Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 1.5TD Executive facelift 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan tech, 6-beg udara, tiada ADAS

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Seminggu selepas Proton mendedahkan perincian bagi model X50 facelift 2025, kami bawa anda untuk mendekati varian 1.5TD Executive. Ini merupakan varian paling asas terbaru bagi SUV segmen B berkenaan, setelah varian Standard sebelum ini tidak lagi ditawarkan.

    Untuk pertama kali, semua varian X50 2025 akan menggunakan enjin yang sama iaitu unit 1.5 liter BHE15TD turbocas i-GT suntikan terus empat-silinder, menghasilkan sebanyak 181 PS pada 5,500 rpm dan 290 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm. Sama seperti sebelumnya, kuasa ini disalurkan ke roda depan melalui transmisi DCT tujuh-kelajuan, membolehkan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.6 saat (0.3 saat lebih pantas berbanding varian Flagship dengan enjin TGDI sebelum ini).

    Hadir dengan rekaan luaran dan dalaman yang baru, varian Executive dibezakan melalui kelengkapan yang ada berbanding dua varian paling atasnya. Ia lengkap dengan lampu utama LED reflektor, bahagian atas gril dengan corak songket, bahagian bawah gril dengan elemen lebar penuh, lampu belakang LED berkelebaran penuh, pintu belakang rekaan baru, skirting sisi rekaan baru serta sudut bentuk L untuk bampar depan dan belakang. Tak lupa, ada corong bukaan udara hiasa di atas bonet.

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Naik satu takuk kepada varian Premium, ia menerima sistem ADAS penuh, TPMS, rim aloi 18-inci, angkup brek merah, pintu belakang berkuasa, landasan bumbung, lampu aluan di depan, lampu ambient 72-warna, kerusi balutan kulit buatan, kerusi pemandu larasan enam-arah serta kamera 360 dengan pandangan telus 180-darjah.

    Executive juga satu-satunya varian yang tidak dilengkapi angkup brek warna merah. Dan, tiada sistem kamera 360-darjah untuknya. Di dalam, Executive kekal menggunakan rekaan kabin yang sama dengan warna hitam (tanpa perincian merah seperti Flagship). Ini disertai juga dengan rekaan konsol tengah tinggi, pemilih gear di belakang kolum stereng, pemegang pintu yang lebih kukuh serta paparan berkembar “terapung”.

    Paparan instrumen digital 8.88-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci juga adalah merupakan ciri standard untuk semua varian — lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kawalan suara Hi Proton! dalam Bahasa Melayu, aplikasi Proton Link 2.0 dipertingkat serta enam-pembesar suara.

    Proton X50 1.5TD Executive <em>facelift</em> 2025 — varian asas terbaru, lebih kuasa dan <em>tech</em>, 6-beg udara, tiada ADAS

    Sedikit perbezaan untuk varian Executive, ia tidak dilengkapi dengan ciri pengecas tanpa wayar Qi seperti varian lebih tinggi. Kerusi juga balutan fabrik, dan bukan kulit seperti Executive terdahulu (stereng bagaimanapun diberi balutan kulit). Selain itu, pengilap cermin automatik juga kini jadi ciri standard untuk semua varian. Semua peningkatan ini menjadikan varian Executive lebih menarik berbanding yang sebelumnya.

    Lain-lain, Executive turut datang dengan grafik di panel papan pemuka sebelah penumpang, tetapi ia tidak bernyala seperti pada varian Flagship atau Premium. Kelengkapan standard lain termasuklah sistem tanpa kunci dengan kunci automatik serta penghidup enjin jarak jauh, butang Push Start, pedingin automatik dan kamera undur.

    Bagi sistem keselamatan, X50 kini datang dengan enam-beg udara sebagai standard, kawalan kestabilan dan sensor radar sisi belakang (RSRS) yang baru yang menghadirkan peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan amaran perlanggaran serta amaran bukaan pintu.

    Perincian varian Proton X50 facelift 2025 yang lain ada di sini.

     
     
  • Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Model kemas kini Hyundai Stargazer ditemui sedang diuji di jalan raya Indonesia, seperti yang dikongsi oleh akaun Instagram @rodadotco. Kemunculan ini berlaku hampir serentak dengan penyiaran teaser rasmi oleh Hyundai Indonesia untuk model MPV tersebut.

