Cyclone RT2S dilancar di Malaysia – 247 cc, RM13,888

Cyclone RT2S 2026 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM13,888, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Skuter itu membuat kemunculan tempatan pada Malaysia Bike Show Mei lalu, sebelum pelancarannya diadakan sempena pembukaan pengedar Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor di Langgar, Alor Setar.

RT2S dikuasakan enjin satu silinder 247 cc penyejukan cecair, DOHC empat injap yang menghasilkan kuasa maksimum 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat, menjadikannya lebih mudah untuk tunggangan harian.

Untuk perjalanan lebih jauh, skuter ini dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 12.6 liter. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, manakala sistem membrek menggunakan cakera hidraulik 270 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, lengkap dengan ABS dual-channel sebagai kelengkapan standard.

RT2S menggunakan roda 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar 110/80 dan 140/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 750 mm, manakala berat keringnya ialah 179 kg. Kelengkapan standard termasuk paparan instrumen TFT, kunci pintar, lampu LED sepenuhnya, soket USB Type-A dan suis keselamatan tongkat sisi.

Dari segi bantuan tunggangan, RT2S dilengkapi sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup mengikut keperluan penunggang, selain sistem pemantauan tekanan angin tayar. Ia turut menerima kamera hadapan dan belakang, cermin penghadang angin boleh laras serta tapak kotak barangan belakang.

Sambungan telefon pintar turut disediakan menerusi aplikasi Cyclone Store, membolehkan beberapa fungsi berkaitan motosikal diakses melalui peranti pengguna. Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT2S ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Prestige Black dan Strong Grey.

Tags: