Mazda-2-SkyActiv-D-Clean-Diesel-Challenge-41_BM

Kementerian pengangkutan Jepun akan mengimplementasikan ujian emisi diesel berdasarkan dunia nyata berikutan ujian yang dilakukan pada model keluaran beberapa pengeluar gagal memperoleh keputusan yang mematuhi garis panduan undang-undang emisi negara matahari terbit tersebut.

Menurut The Japan Times, varian diesel Nissan X-Trail, Land Cruiser Prado dan van komersial Toyota Hiace menghasilkan 10 kali lebih banyak gas nitrogen oksida (NOx) berbanding yang dibenarkan. Tidak seperti skandal diesel Volkswagen, tiada sebarang “defeat device” dijumpai pada kesemua kenderaan yang diuji tersebut.

Kereta keluaran Mazda yang diuji iaitu SUV Mazda CX-5 2.2 diesel dan Mazda Demio (dikenali sebagai Mazda 2 di sini) 1.5 liter diesel menunjukkan prestasi yang baik dalam ujian tersebut, menunjukkan ujian pada dunia nyata hampir menyamai ujian makmal enjin itu. Akhbar terbitan Jepun itu juga turut mendakwa tiada pengeluar automotif yang mengambil berat penalti yang bakal dikenakan berikutan ujian yang dilakukan hanyalah memerlukan sesebuah kenderaan itu lulus ujian makmal sahaja dan bukan pada ujian dunia nyata.

Kerajaan Jepun terpanggil untuk membuat keputusan tersebut berikutan CEO Volkswagen Group baharu, Matthias Muller yang turut menyuarakan kepada pihak berkuasa di Eropah untuk membuat ujian sedemikian di sana.

“Percanggahan hasil ujian antara ujian rasmi dan penggunaan sebenar tidak lagi boleh diterima. Kami, iaitu industri ini, perlu untuk mengambil langkah baharu,” kata Muller. Pembuat kereta dari Perancis, PSA Peugeot Citroen, turut mengumumkan bermula Oktober tahun lalu laporan yang diterbitkan berkenaan angka penggunaan bahan api pada “kereta-kereta utama” mereka adalah berdasarkan ujian sebenar pada dunia nyata.

Salah satu jalan penyelesaian untuk isu ini telah dikenal pasti sebagai program ujian-atas-jalan Emmission Analytic, yang dikatakan sangat hampir dengan hasil ujian dunia nyata. Prosedur Ujian Ringan Sedunia (WLTP) yang dirancang, dibangunkan di bawah forum UNECE WP29, ia mensasarkan hasil ujian kecekapan bahan api dan pencemaran/emisi CO2 yang lebih realistik.