Bagi yang mencari-cari nombor pendaftaran baharu untuk kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri terkini dari Kelantan dan Johor bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

Siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFS, bakal dibuka bidaan mulai 26 Ogos ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Ogos. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Ogos 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JF_J, pula akan dibuka bidaan bermula 27 Ogos ini. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 31 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 September 2026.

Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.