Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Walau pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa tapi segalanya terletak pada sikap pemandu sendiri – KPN

    Walau pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa tapi segalanya terletak pada sikap pemandu sendiri – KPN

    Apabila berita mengenai kemalangan jalan raya dikongsi di laman media sosial, pasti ramai netizen menuding jari menyalahkan pihak berkuasa dan agensi berkaitan kerana ‘dikatakan’ kurang tindakan yang berkesan bagi mengurangkan kadar kemalangan. Isu penguatkuasaan sering kali dibangkitkan terutamanya jika kemalangan terbabit melibatkan kenderaan berat termasuk lori dan bas. Begitu juga dengan kondisi jalan termasuk kurang atau tiada lampu jalan, garisan jalan yang pudar, jalan berlubang dan sebagainya.

    Susulan isu yang tidak pernah surut diperkatakan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata walau pun pelbagai usaha dibuat pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut namun pada akhirnya segala-galanya terletak pada sikap pemandu itu sendiri, laporan Harian Metro.

    Katanya, pelbagai kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya sudah dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) serta agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) selain pemantauan dan kawalan di lokasi panas (hotspot).

    Walau pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa tapi segalanya terletak pada sikap pemandu sendiri – KPN

    “Dalam konteks penugasan PDRM, khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), kita sentiasa melaksanakan pemantauan dan kawalan di lokasi panas, mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu-lintas termasuk memberi peringatan dan saman serta mencadangkan untuk menyenarai hitam mereka yang dikesan melakukan kesalahan berat.

    “Bagaimanapun usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut tidak akan berjaya sekiranya pemandu tidak bersama-sama mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan,” katanya yang turut menambah walau pelbagai usaha bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi, pada akhirnya ia terletak pada tangan pemandu itu sendiri.

    Malah katanya, kemalangan maut yang berlaku pada 13 Mei lalu sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta kejadian kemalangan maut lain masih belum dijadikan iktibar oleh sebahagian pemandu.

    “Sekiranya sikap cuai, lalai, tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dan pentingkan diri masih ada dalam diri pemandu, maka kejadian kemalangan jalan raya akan terus berlaku. Ini belum mengambil kira lagi faktor kenderaan berat seperti lori dan bas yang tidak layak berada di atas jalan raya namun masih digunakan oleh pihak tertentu.

    “Sekiranya faktor cuai, lalai dan pentingkan diri sendiri menjadi punca berlakunya kemalangan maka hukuman sewajarnya patut dikenakan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.

    Tambahnya, beliau yakin dan percaya bahawa PDRM akan terus menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dalam memastikan undang-undang keselamatan jalan raya dipatuhi semua pengguna melalui kawalan, penguatkuasaan dan pemantauan pada setiap masa.

    Mengenai sama ada hukuman masih dianggap ringan hingga masih belum mendatangkan kesedaran dalam kalangan pemandu, beliau menjawab, segalanya terletak pada bidang kuasa Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Saya percaya segala keputusan dan perancangan oleh jawatankuasa berkenaan adalah relevan dan sesuai digunapakai pada masa ini dengan mengambil kira segala faktor terkini mengenai tahap keselamatan jalan raya di negara kita,” katanya.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 13-15 Jun dalam Program Madani Rakyat 2025 di Lumut

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 13-15 Jun dalam Program Madani Rakyat 2025 di Lumut

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Perak bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 13 hingga 15 Jun 2025. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Madani Rakyat 2025.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka di lokasi acara iaitu di Lumut Waterfront, Perak dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Lumut atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Proton eMas 7 kini dieksport ke Trinidad & Tobago — pasaran eksport kedua EV tersebut selepas Nepal

    Proton eMas 7 kini dieksport ke Trinidad & Tobago — pasaran eksport kedua EV tersebut selepas Nepal

    Proton eMas 7 kini mula dipasarkan di Trinidad & Tobago, menjadikan negara di kepulauan Carribean ini pasaran antarabangsa kedua bagi EV Proton berkenaan dan tiba tiga bulan selepas pengenalannya di Nepal. Dilancarkan di Malaysia pada Disember 2024, eMas 7 kini merupakan model ketiga Proton yang paling laris selepas Saga dan X50.