    Dari gambar yang tular, jelas kelihatan bahawa reka bentuk luaran Stargazer facelift ini telah menerima perubahan besar berbanding versi asal yang diperkenalkan pada tahun 2022. Ia kini hadir dengan lampu utama dan lampu belakang LED yang menampilkan rekaan lebih moden dan selari dengan konsep reka bentuk terkini Hyundai. Menariknya, elemen pencahayaan LED kini membentuk corak huruf ‘H’ yang tegak di bahagian depan dan belakang.

    Dengan perubahan ini, jalur lampu LED tunggal di bahagian depan – seperti yang terdapat pada model Staria – tidak lagi digunakan. Bahagian hadapan kenderaan turut mengalami perubahan dengan garis bonet yang lebih mendatar, menjadikan bentuk bonet lebih menonjol dan menyerlahkan pertemuan dengan A-pillar. Unit lampu utama kini diletakkan di atas lampu DRL mendatar.

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Bahagian depan yang diperbaharui ini turut memberi profil dua-petak (two-box silhouette) yang lebih jelas pada Stargazer facelift. Selain itu, lengkung roda kini menggunakan warna yang sama dengan badan kenderaan, menggantikan kemasan plastik hitam yang biasa digunakan untuk memberi imej lasak.

    Di bahagian belakang pula, rekaan turut menampilkan lebih banyak sudut tegak berbanding model terdahulu. Tempat nombor plat belakang juga diubah daripada pintu but ke bahagian bampar belakang, yang kini menampilkan kemasan kontras lebih menyeluruh.

    Hyundai Stargazer facelift ditemui di Indonesia – MPV dengan penampilan baru akan tampil di GIIAS 2025?

    Dari aspek mekanikal, Hyundai dijangka mengekalkan enjin sama seperti model terdahulu iaitu unit 1.5L empat silinder tanpa turbo yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm, dipadankan bersama transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.

    Meskipun Hyundai Indonesia belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran Stargazer facelift, acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi pentas utama untuk pelancarannya secara rasmi.

     
     
  • Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Syarikat teknologi gergasi dari China, Baidu, dilaporkan sedang merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu Apollo Go di Malaysia dan Singapura selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2025. Sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu The Independent Singapura bahawa Baidu kini sedang berbincang dengan pengendali teksi tempatan dan penyedia perkhidmatan mobiliti bagi merangka model perniagaan yang sesuai untuk kedua-dua negara.

    Baidu dilihat menerapkan strategi “asset-light” yang menekankan kerjasama strategik berbanding memiliki kenderaan sendiri secara langsung. Sejak diperkenalkan di China pada tahun 2019, perkhidmatan Apollo Go telah mencatatkan lebih 11 juta perjalanan menggunakan lebih 1,000 kenderaan autonomous — mengatasi pencapaian Waymo milik Google yang mencatatkan 10 juta perjalanan.

    Selain Malaysia dan Singapura, Baidu turut melihat potensi untuk memperluaskan perkhidmatan Apollo Go ke Eropah dan Timur Tengah. Di Switzerland, syarikat itu dilaporkan sedang menjalankan perbincangan dengan PostAuto, anak syarikat Swiss Post, manakala di Turki pula, perbincangan awal sedang berlangsung untuk meneroka kemasukan ke pasaran tersebut.

    Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

    Di Malaysia, ujian kenderaan autonomous setakat ini masih terhad kepada kawasan tertentu seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Bukit Jalil sejak awal tahun 2020-an. Namun, perkembangan dalam sektor ini masih lagi perlahan. Tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan undang-undang bagi menyokong pembangunan dan pendigitalan teknologi kenderaan autonomous.

    “Kita perlu melihat ke hadapan sebab sekarang mungkin teknologi ini belum menembusi arus perdana. Tapi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, mungkin kebanyakan sistem pengangkutan awam kita tidak lagi memerlukan pemandu manusia. Ia boleh beroperasi secara autonomous. Buat masa ini, kebanyakan kenderaan masih memerlukan pemandu,” katanya pada September lalu.

