Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Jun 2025, yang memberikan fokus utama kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, seramai 1,858 pegawai dan anggota ditugaskan di lokasi panas (hotspot) seluruh negara yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan.
Tambahnya, seluruh jentera JSPT akan digerakkan secara holistik dan bersistematik untuk mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan-jalan bandaran.
“Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan maklumat trafik terkini yang boleh dirujuk menerusi media sosial rasmi JSPT dan pihak konsesi lebuh raya. Ia dapat membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih berkesan. Semua pengguna jalan raya juga diseru supaya memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dengan mematuhi peraturan lalu lintas.
“Elakkan memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