    Rakan niaga Proton di sana ialah Ansa Motors yang bertindak sekali pengedar rasminya sejak 2013. Sempena dengan pelancaran eMas 7, Ansa turut memperkenalkan bilik pameran EV-nya di The City of Grand Bazaar.

    eMas 7 bukanlah SUV pertama Proton yang dipasarkan di negara tersebut. X50 dan X90 telah mula dieksport ke sana tahun lalu. Setakat ini, terdapat 481 unit kenderaan Proton yang sudah berada di sana: kepulauan berkenaan mempunyai populasi penduduk sebanyak 1.4 juta orang. Angka berkenaan terdiri daripada pecahan seperti berikut: X50 (271 unit), X90 (141 unit) dan Saga (44 unit).

    Proton eMas 7 kini dieksport ke Trinidad & Tobago — pasaran eksport kedua EV tersebut selepas Nepal

    “Perjalanan Proton dengan eMas di pasaran negara tersebut adalah sesuatu yang penting. Ia mencerminkan kesungguhan kami untuk mempelopori penggunaan EV di sana serta menandakan langkah penting untuk perluasan ke pasaran antarabangsa. Ini juga menunjukan dengan jelas dedikasi Proton untuk membuka jalan bagi penggunaa EV di dalam portfolio eksport kami. Kami tidak sabar untuk memasarkan EV ini di Mauritius dan Singapura pula selepas ini,” jelas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Lim Meng Thong.

    eMas 7 bagi pasaran Trinidad & Tobago dihadirkan dalam varian Premium, yang menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 60.22-kWh bilah pendek Aegis oleh Geely, dan memberikan jarak perjalanan sejauh 410 km. Ia digerakkan oleh sebuah motor elektrik yang menjana 218 PS/320 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

    Walaupun ketika ini unit yang dieksport merupakan unit CBU dari China, ia dihantar dari Malaysia. Hal ini akan diperhalusi nanti selepas kilang EV CKD di Tanjung Malim mula beroperasi pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, pek CKD tetap datang dari Hangzhou, China.

     
     
  • GWM Haval H6 HEV masuk Rekod ASEAN – 1,242 km satu tangki penuh; pemilik terbanyak lepas 1,000 km

    GWM Haval H6 HEV masuk Rekod ASEAN – 1,242 km satu tangki penuh; pemilik terbanyak lepas 1,000 km

    GWM Haval H6 HEV secara rasmi kini tersenarai dalam Rekod ASEAN kerana mencapai jarak paling jauh dengan satu isian tangki minyak, serta mempunyai bilangan pemilik yang paling ramai melepasi 1,000 km, semuanya dalam keadaan pemanduan sebenar.

    Untuk bahagian pertama rekod ini, sebuah Haval H6 HEV berjaya mencatat jarak 1,242 km dengan satu isian tangki minyak dalam cabaran penggunaan bahan api di seluruh negara. Ia dibuat oleh salah seorang daripada 38 pemilik Haval H6 HEV yang mengambil bahagian dalam cabaran tersebut, di mana semua peserta berjaya melepasi jarak 1,000 km – bahagian kedua rekod tersebut. Menurut GWM Malaysia, ini adalah kali pertama sebuah SUV hibrid di ASEAN mendapat pencapaian sebegini melalui penggunaan harian sebenar.

    “Ini bukan hanya satu pencapaian teknikal, ia adalah pengesahan dunia sebenar tentang sejauh mana HAVAL H6 HEV dapat membawa rakyat Malaysia. Ia mencerminkan arah tuju baru kami: untuk meningkatkan pengalaman pemanduan harian melalui inovasi yang terbukti,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Anqi. Untuk meraikan kejayaan ini, Haval H6 HEV kini memiliki tagline baru: Elevate Your Everyday.