    Jika pelancaran Apollo Go benar-benar menjadi kenyataan tahun ini, perubahan dalam sektor pengangkutan awam mungkin akan berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Walaupun era pemandu teksi yang enggan mengambil penumpang atau menetapkan tambang sesuka hati semakin jarang berlaku hari ini, kemunculan teknologi ini juga menimbulkan persoalan tentang masa depan dan kebajikan para pemandu teksi serta pemandu e-hailing tempatan.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 17-20 Julai sempena Minggu Perpaduan 2025 di P.Pinang

    Polis beri 50% diskaun saman pada 17-20 Julai sempena Minggu Perpaduan 2025 di P.Pinang

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 17 hingga 20 Julai ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Minggu Perpaduan 2025 peringkat Kebangsaan. Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang bakal dibuka di lokasi acara iaitu di perkarangan Stadium Batu Kawan.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Pulau Pinang, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali membawakan pelbagai tawaran automotif terbaik pada 19-20 Julai 2025, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan Carro sebagai penaja bersama, acara ini terbuka kepada umum dari pukul 9 pagi hingga 7 malam sepanjang hujung minggu tersebut. Sama seperti penganjurannya yang terdahulu, PACE 2025 akan membawakan tawaran menarik bagi kenderaan premium baru dan terpakai untuk pengunjungnya.

    Bakal melibatkan penyertaan jenama pengeluar yang lebih banyak dan meriah, pengunjung akan berpeluang menilai semuanya di bawah satu bumbung. Antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025 berlangsung dari 19-20 Julai di SCCC — tawaran menarik kereta premium, baucar RM3,000

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

     
     
  • JPJ peroleh RM57,000 kutipan saman berkaitan VEP dalam tempoh 5 hari pertama penguatkuasaannya

    JPJ peroleh RM57,000 kutipan saman berkaitan VEP dalam tempoh 5 hari pertama penguatkuasaannya

    Bagi pemandu warga negara Singapura yang memandu kenderaan memasuki Malaysia, jangan lupa untuk mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), jika tidak, anda akan disaman sebanyak RM300 serta merta dan tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara ini selagi saman tidak dibayar dan VEP diaktifkan.

    Sejak melaksanakan penguatkuasaan penuh bermula 1 Julai lalu, dalam lima hari pertama pelaksanaannya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan sebanyak 190 saman yang berjumlah RM57,000 bagi kesalahan berkaitan VEP, laporan Bernama.

    “Setakat ini, penguatkuasaan VEP di pusat pemeriksaan darat berjalan lancar. Sebanyak 1,767 kenderaan telah diperiksa dan 94 kenderaan telah diberikan notis amaran,” kata Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.

    Tujuan sistem VEP adalah untuk pengurusan aliran trafik rentas sempadan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang pengangkutan jalan raya yang melibatkan kenderaan asing. Singapura juga mempunyai sistem VEP yang dikenakan kepada semua kenderaan bukan dari Singapura.

     
     
  • Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Pasukan lumba dari Malaysia, Viper Niza Racing sekali lagi mengharumkan nama negara di persada sukan bermotor antarabangsa apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang di podium perlumbaan ketahanan Paul Ricard 12 Jam di litar Paul Ricard, Perancis hujung minggu lalu.

    Namun kejayaan yang dikecapi ini tidak datang dengan mudah kerana perjuang pasukan tersebut hampir terpaksa pulang awal sebelum perlumbaan sebenar bermula. Ini kerana hanya dua minit selepas sesi kelayakan kedua bagi kelas GT3 pada hari Jumaat (4 Julai) berlangsung, salah seorang pemandu pasukan tersebut iaitu Dominic Ang terlibat dengan kemalangan di mana jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang dipandunya merempuh penghadang konkrit, menyebabkan kerosakan teruk pada casis.

    Walau bagaimanapun dalam masa 24 jam, pasukan Viper Niza berjaya mendapatkan jentera gantian yang disewa untuk memulakan perlumbaan. Kereta berkenaan yang juga sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO kebetulan berada di litar tersebut, dan digunakan untuk sesi ujian oleh pasukan Red Ant Racing sebelum itu.

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    Jadi walaupun tidak sempat menguji jentera gantian tersebut dan perlu memulakan perlumbaan dari petak terakhir, Viper Niza Racing berjaya menamatkan perlumbaan ini di tempat ke lapan keseluruhan, serta ketiga dalam kelas GT3-AM!

    “Cengkaman semasa litar dalam keadaan panas adalah tidak bagus tetapi apabila anda kehilangan cengkaman kereta biasanya masih dapat dipandu keluar ke kawasan run-off. Ketika ini, kami masih cuba mencari apa yang sebenarnya berlaku dan kami syak bahawa ia mungkin disebabkan oleh komponen yang longgar,” kata prinsipal pasukan dan pemandu utama Viper Niza Racing, Douglas Khoo.

