Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

Bulan lepas, Citroen ada mengeluarkan teaser sebuah kenderaan elektrik baru, dan sekarang kita sudah dapat melihat bagaimana bentuk sebenarnya. Inilah dia, Citroen Ami yang merupakan kenderaan elektrik dua tempat duduk versi produksi yang akan bersaing dengan Renault Twizy dan diletakkan dalam kategori quadricycle di Perancis.

Ukurannya cuma 2,400 mm panjang, 1,390 mm lebar dan 1,520 mm tinggi, dengan berat cuma 485 kg. Radius pusingannya pula cuma 7.2 meter, sekaligus menjadikan ia sangat sesuai untuk kegunaan dalam bandar. Sebagai perbandingan saiz, Ami ini lebih kecil daripada Smart EQ Fortwo.

Tidak seperti kebanyakan kereta moden yang mempunyai rekaan futuristik, Ami pula menggunakan rekaan yang masih lagi pelik, tapi unik. Bahagian depan dan belakang kelihatan seakan sama, sementara 50% daripada panel badan adalah cermin, termasuklah bumbung panoramik. Tingkap tepi pula boleh dibuka dengan menolak ke atas seperti kereta klasik 2CV.

Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

Kalau anda rasa rekaan depan dan belakangnya sudah cukup pelik, tengok pula cara pintu dibuka. Pintu sebelah penumpang dibuka seperti biasa manakala pintu pemandu pula dibuka secara suicide. Sedikit lagi perbezaan yang boleh dilihat antara bahagian belakang dan depan selain lampu berlainan warna adalah cermin belakang yang lebih terkeluar dan di tepinya terdapat kemasan bergaris. Jika mahukan lebih kelainan, Citroen juga ada menawarkan pakej Pop atau Vibe yang memberikan sama ada spoiler bumbung, pelekat grafik atau rel bumbung.

Bahagian dalam Ami juga agak menarik dengan papan pemuka yang mempunyai bahagian atas rata, dan dibuat seperti tempat letak barangan. Di bahagian tengah, anda cuma boleh melihat tiga butang dan satu soket USB sahaja kerana kelengkapan kereta ini agak ringkas.

Hanya ada sistem pendingin hawa, sementara sistem audio tidak disediakan. Untuk muzik atau navigasi, pemilik perlu bergantung kepada telefon pintar dan tempat letak khas disediakan di situ. Pembesar suara pada kenderaan juga tiada.

Untuk penggerak, Ami menggunakan motor elektrik 6 kW (8 hp) yang boleh memacunya sehingga kelajuan maksimum 45 km/j dan ia mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 5.5 kWh. Apabila disambung kepada soket 220 volt biasa, bateri ini boleh dicas penuh dalam masa tiga jam dan boleh dipandu sehingga jarak 70 km. Kabel pengecasnya tersembunyi di tepi pintu. Untuk informasi berkenaan kereta, pemandu boleh menggunakan aplikasi My Citroen.

Dengan termasuk dalam kategori quadricycle, Ami boleh digunakan tanpa lesen memandu di Eropah, dengan umur bermula dari 16 tahun (14 tahun di Perancis). Anda juga sama ada boleh membelinya terus pada harga 6,000 euro (RM27,890) atau sewa untuk jangka masa panjang dengan bayaran pendahuluan 2,644 euro (RM12,290) dan bayaran bulanan 19.99 euro (RM93) bagi tempoh kontrak 48 bulan. Satu lagi pilihan menggunakannya adalah secara perkongsian Free2Move dengan bayaran bulanan 9.90 euro (RM46) dan 0.26 euro bagi setiap minit (RM1.21/min).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required