    H6 HEV dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2024 dan dijual pada harga RM139,800 di atas jalan tanpa insurans. Dipasang dalam negara (CKD), SUV hibrid ini datang dengan enjin petrol empat silinder turbo 1.5 liter GW4B15D, motor elektrik dan Transmisi Hibrid Khusus Dua Kelajuan (DHT), dengan jumlah kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm tork.

    GALERI” GWM Haval H6 HEV

     
     
  • Jalan Raja KL ditutup sebahagiannya pada 9-15 Jun

    Jalan Raja KL ditutup sebahagiannya pada 9-15 Jun

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan sebahagian Jalan Raja (sepanjang jalan di Bangunan Sultan Abdul Saman dan Dataran Merdeka) ditutup mulai hari ini sehingga 15 Jun 2025. Menurut DBKL, penutupan sebahagian jalan itu adalah bagi penambahan ruang awam di laluan berkenaan.

    Sepanjang tempoh itu, kenderaan yang datang dari Jalan Raja akan dibenarkan membelok kanan ke Jalan Tun Perak, tetapi yang datang dari arah Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak tidak dibenarkan untuk memasuki Jalan Raja.

    DBKL turut memaklumkan, sepanjang tempoh itu, laluan bas GoKL, Rapid KL dan Hop-On-Hop-Off juga akan diubah sementara dan pengguna diminta untuk merujuk pengendali perkhidmatan bas berkenaan untuk makluman selanjutnya.

    Difahamkan bahawa penutupan sebahagian jalan berkenaan adalah meluaskan zon pejalan kaki, menghidupkan kawasan warisan, merancakkan ekonomi tempatan dan juga mengurangkan konflik antara kenderaan dengan pejalan kaki sekaligus menjadikan pusat bandar menjadi lebih tersusun dan berjiwa budaya.

     
     
  • Rapid KL On-Demand memperkenalkan 13 zon baharu mulai hari ini – Pavilion Bukit Jalil, FRIM, MITEC, dll

    Rapid KL On-Demand memperkenalkan 13 zon baharu mulai hari ini – Pavilion Bukit Jalil, FRIM, MITEC, dll

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan van Rapid KL On-Demand telah memperkenalkan 13 buah zon baharu bermula hari ini, 9 Jun 2025.

    Dalam masa yang sama Rapid Bus turut memperkenalkan aplikasi baharu bagi tempahan perkhidmatan ini yang diberi nama ‘Rapid On-Demand’ dan tempahan melalui aplikasi tersebut bermula dengan zon-zon sambungan ke perkhidmatan MRT yang mula beroperasi hari ini.

    Difahamkan, zon-zon yang boleh ditempah melalui aplikasi Rapid On-Demand yang baharu ini akan diperluas secara berperingkat bagi memberi kemudahan kepada para pengguna yang ingin menempah perkhidmatan Rapid KL On-Demand.

    Zon-zon baharu terbabit ialah MRT Semantan-KTM Segambut, MRT Bukit Dukung-Sg Sekamat, MRT Sg Buloh-Bandar Rahman Putra, MRT Serdang Raya Selatan-Taman Bukit Serdang, MRT Bukit Prima-Taman Botani Kepong (FRIM), MRT Kentonmen-MITEC, MRT Sg Jernih-Taman Puncak Saujana, MRT Serdang Raya Utara-Pavilion Bukit Jalil, MRT Taman Equine-Lestari Perdana,MRT Metro Prima-Taman Bukit Maluri dan MRT Seri Delima-Sri Segambut.

    Manakala dua lagi zon baharu yang turut disenaraikan iaitu Kota Kamuning-Gamuda Walk Mall dan LRT Alam Megah-Alam Megah pula, pengguna boleh menempah tempat menerusi aplikasi Kummute.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Encik Amir Hamdan berkata, pelaksanaan aplikasi baharu Rapid On-Demand ini memberi kemudahan di hujung jari kepada para pengguna serta meningkatkan lagi pengalaman pelanggan bukan sahaja dari segi perkhidmatan yang ditawarkan malah dari segi tempahan.