    Juara keseluruhan perlumbaan ini dinobatkan kepada pasukan Proton Huber Competition yang menggunakan jentera Porsche 911 GT3R, meninggalkan Mercedes-AMG GT3 EVO pasukan Red Ant Racing hanya 3.4 saat di belakang. Keputusan yang dicatatkan kali ini juga membolehkan pasukan Viper Niza menerima anugerah Spirit of the Race dari penganjur.

    Pasukan Viper Niza kibar Jalur Gemilang di podium perlumbaan Paul Ricard 12 Jam 24H Series 2025

    “Untuk menamatkan dengan cara yang kami lakukan adalah tidak kurang daripada hadiah dari Tuhan. Di satu ketika kami amat bertuah kerana dapat sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO tetapi kami hampir tidak mempunyai masa menguji kereta sebelum permulaan perlumbaan untuk membiasakan diri. Kami mengambil pendekatan berhati-hati dalam beberapa jam pembukaan perlumbaan dan setelah semua pemandu serasi, kami mula mendapat rentak. Konsisten juga menjadi faktor utama dan kami sangat gembira dengan keputusan ini,” tambah Khoo.

    Viper Niza Racing turut disertai oleh Melvin Moh sebagai pemandu ketiga. Ini adalah keputusan terbaik yang pernah dicatatkan oleh pasukan tersebut di Litar Paul Ricard. Kali terakhir Viper Niza Racing berlumba di litar sepanjang 5.842 km berkenaan adalah pada 2018, menggunakan jentera Ligier JSP3 dalam kelas LMP3, menamatkan perlumbaan selama empat jam di tempat ke-13 keseluruhan dari 27 kereta yang bertanding.

    Keputusan kali ini juga membolehkan Viper Niza berada di tempat ke-empat dalam carta pungutan mata kelas GT3-AM untuk kejohanan 24H Series Eropah 2025. Pusingan kelima yang juga terakhir untuk musim 2025 ini akan dilangsungkan di Barcelona, Sepanyol September nanti.

     
     
  • Lesen pemandu kenderaan komersil terlibat kemalangan digantung sementara menunggu siasatan

    Lesen pemandu kenderaan komersil terlibat kemalangan digantung sementara menunggu siasatan

    Lesen pemandu kenderaan komersil yang terlibat dalam kemalangan akan digantung sehingga siasatan selesai, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. Menurut laporan The Star, sekiranya pemegang lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) atau lesen memandu barang (GDL) didapati bersalah selepas siasatan polis, lesen mereka akan dibatalkan.

    “Bagi memastikan pemandu kenderaan perdagangan benar-benar kompeten, jabatan akan memastikan individu yang digantung lesen perlu menjalani dan lulus kursus khas sebelum lesen mereka diaktifkan semula atau dikeluarkan daripada senarai penggantungan. Kursus ini akan dianjurkan oleh jabatan di lokasi yang akan ditentukan kemudian, dan pemandu akan dikenakan bayaran bagi menampung kos kursus tersebut,” kata Aedy Fadly.

    Beliau menambah bahawa buat masa ini, lima pemandu kenderaan perdagangan telah digantung lesen, termasuk yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan serta bas yang melanggar palang had ketinggian di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

    Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata sejak penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar berkuat kuasa secara berperingkat mulai 1 Julai, pihaknya telah mengeluarkan 510 notis kompaun terhadap bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan, dengan 80 notis dikeluarkan kepada pemandu serta 396 kepada penumpang dan atendan.

     
     
  • Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Geely akhirnya telah mengesahkan kehadirannya ke pasaran United Kingdom, dan mengumumkan ia akan melancarkan model pertamanya di sana bermula dengan SUV EV Geely EX5 pada suku keempat tahun ini. Buat masa sekarang Geely mendedahkan bahawa SUV tersebut masih dalam peringkat penyesuaian kegunaannya untuk jalan raya di UK, dan ia mendapat kerjasama dari pembuat kereta sport yang berasal dari negara tersebut iaitu Lotus.

    “Kami tahu Geely EX5 ialah produk hebat dengan beberapa ciri utama yang akan menarik minat pelanggan Britain. Itulah sebabnya kami memilihnya sebagai kereta penumpang pertama kami untuk dijual di UK. Namun, kami sedar bahawa pelanggan UK mempunyai permintaan yang unik,” kata bos Geely Auto UK Mike Yang.

    “Oleh sebab itu, sebelum kami mengeluarkan kereta ini untuk jualan, kami bekerjasama dengan pakar di Lotus Engineering untuk memastikan kami mempunyai kereta yang setara dengan jangkaan. Lotus Engineering mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan bersama beberapa sumber R&D terbaik, jadi kami gembira dapat bekerjasama rapat dengan mereka,” tambahnya lagi.

