Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini bagi mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan lalu, Proton turut mengesahkan bahawa versi pemasangan tempatan (CKD) bagi EV Proton eMas 5 bakal bermula di Tanjong Malim pada bulan ini.
Untuk bulan lalu, sebanyak 883 unit eMas 5 yang diimport sepenuhnya dari China (CBU) telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia, menjadikan jumlah jualannya bagi lima bulan pertama tahun ini sudah pun mencecah 9,357 unit dan kekal sebagai EV paling laris pada pasaran tempatan.
“Dengan pengeluaran CKD dijadual bermula bulan ini, bekalan dijangka terus diperkukuh bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” kata Proton dalam kenyataan tersebut.
Proton eMas 5 CKD akan dikilangkan menerusi fasiliti sama yang memproduksi eMas 7 CKD di kawasan utama Proton Tanjong Malim. Fasiliti bernilai RM82 juta dengan keluasan 5.57 ekar tersebut telah pun dirasmikan pembukaannya pada September tahun lalu, dan ia mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sebanyak 20,000 unit kenderaan setahun.
Bulan lalu Proton telahpun mengumumkan bahawa fasiliti itu akan dikembangkan lagi dengan pelaburan bernilai RM37 juta, bagi membolehkan kapasiti pengeluarannya meningkat kepada 42,000 unit setahun. Pembesaran fasiliti ini dibuat adalah antaranya kerana permintaan tinggi terhadap eMas 5, di mana semua stok yang dihantar kepada pelanggan sejak dilancarkan sehingga kini adalah diimport dari China.
Proton eMas 5 dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu, ditawarkan dalam dua varian. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM56,800 untuk varian asas Prime dan RM69,800 untuk varian tertinggi Premium, di mana kedua-duanya menerima motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang.
Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.
Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.
Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit. Manakala pada bulan lalu, eMas 5 dikemaskini dengan menawarkan warna badan Jade Green baharu.
Di China, kembar kepada eMas 5 iaitu Geely Xingyuan menerima kemaskini yang lebih serius dengan ditawarkan bateri LFP lebih besar berkapsiti 47.14 kWj dari CATL, membolehkan EV tersebut bergerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian CLTC, atau sekitar 390 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih tepat.
Varian dengan bateri lebih besar ini juga boleh menerima pengecas DC dengan kuasa lebih tinggi, membolehkan kadar cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 19 minit. Namun untuk pengecas AC, ia kekal pada tahap 6.6 kW. Agak-agak bila eMas 5 di Malaysia akan menerima tingkat taraf yang sama?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
