    “Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan awam pilihan utama penduduk di Lembah Klang”, katanya.

    Perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini telah meliputi 47 zon dan menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam. Bagi menggalakkan orang ramai untuk mencuba perkhidmatan ini, khususnya sebagai sambungan perjalanan “first-last mile”, tambang promosi RM1 untuk setiap perjalanan diteruskan.

    Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

    Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store untuk membuat tempahan dengan mudah. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my.

     
     
  • 15 pelajar UPSI maut, tujuh parah dalam kemalangan bas yang dinaiki di Jalan Jeli-Grik awal pagi ini

    15 pelajar UPSI maut, tujuh parah dalam kemalangan bas yang dinaiki di Jalan Jeli-Grik awal pagi ini

    Pagi ini mengundang berita duka dengan berita kemalangan bas yang berlaku di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak, yang mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah.

    Sinar Harian melaporkan nahas terbabit berlaku sekitar jam 1 pagi melibatkan bas yang membawa 42 pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza.

    Difahamkan bas berkenaan adalah disewa khas bagi membawa pelajar UPSI dari Terengganu dan Kelantan yang pulang menyambut perayaan Aidiladha kembali ke kampus bagi memulakan pengajian mereka hari ini. Manakala pemandu Perodua Alza dan tiga lagi penumpangnya yang merupakan isteri dan dua orang anaknya juga dilaporkan mengalami kecederaan.

    “Kematian melibatkan 13 mangsa di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. Setakat ini, tujuh mangsa berada dalam zon merah, 20 mangsa di zon kuning dan 16 mangsa di zon hijau di Hospital Gerik,” menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanda Linggi berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

    “Saya juga memohon jasa baik orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.

    “Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya.

     
     
  • Sime Motors buka bilik pameran Denza di Klang Lama

    Sime Motors buka bilik pameran Denza di Klang Lama

    Sime Motors telah memperluaskan rangkaian pengedar Denza dengan pembukaan bilik pameran terbaru di Jalan Klang Lama.

    Dengan keluasan 8,165 kaki persegi, kemudahan terbaru itu menampilkan ruang pameran yang boleh memuatkan enam kenderaan, serta lima ruang servis bagi memenuhi keperluan lepas jualan oleh pelanggan. Turut tersedia ialah sebuah ruang menunggu selesa serta stesen pengecasan EV di lokasi.

    “Bilik pameran ini lebih daripada sekadar ruang jualan; ia menampilkan visi Sime Motors untuk mobiliti masa depan. Kami berbangga untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang mana rekaan, teknologi dan layanan mesra bertemu bagi memberikan pengalaman terbaik untuk semua pelanggan,” jelas Pengarah Urusan Sime Motors, Jeffrey Gan.

    Denza Jalan Klang Lama terletak di 193-195, Batu 3¾, Jln Klang Lama, 58100 Kuala Lumpur. Ia dibuka setiap Isnin hingga Sabtu, dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang: Ahad dari 10 pagi hingga 5 petang.

     
     
  • Kemalangan trak FRU — JPJ buka kertas siasatan terhadap syarikat lori terlibat; langgar syarat permit

    Kemalangan trak FRU — JPJ buka kertas siasatan terhadap syarikat lori terlibat; langgar syarat permit

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka kertas siasatan terhadap syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak bulan lalu, lapor Bernama.

    Pengarah Penguatkuasaan Kanan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan mendedah bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    “JPJ telah menyita lori yang terlibat, dan pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan menjelang hujung bulan ini. Sebaik sahaja lengkap, kertas berkenaan akan diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan lanjut,” jelas beliau, yang menambah bahawa siasatan awal mendapati syarikat terbabti telah melanggar syarat permit.