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Lotus Engineering merupakan salah satu divisi dalam Lotus yang menyediakan khidmat kejuruteraan dan konsultansi kepada pengeluar-pengeluar automotif lain bagi membuat kerja-kerja kejuruteraan termasuk talaan suspensi dan pengendalian.

    Antara model-model yang pernah mendapat sentuhan badan berkenaan sebelum ini termasuk Vauxhall Astra generasi ketiga dan Hyundai Genesis 2015. Ada juga model yang mendapat sentuhan lebih eksklusif dengan menerima lencana “Handling by Lotus” seperti Isuzu Piazza, malah ada model yang mendapat talaan lebih serius termasuk penambahan kuasa, di mana nama pembuat asalnya di ketepikan dan terus menerima lencana Lotus seperti Lotus Cortina (dari Ford Cortina Mk1) dan juga Lotus Carlton/Omega (dari Vauxhall Carlton/Opel Omega).

    Lotus juga pernah mencorakkan DNA pengendalian untuk Proton selepas jenama automotif Malaysia berkenaan menjadi pemilik Lotus pada tahun 1996. Proton Satria GTI dan Perdana V6 menjadi model terawal Proton yang menerima lencana “Handling by Lotus”, manakala model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton selepas itu termasuk Proton Waja, Gen2, Satria Neo dan lain-lain bukan hanya menerima talaan suspensi dari Lotus, malah Handling by Lotus tersebut diterapkan bermula dari pembangunan kerangka badan.

    Namun Lotus terlepas ke tangan Geely ketika Proton menghadapi krisis kewangan dan memeterai perjanjian untuk menjadi rakan strategik jenama automotif China berkenaan pada 2017.

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 dapat talaan ‘Handling by Lotus’ di UK, lancar suku ke-4 2025

    Geely EX5 merupakan model yang didakwa dibangunkan bersama Proton, di mana ia turut dikenali sebagai sebagai Proton eMas 7 di Malaysia dan beberapa pasaran eksport Proton seperti di Singapura dan Nepal. Ia merupakan model global pertama Geely yang terus diperkenalkan dalam versi pemanduan kiri (LHD) dan kanan (RHD), membolehkan Geely terus masuk ke pasaran RHD seperti Thailand, Indonesia dan Australia tidak lama selepas ia dilancarkan di China (dikenali sebagai Geely Galaxy E5).

    Sebelum ini Geely ada mengatakan bahawa bagi model-model pasaran global, EX5 akan menggunakan talaan suspensi yang sama dibuat oleh Proton untuk eMas 7. Namun nampaknya tidak semua pasaran tersebut diberikan talaan suspensi yang dibangunkan oleh Proton berkenaan, contohnya pada model pasaran UK ini dan juga pasaran Australia yang turut menerima talaan suspensi tersendiri.

    Buat masa sekarang Geely masih belum mengumumkan perincian lain berkenaan spesifikasi EX5 pasaran UK berkenaan, namun dijangka ia akan menyamai versi-versi pasaran eksport yang lain termasuk Proton eMas 7. Dalam kebanyakkan pasaran, SUV ini menerima menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm yang hanya memacu roda hadapan serta menerima bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 60.22 kWj, memberikan jarak gerak sehingga 430 km (WLTP)

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 facelift 2025 yang didedahkan perinciannya awal minggu ini kini dibuka untuk tempahan. 10,000 pelanggan terawal akan menerima rebat tunai RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya kelak, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa. Untuk harga pula belum diketahui, dan hanya akan diumumkan ketika pelancaran.

    Kami telah memperincikan segala hal berkaitan X50 baru ini dan boleh dirujuk di sini: termasuklah apa yang baru dan pecahan penawaran variannya — Executive, Premium dan Flaghsip.

    Proton X50 facelift 2025 diberikan kemaskini major terhadap rekaan luarannya berdasarkan model Geely Binyue L, manakala rekaan dalamannya pula serba baru dan dihasilkan oleh Proton sendiri, serta penawaran enjin baru 1.5 liter turbocas empat-silinder dari unit i-GT (dengan kod nama BHE15TD) dengan janaan 181 PS/290 Nm yang dibangunkan oleh Aurobay — sebuah syarikat kerjasama antara Geely-Volvo (berpangkalan di Sweden) yang kini merupakan sebahagian daripada Horse Powertrain, sebuah kerjasama Geely-Renault.

