Perkara tidak diingini telah berlaku ketika Audi menjalankan ujiannya di kawasan Pergunungan Alps, Austria setelah unit prototoip A7 2019 telah terbakar semasa di uji, dan imejnya berjaya dirakam oleh jurugambar risikan kami.
Seperti yang anda boleh lihat pada gambar-gambar ini, unit prototaip berkenaan diuji dengan menarik treler pada bahagian belakangnya, manakala kebakaran pula bermula di bahagian ruang enjin. Kejadian berkenaan memaksa pemandu A7 itu keluar dari kereta dan cuba menyelamatkan keadaan dengan menggunakan alat pemadam api yang dibekalkan.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut gagal dan menyebabkan kereta berkenaan musnah secara keseluruhan setelah dijilat api selama 20 minit, dan akhirnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba tempatan.
Tiada kecederaan dilaporkan pada insiden tersebut. Kereta yang musnah teruk juga menyebabkan rekaan sebenar A7 ini tidak dapat dilihat. Tetapi rakaman semasa detik awal kejadian menyaksikan rupa model generasi seterusnya ini kelihatan hampir sama dengan model sedia ada, kecuali flare yang ditambah pada kesemua ruang rodanya.
Namun, dipercayai ‘kulit luar’ unit prototaip itu tidak menggambarkan rupa sebenar versi produksi kerana sebelum ini Audi pernah melakukan perkara yang sama pada unit prototaip lain seperti RS5 yang disembunyikan di sebalik badan S5.
Audi A7 2019 dibina berasaskan platform MLB Evo. Badan sebenar model berkenaan sebelum ini dilihat sedang diuji bersama sedan A8 D5 baharu. Model baharu tersebut dikhabarkan bakal mengenakan berberapa rekaan diambil dari konsep prolog yang telah dipertontonkan di Los Angeles 2014.

