    “Syarikat itu telah didapati melanggar syarat permit dengan membawa muatan yang tidak disahkan, iaitu batu, sementara permit yang diberikan adalah untuk membawa arang. Kami masih menyiasat kes ini dan tindakan sewajarnya akan diambil,” jelasnya.

    Dalam hal berkaitan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata memaklumkan hasil siasatan berkaitan insiden maut itu akan dibentangkan kepada kabinet minggu depan.

     
     
  • Mazda CX-60 kini dibuka untuk tempahan secara rasmi di Malaysia – CBU, satu varian 2.5L NA, RM200k

    Mazda CX-60 kini dibuka untuk tempahan secara rasmi di Malaysia – CBU, satu varian 2.5L NA, RM200k

    Mazda CX-60 kini secara rasmi dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan laman khas pendaftaran minat (ROI) telah disiarkan di laman web Mazda Malaysia.

    Seperti yang kami perolehi daripada pengedar sebelum ini, CX-60 akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 2.5G 2WD High. Menurut senarai harga di halaman ROI, varian ini dijangka dijual pada harga RM200,510.40 atas jalan tanpa insurans, sementara harga RM198,900 yang diiklankan pengedar sebelum ini adalah sebelum kos atas jalan (OTR).

    Pembeli ditawarkan pilihan lima warna iaitu Soul Red Crystal, Jet Black, Zircon Sand, Platinum Quartz dan Rhodium White. Harga yang dinyatakan merangkumi filem penapis haba (tint), jaminan lima tahun atau 100,000 km serta penyelenggaraan percuma.

    Laman ROI itu tidak menyatakan perincian penggerak atau kelengkapan, namun model ini dijangka akan menggunakan enjin petrol empat silinder Skyactiv-G 2.5 liter NA, dengan kuasa 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan – konfigurasi yang sama seperti versi yang ditawarkan di Singapura. Malangnya, Malaysia tidak akan menerima model CX-60 dengan enjin enam silinder sebaris seperti yang ditawarkan di Indonesia dan Filipina.

    Mazda CX-60 kini dibuka untuk tempahan secara rasmi di Malaysia – CBU, satu varian 2.5L NA, RM200k

    Dari segi dimensi, CX-60 berukuran antara 4,740 hingga 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi, dengan jarak roda 2,870 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding CX-5 yang berukuran 4,575 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm.

    Dengan harga anggaran tersebut, CX-60 diletakkan lebih tinggi berbanding CX-5 yang dijual antara RM144,469 hingga RM188,760 atas jalan tanpa insurans – kedua-duanya merupakan SUV lima tempat duduk. Ini bermakna CX-60 hampir RM12,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi CX-5 yang dilengkapi pacuan semua roda dan enjin petrol 2.5 liter turbo empat silinder sebaris dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 420 Nm.

    Mazda Malaysia tidak menyatakan tarikh pelancaran di halaman ROI, tetapi sekadar memaklumkan bahawa SUV ini akan tiba “tidak lama lagi” – menurut pengedar, penghantaran dijangka bermula pada bulan September.

     
     
  • Proton eMas 7 catat jualan bulanan terbaik sejak pelancaran – 916 unit termasuk eksport pada Mei

    Proton eMas 7 catat jualan bulanan terbaik sejak pelancaran – 916 unit termasuk eksport pada Mei

    Tidak cukup dengan kerap mendahului jualan kenderaan elektrik di Malaysia setiap bulan, Proton eMas 7 kini mencatat jualan bulanan terbaik sejak pelancarannya pada Disember lalu. Menurut Proton, EV pertamanya itu berjaya dijual sebanyak 916 unit (termasuk eksport) pada Mei 2025, sekaligus meningkatkan jumlah jualannya tahun ini kepada 3,632 unit, termasuk 233 unit yang dieksport ke luar negara.