    Proton X50 2025 Flagship

     
     
  • Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Yang pertama seumpamanya di Malaysia, Surau Madani yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini mengadakan solat Jumaat yang pertama di premis berkenaan. Ini adalah susulan pengistiharannya sebagai surau R&R pertama di lebuhraya di Malaysia yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat, minggu ini.

    Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang telah terlibat dalam membantu penyediaan inisiatif ini.

    Surau Madani di R&R Seremban (Arah Selatan) tersebut mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu masa. Ia direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, bagi memastikan semua pengguna lebuhraya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka.

    Surau tersebut juga telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan). Jawatankuasa ini dianggotai oleh 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.

    “Objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban. Ia juga dapat memudahkan pengguna lebuhraya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,” jelas Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS sebelum ini.

    Kepada pengguna Lebuhraya PLUS arah selatan juga kini mempunyai pilihan yang memudahkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu menyusur keluar dari lebuh raya untuk mencari masjid berdekatan.

     
     
  • EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    TQ Manufacturing (TQ) anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Berhad hari ini mengumumkan bahawa EV TQ Wuling Bingo yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi akan dipamerkan kepada orang awam menerusi siri jelajah #HelloTQWBingo Tour yang akan bermula pada Julai ini.

    Siri jelajah tersebut akan diadakan pada tarikh dan lokasi seperti di bawah:
    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, TQ Wuling Bingo akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan dan membolehkan ia dilancarkan dan dijual pada harga kompetitif iaitu di bawah RM100,000 pada suku ke-empat tahun ini. Ia akan dipasang menerusi kemudahan pengeluaran Tan Chong di Segambut dan dirancang untuk turut dieksport keluar.

    TQ Wuling Bingo ini tampil dengan rupa retro yang diinspirasikan dari MINI klasik. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm. Jadi apabila dilancarkan kelak ia akan bersaing dengan Proton eMas 5 dan juga Perodua QV-E yang juga dijangka akan dijual di bawah RM100k dan dilancarkan lewat tahun ini.

    Spesifikasi bagi model pasaran Malaysia masih lagi belum diumumkan. Di China Bingo EV dalam versi varian asas paling murah dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik pada gandar hadapan dengan kuasa sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, memberikan kelajuan maksimum 100 km/j.

    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    Ia juga hadir dengan varian yang diberikan bateri LFP lebih besar berkapasiti 31.9 kWj, mampu memberi jarak gerak sejauh 333 km, serta diberikan motor elektrik lebih berkuasa pada kadar 68 PS/150 Nm, tetapi masih menampilkan kelajuan maksima yang sama.

    Sementara varian paling tinggi menerima bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 410 km, dengan padanan motor elektrik 68 PS/150 Nm yang sama, serta kelajuan maksima juga masih sama.

    Untuk pengecasan, kesemua versi boleh menerima pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

    Antara kelengkapan yang diberikan pada Bingo EV ini di China termasuk rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.

    Menurut TQ Manufacturing, Bingo EV ini dilengkapi dengan bateri “Magic EV” yang menawarkan tahap keselamatan tertinggi tanpa sebarang insiden kebakaran atau letupan dan mempunyai sijil IP67 – disahkan memberikan perlindungan tinggi terhadap habuk dan air.

    “Kami menerima sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap TQ Wuling Bingo EV sewaktu acara Malaysia Autoshow. Kini kami mahu membawa keterujaan itu terus kepada rakyat Malaysia di seluruh negara. Itulah semangat di sebalik Jelajah #HelloTQWBingo — memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri kereta ini dan memahami mengapa model ini penting dalam menjadikan EV lebih mudah diakses oleh ramai rakyat Malaysia,” kata Ketua Bahagian Perniagaan TQ Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Wei Sun.

    “Bingo EV menggabungkan kelebihan dua dunia — keupayaan pengedaran dan pemasangan tempatan TCMH yang telah terbukti selama lebih 70 tahun serta inovasi teknologi EV mampu milik yang dibawakan oleh SGM Wuling. Justeru, kami ingin menjemput anda semua untuk datang dan lihat sendiri apa yang menjadikan model ini satu pilihan yang menarik, mampu milik dan relevan untuk pemandu di bandar,” tambahnya.

    Selain dari boleh melihat sendiri TQ Wuling Bingo ini, pengunjung yang datang ke siri jelajah tersebut turut boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik dan interaktif turut disediakan, termasuklah hadiah eksklusif dan persembahan secara langsung di lokasi-lokasi terpilih.

