Bajet 2023

  • Bajet 2023 akan dibentangkan Jumaat, 7 Oktober 2022

    Bajet 2023 akan dibentangkan Jumaat, 7 Oktober 2022

    Menteri Undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengesahkan yang Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada jam 4 petang, Jumaat ini, 7 Oktober 2023, lapor Malay Mail.

    Keputusan untuk mempercepatkan pembentangan bajet itu awal tiga minggu daripada tarikh asal itu diambil pada penghujung Ogos lalu. Khabar angin mengatakan langkah itu bertujuan untuk memberi laluan kepada pembubaran parlimen dilakukan beberapa hari selepas bajet dibentangkan, sekaligus memberi laluan kepada pilihanraya umum (PRU).

    Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Ogos lalu bahawa keputusan untuk mempercepat pembentangan Bajet 2023 bukanlah asing, dan pernah dilakukan sebelum ini. “Ini normal. Ketika Pak Lah menjadi PM, bajet pernah dibentangkan pada September,” ujarnya.

    Julai lalu Tengku Zafruk memberi gambaran yang Bajet 2023 akan tertumpu kepada pengurusan subsidi yang lebih cekap dan pengukuhan daya tahan ekonomi negara berdepan cabaran pendatang. Dari aspek automotif, berita paling besar dalam bajet tahun lalu adalah pengecualian cukai dan duti bagi kereta elektrik (EV).

    Berkemungkinan dalam Bajet 2023 nanti akan ada perkembangan terbaru berkaitan hal ini, misalnya langkah untuk merancakkan lagi pertumbuhan prasarana pengecasan serta peraturan yang berkaitan dengannya. Bulan lalu, MITI memaklumkan pihaknya telah mencadangkan lebih banyak insentif EV untuk disertakan dalam bajet tahun ini.

    Kami akan membuat liputan semua hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang akan dibentangkan dalam Bajet 2023. Jangan lupa untuk bersama kami esok.

     
     
  • Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Selagi anda membawa kenderaan yang kapasiti enjinnya tidak begitu besar, cukai jalan bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana bila sampai waktu untuk diperbaharui, lebih ramai yang berfikir tentang harga insurans yang lebih tinggi. Kalau kereta berenjin 1.0 liter, cukai jalan hanyalah RM20, dan kalau 1.3 liter, cuma RM70.

    Memanglah, ia tidak seberapa, tapi setiap ringgit itu ada harganya. Memikirkan perkara itu, senator Zahid Md Arip telah menyarankan kerajaan untuk menghapuskan cukai jalan demi meringankan beban rakyat. Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata ini kerana sistem yang digunakan sekarang adalah berasaskan ‘cukai atas cukai’.

    Tambah Zahid, sekarang ini pemilik kenderaan terpaksa berhadapan dengan sistem berlapis-lapis, yang mengenakan cukai atas duti import, eksais, SST dan juga cukai jalan. ““Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari,” kata beliau.

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    “Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk perdana menteri menggembirakan rakyat. Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan beberapa hari lalu.

    Zahid turut memberitahu bahawa saranan ini boleh memberi manfaat kepada rakyat dan juga kerajaan. ““Kerajaan sebenarnya boleh melihat dan mempelajari daripada United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan hal ini, yang mana negara itu sudah menghapuskan cukai jalan sejak 2015 dan hanya mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan,” kata beliau.

    “Bagi menampung kehilangan hasil akibat penghapusan cukai jalan ini pula, kerajaan boleh menimbangkan untuk mengurangkan subsidi minyak dan kaedah ini sebenarnya lebih adil kepada rakyat dan kerajaan, kerana ia bersifat bersasar terus kepada pengguna yang layak khususnya dari kumpulan B40,” kata Zahid.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025