    Bulan April sebelum ini merupakan bulan jualan terbaik bagi SUV tanpa emisi tersebut (863 unit), dengan Pro-Net menyatakan bahawa seorang rakyat Malaysia membeli eMas 7 setiap jam – statistik yang menggelikan hati ini dijangka sedikit lebih baik pada bulan Mei.

    Proton juga mengumumkan bahawa eMas 7 akan diperkenalkan di Trinidad dan Tobago pada bulan ini. Sehingga kini, Nepal merupakan satu-satunya pasaran eksport untuk model ini (sebuah tayangan telah diadakan di Singapura bulan lalu). Pasaran lain yang berpotensi adalah Mauritius dan Brunei, tetapi masih belum ada petunjuk bila ia akan dilancarkan.

    Di Malaysia, eMas 7 ditawarkan pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium; dengan diskaun RM4,000 untuk 6,000 pembeli pertama, harga tersebut diturunkan kepada masing-masing RM105,800 dan RM119,800. Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh motor hadapan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Perbezaan utama antara kedua-dua varian terletak pada kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) jenis Aegis yang digunakan. Varian Prime dilengkapi dengan pek bateri 49.52 kWh, menawarkan jarak WLTP sejauh 345 km manakala varian Premium dengan pek bateri lebih besar, berkapasiti 60.22 kWh membolehkannya bergerak sejauh 410 km dalam satu cas penuh.

    Berkenaan bateri, Geely baru-baru ini telah menguji keselamatan bateri yang digunakan dalam model Galaxy E5 – yang merupakan kembar kepada eMas 7 – dengan menggilisnya menggunakan sebuah kereta kebal seberat 36 tan. Langkah ini bertujuan untuk menunjukkan tahap keselamatan bateri tersebut.

     
     
  • Petronas akan kurangkan 10% tenaga kerja dalam penstrukturan semula; operasi di Kanada diteruskan

    Petronas akan kurangkan 10% tenaga kerja dalam penstrukturan semula; operasi di Kanada diteruskan

    Petronas bakal mengurangkan 10% daripada tenaga pekerjanya susulan penstrukturan semula yang dilakukan, jelas CEO Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik seperti dilaporkan Reuters.

    Syarikat itu bagaimanapun tidak akan menghentikan perniagaannya di Kanada, tambah beliau. Terdahulu, Bloomberg melaporkan bahawa Petronas sedang mempertimbangkan jualan syarikatnya di Kanada, Progress Energy Resources. “Kanada adalah sangat penting bagi cita-cita kami untuk mengekalkan kedudukan dalam pasaran gas asli cecair,” ujar Muhammad Taufik.

    Pada Ferbruari lalu, Muhammad Taufik menyatakan yang Petronas berhasrat untuk memperbetul saiz tenaga kerjanya memandangkan persekitaran operasi global makin berkembang dan menjadi lebih mencabar. Langkah penstrukturan semula yang diambil bertujuan untuk mengurangkan jumlah pekerja, atau mereka yang memegang peranan pentadbir. Ketika itu, Petronas mempunyai sekitar 53,000 orang di peringkat global, dengan 16,000 daripadanya adalah pekerja.

    “Ini bukanlah pemberhentian kerja, sebaliknya langkah memperbetul saiz tenaga kerja. Ini bagi memastikan kelangsungan Petronas dalam dekad-dekad mendatang. Jika kami tidak lakukannya sekarang, tidak ada lagi Petronas dalam 10 tahun akan datang,” jelas Muhammad Taufik dalam satu taklimat media pada Februari lalu.

    Petronas akan kurangkan 10% tenaga kerja dalam penstrukturan semula; operasi di Kanada diteruskan

    Beliau turut menekankan langkah memperbetulkan saiz ini bukanlah disebabkan oleh permintaan kerajaan Sarawak untuk mengambil alih peranan sebagai pengumpul gas daripada Petronas di negeri itu.

    Kali terakhir Petronas menjalankan penstrukturan semula tenaga kerjanya adalah pada 2016, ketika syarikat itu mengumumkan pengurangan 1,000 pekerjaan yang merupakan kurang daripada 2% tenaga kerja keseluruhannya.

