Selain tiga model SYM yang dilancarkan serentak (Cruisym 400i, VFE 185i dan Naga 155), MForce Bike Holdings turut melancarkan skuter dari jenama WMoto, iaitu EZ125i. Ini adalah sebuah skuter ringkas, yang dijual pada harga RM4,588 tidak termasuk insurans dan didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara 124 cc bersama padanan transmisi CVT, menghasilkan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 6.5 liter.
Terletak di atas jalan melalui rim 14 inci yang dibalut tayar masing-masing bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, skuter ini menggunakan suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak, manakala brek pula hanya bahagian hadapan yang menggunakan cakera.
Walaupun datang sebagai skuter kelas permulaan, EZ125i masih datang dengan kelengkapan moden seperti lampu hadapan dan belakang LED serta meter digital berwarna. Berat kering skuter ini tidak mencecah 100 kg.
Untuk kemudahan pengguna, skuter ini datang dengan soket pengecas USB, poket barangan di bawah bahagian pemegang, ruang barangan bawah tempat duduk serta lampu kecemasan. Pilihan warna ada empat iaitu merah, biru, kelabu dan perak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.