     
     
  • Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri mengumumkan pihaknya akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada 7 hingga 11 Julai 2025. Ia adalah sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58.

    “Aktiviti raptai (Dry Run) pergerakan motoked melibatkan laluan daripada lapangan terbang hingga ke hotel-hotel penginapan di sekitar KL dan ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sedang berlangsung hingga 6 Julai (Ahad ini). Ia melibatkan kekuatan seramai 391 petugas trafik yang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis,”kata Mohd Yusri menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Lencongan jalan secara berperingkat ini akan melibatkan tiga lebuhraya dan 15 jalan utama di sekitar Lembah Klang. Menurut Mohd Yusri, pada 7 Julai, lencongan jalan berperingkat akan bermula dari jam 7 pagi dan laluan yang terlibat adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA – Putrajaya), Lebuhraya MEX, Lebuhraya KL-Seremban (Sg Besi – Pusat Bandar), Lingkaran Putrajaya, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Imbi.

    Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Manakala pada 8 hingga 11 Julai pula, lencongan jalan berperingkat akan dilaksanakan antara jam 7 pagi, 10 pagi, 5 petang, 7 malam dan 10 malam. Ia melibatkan Persimpangan Jalan Ampang/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan Pinang, Persimpangan Jalan Stonor/Jalan Kia Peng dan Persimpangan Jalan Stonor/Persiaran KLCC.

    “Kenderaan perdagangan dan kenderaan berat adalah disarankan tidak memasuki pusat bandar KL sepanjang tempoh lencongan jalan terutamanya semasa waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya.

    “Kerjasama orang ramai yang cakna dengan arahan semasa para petugas di lapangan amatlah dihargai selain menaikkan imej negara sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin,” kata Mohd Yusri lagi.

    Untuk itu, sila rancang perjalanan anda sewajarnya sepanjang tempoh yang dinyatakan ini dan anda juga digalakkan mengunakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan rel seperti LRT, MRT dan Monorel.

     
     
  • Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Acara tahunan paling dinanti peminat dunia kustom dan budaya alternatif, Art of Speed Malaysia 2025 (AOS 2025) bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 bertempat di MAEPS Serdang. Dengan tema “Kustom Ada Gaya”, penganjuran kali ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, pameran unik serta kehadiran ikon terkenal dari dalam dan luar negara.

    Antara tetamu istimewa AOS 2025 ialah Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES, Brendon Vetuskey (pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat) serta pembina motosikal tersohor seperti Yuichi Yoshizawa (Custom Works Zon), Masa Sugihara (Luck MC) dan Ben Forster (Benflathead).

    Tiga motosikal kustom dari luar negara akan menjadi perhatian utama iaitu BMW R18 “Ground 0”, Harley-Davidson Knucklehead chopper dan Harley-Davidson Flathead sementara pembaharuan yang dibuat untuk tahun ini adalah termasuk World of Wheels (WOW) oleh MotorTakaful.com, pameran khas “Show and Shine” dalam Dewan A dan studio foto profesional untuk kereta dan motosikal.

    Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Tahun ini lima kolaborasi baru dibuat oleh AOS, membawa kepada barangan yang boleh dibeli oleh peminatnya, iaitu AOS x Hot Wheels, AOS x FK (kasut eksklusif), AOS x High Cultured (fesyen jalanan tempatan), AOS x XOCKS dan AOS x MOONEYES (sempena ulang tahun ke-10).

    Konvensyen Hot Wheels Malaysia kali ke-3 kembali di Dewan C dengan pelbagai aktiviti seperti pameran koleksi jarang ditemui, pertandingan ubah suai dan sesi perkongsian bersama pereka Hot Wheels terkenal, Brendon Vetuskey.

    Untuk aktiviti komuniti dan gaya hidup, antara yang akan diadakan adalah ThunderCircus Brotherhood Rally untuk peminat motosikal, Project Car Invitational Showcase oleh NoEqual.co, Kulture Kartel di Dewan D dengan gaya vintaj, streetwear dan pertandingan B-Boy, Moto4Sale – platform jual beli motosikal bawah 500cc, perkumpulan kelab pemilik kereta serta Beetle Battle – kolaborasi bersama komuniti Volkswagen Indonesia.