    Peranan jangka panjang Petronas akan memberi tumpuan kepada penerokaan huluan, serta memproses produk daripada hidrocarbon, selari dengan perluasan segmen petrokimianya ke terhadap kimia khusus. Kumpulan syarikat itu juga turut melibat kepada teknologi komersilisasi, amalan terbaik dan tenaga boleh diperbaharui.

     
     
  • Proton jual 13,328 unit sepanjang Mei 2025 — YTD 61,087 unit, 19.2% kongsi pasaran, eksport naik 36.6%

    Proton jual 13,328 unit sepanjang Mei 2025 — YTD 61,087 unit, 19.2% kongsi pasaran, eksport naik 36.6%

    Proton telah mencatatkan jualan sebanyak 13,328 unit kenderaan sepanjang Mei 2025 (termasuk jualan eksport, smart dan eMas) sekaligus merekodkan peningkatan sebanyak 6.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, dan kenaikan 5% berbanding bulan lalu serta pertumbuhan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut.

    Termasuk jualan Mac-Mei, jualan tahunan setakat ini (YTD) merekodkan 61,087 unit. Berdasarkan anggaran TIV 69,495 unit bagi Mei, Proton menjangkakan perkongsian pasarannya bagi bulan Mei dan YTD adalah 19.2%.

    Jualan X70 naik 44% untuk mencapai angka 982 unit, mengatasi jualan YTD 2024 sebanyak 53.1%. Sementara itu, sebanyak 2,198 unit X50 dijual sepanjang Mei, dengan angka YTD 9,704 unit, dan 14.3% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu dan kekal menjadi SUV segmen B paling laris. Jualan X90 juga naik 15.5% kepada 224 unit sepanjang Mei, kekal mendahui segmen D SUV di Malaysia.

    Bulan lalu juga menyaksikan sebanyak 5,513 unit Saga terjual (+5.8% berbanding April), 1,385 unit Persona (+4.3% berbanding April), 1,763 unit S70 (+2.7% berbanding April) dan 331 unit Iriz (+14.4%). Bagi EV eMas 7 pula, 916 unit terjual termasuk eksport, menjadikan YTD-nya 3,632 unit (termasuk 233 unit di luar Malaysia).

    Bagi eksport (yang 36.6% mengatasi 2024), Proton telah melancarkan Saga CKD di Mesir tahun ini, dan mengadakan aktiviti tertumpu bagi eMas 7 di Nepal dan Singapura. Bulan ini bakal menyaksikan Proton melancarkan EV berkenaan di Trinidad and Tobago, pasaran eksport keduanya selepas Nepal yang juga merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan. Saga kekal menjadi model eksport tertinggi (710 unit), diikuti oleh X50 (694 unit, 360% pertumbuhan YTD).

     
     
  • Polis laksana Op Lancar Aidiladha mulai hari ini hingga 9 Jun – tumpu lokasi hotspot kesesakan trafik

    Polis laksana Op Lancar Aidiladha mulai hari ini hingga 9 Jun – tumpu lokasi hotspot kesesakan trafik

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Jun 2025, yang memberikan fokus utama kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 1,858 pegawai dan anggota ditugaskan di lokasi panas (hotspot) seluruh negara yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan.

    Tambahnya, seluruh jentera JSPT akan digerakkan secara holistik dan bersistematik untuk mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan-jalan bandaran.

    Polis laksana Op Lancar Aidiladha mulai hari ini hingga 9 Jun – tumpu lokasi hotspot kesesakan trafik

    “Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan maklumat trafik terkini yang boleh dirujuk menerusi media sosial rasmi JSPT dan pihak konsesi lebuh raya. Ia dapat membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih berkesan. Semua pengguna jalan raya juga diseru supaya memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dengan mematuhi peraturan lalu lintas.

    “Elakkan memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025