk anda – EV kecil yang direka seakan “bubble car” era zaman perang dunia kedua BMW Isetta iaitu Microlino kini sudah tiba di Malaysia. Kereta ini dibawa oleh Go Daddy Motorsport yang menguruskan Microlino Malaysia, namun ia masih belum dilancarkan kerana syarikat itu masih belum jelas berkenaan skim harga untuk tahun depan di mana insentif pengecualian cukai untuk EV bakal berakhir tahun ini.

Harga dan jualan bagi Microlino ini dijangka akan bermula pada suku pertama 2026, namun anda boleh mencuba kereta kecil ini menerusi pakej sewaan pajakan yang disediakan oleh Flux dengan harga RM1,250 untuk lima hari. Microlino ini dihasilkan oleh Micro Mobility Systems iaitu syarikat dari Switzerland, tetapi ia dikilangkan di Turin, Itali. Ini bukan sahaja penampilan pertama Microlino di Malaysia, malah ia adalah yang pertama di Asia.

Kereta ini dihasilkan dengan saiz panjang 2,519 mm, lebar 1,473 mm dan tinggi 1,501 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Microlino ini adalah 876 mm lebih pendek, 68 mm lebih lebar dan 86 mm lebih tinggi dari Perodua Kancil.

Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

Dengan saiz berkenaan, ia hanya menyediakan dua tempat duduk termasuk pemandu. Tiada pintu pada kiri dan kanan, kerana untuk masuk ke kabin anda perlu menggunakan satu-satunya pintu yang berada pada bahagian hadapan. Tiada lagi Microlino dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan unit yang dijual di Malaysia ini masih dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

Pintu berkenaan dibuka dibantu dengan peredam hidraulik dan ia membawa sekali “papan pemuka” yang menampilkan skrin kecil untuk sistem infotainmen, tetapi meninggalkan roda dan kolum stereng serta skrin paparan instrumen digital kekal ditempatnya. Tombol putar untuk memilih posisi ‘D’, ‘N’ dan ‘R’ pada sebelah kiri pemandu. Tuil brek tangan manual juga diletakkan di belakang konsol pemilih gear tersebut.

Ia turut datang dengan bumbung suria fabrik manual, manakala ruang but belakang pula menyediakan ruang dengan kapasiti 230 liter. Tiada sistem pendingin udara diberikan dan hanya dibekalkan dengan penghembus udara, manakala tingkap juga perlu buka dan ditutup manual secara gelangsar.

Dari segi rekaan, Microlino sememangnya diispirasikan terus dari bentuk ‘buih’ BMW Isetta. Ia diberikan jalur lampu nyalaan siang bersama lampu isyarat membelok nipis pada hujung kiri dan kanan yang nampak seperti jalur krom kereta klasik, manakala lampu hadapan utama LED berbentuk bulat disekalikan dengan cermin sisi pandang belakang. Lampu belakang juga direka dengan jalur LED nipis yang merentangi bahagian bampar.

Manakala untuk tayar, kereta ini hanya dipadankan dengan rim berdiameter 13-inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 145/70R13. Jarak trek roda hadapan direka lebih lebar dari belakang, membolehkan sebahagian tayar belakang disorokkan dalam ruang roda.

Bagi model pasaran Malaysia ini ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 17 PS (12.4 kW) dan tork maksima 17.9 Nm, membolehkan kereta dengan berat hanya 530 kg ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa 5 saat. Untuk pasaran global, kelajuan maksima Microlino ini hanya mampu mencapai 90 km/j, namun untuk pasaran Malaysia ini kita menerima peningkatan kelajuan maksima sehingga 105 km/j.

Bagi menggerakkan motor elektrik berkenaan, kereta ini dibekalkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 15 kWj, cukup untuk membolehkan ia bergerak sejauh 228 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Untuk mengecas, ia hanya menggunakan sistem AC 2.2 kW, di mana ia boleh dipenuhkan dalam masa 2 jam dengan pengecas 5.5 kWj, 4 jam dengan pengecas 10.5 kWj dan 5.5 jam untuk pengecas 15 kWj.

Buat masa sekarang hanya ada dua unit Microlino yang telah mendarat di Malaysia, dan seperti anda boleh lihat ia sudahpun mempunyai nombor pendaftaran dan sah digunakan di jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Anda masih memerlukan lesen memandu kelas ‘D’ seperti kereta biasa untuk memandu kereta ini.

Sedikit latar belakang berkenaan Microlino ini, model konsepnya muncul buat pertama kali di Geneva Motor Show 2016. Namun ia berhadapan dengan masalah perundangan, kemudian menerima kejuteraan semula dan muncul dengan prototaip baharu digelar sebagai Microlino 2.0. Versi produksi sebenarnya hanya muncul pada September 2021.

Di Eropah, ada negara-negara yang membenarkan Microlino dalam varian Lite yang hanya dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 8 PS dan kelajuan maksima 45 km/j dipandu oleh remaja berumur 14-tahun tanpa lesen memandu seperti Citroen Ami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required