    Konsert SoundCircus Takeover 2025 pula menampilkan artis terkenal seperti Noh Salleh, Ruffedge, Romantic Echoes dan ramai lagi berlangsung dari 2 petang hingga 7 malam di Dewan A. Selain itu, terdapat zon santai seperti Payung Kopi, medan selera, jualan barangan terpakai automotif dan pelbagai sesi uji pandu motosikal oleh jenama terkenal seperti Vespa, Triumph dan Harley-Davidson.

    Tiket Early Bird sudah mula dijual dalam talian, melalui laman artofspeedmy.com, iaitu pada harga RM35 untuk Weekend Pass dan RM40 untuk Sunday Pass. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU masuk percuma. Tiket VIP Valet Parking disediakan pada harga RM30 (tunai atau QR).

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Hyundai bersedia untuk memperkenalkan satu lagi model berprestasi tinggi dalam barisan kenderaan elektriknya, iaitu Hyundai Ioniq 6 N. Selepas penantian agak lama sejak kemunculan Ioniq 5 N dua tahun lalu, model ini akan membuat penampilan rasmi di Goodwood Festival of Speed tidak lama lagi.

    Gambar teaser yang didedahkan memperlihatkan bahagian belakang Ioniq 6 N yang tampil dengan rekaan lebih agresif berbanding versi standard. Bampar belakang diberikan kemasan hitam sepenuhnya dengan dua elemen berbentuk ‘taring’ di kedua-dua penjuru, jalur merah pada bahagian bawah menambah sentuhan sporty, manakala fender dilebarkan dengan lebih kemas. Tidak ketinggalan, sayap belakang jenis swan-neck menyerlahkan karakter prestasi model ini.

    Hyundai turut mendedahkan beberapa maklumat teknikal utama. Berbanding Ioniq 5 N, Ioniq 6 N dijangka lebih menyerlah dari segi pengendalian kerana ia mempunyai kedudukan lebih rendah dan lebih ringan. Suspensi dipertingkat dengan reka bentuk geometri baharu yang menurunkan pusat graviti dan meningkatkan sudut caster, sekaligus memberi rasa stereng lebih tepat, maklum balas lebih baik serta penstabilan semula secara automatik yang lebih responsif.

    Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Sistem peredam adaptif juga telah ditala semula untuk memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang optimum. Menariknya, Hyundai kini membenarkan ciri N e-shift – simulasi penukaran gear – digunakan dalam semua mod pemanduan, termasuk mod Eco dan N Drift Optimiser. Nisbah gear maya turut dipendekkan untuk memberikan pecutan lebih agresif, manakala lampu suasana digunakan sebagai penunjuk waktu menukar gear.

    Mod N Drift Optimiser kini hadir dengan lebih banyak pilihan tetapan, membolehkan pemandu menyesuaikan tahap kawalan mengikut kemahiran drift masing-masing. Menurut laporan pandu uji awal di Amerika Syarikat, model prototaip memiliki fender 30 mm lebih lebar dan jarak roda lebih panjang 15 mm, yang turut menyumbang kepada sudut caster lebih besar.

    Ioniq 6 N dipadankan dengan rim aloi 20 inci bersama tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35 R20. Sistem bunyi luaran juga dipertingkat bagi membolehkan orang ramai mendengar bunyi enjin sintetik N Active Sound+ dengan lebih jelas. N Drift Optimiser kini menawarkan tiga tahap permulaan drift dan sepuluh tahap sudut gelinciran.

    Dari aspek kuasa, Ioniq 6 N dijangka mengekalkan trenkuasa dari Ioniq 5 N – dua motor elektrik yang menghasilkan 609 PS (448 kW) dan 740 Nm tork, atau 650 PS (478 kW) dan 770 Nm dengan fungsi N Grin Boost selama 10 saat. Ia menggunakan bateri 84 kWj jenis NMC (nickel manganese cobalt).

    Namun, versi sedan ini bakal menerima penambahbaikan dari segi penyejukan bateri dan motor yang membolehkan prestasi lebih konsisten di litar serta kemungkinan output lebih tinggi. Dengan binaan lebih ringan dan reka bentuk aerodinamik yang lebih baik berbanding SUV, Ioniq 6 N dijangka menawarkan jarak pemanduan lebih jauh daripada Ioniq 5 N yang mencatat 448 km.

    Jenama Hyundai kini kembali menjadi perhatian di Malaysia selepas penubuhan syarikat utama baru, Hyundai Motor Malaysia (HMY), yang mengambil alih daripada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM). Namun begitu, kehadiran Ioniq 6 N di pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan memandangkan EV masih belum menjadi fokus utama dalam pelan produk HMY buat masa ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025