Toyota-NR-engine-e1457431889448_BM

PT. Toyota Manufacturing Indonesia (TMMIN) telah mengumumkan kilang enjin baharu mereka di Jawa Barat telah pun memulakan operasinya. Kilang Enjin Kerawang ini telah mula beroperasi sejak penghujung Februari lalu, dibina dengan pelaburan sekitar 2.3 trillion rupiah (RM718 juta).

Kilang tersebut mempunyai kakitangan seramai 400 orang, dan mampu untuk menghasilkan 216,000 unit enjin setahun. Buat masa ini, kilang tersebut memproduksi enjin siri NR 1.3 dan 1.5 liter, di mana sebahagian enjin tersebut bakal dieksport ke luar Indonesia. Enjin siri NR tersebut dibina untuk menjana model-model Toyota seperti Sienta, Avanza, Vios dan Yaris (bergantung pada pasaran).

Kilang Enjin Karawang ini adalah sebahagian rancangan Toyota untuk meminimakan impak negatif semasa proses produksi, dan membolehkan kesemua proses penghasilan enjin dijalankan dalam satu kilang sahaja. Kilang di Karawang ini juga turut memproduksi Kijang Innova, Fortuner, Etios Valco, Vios dan Yaris. Khabar angin mengatakan juga kilang ini turut akan memproduksi Sienta spesifikasi-Indonesia kelak.

Kilang ini turut menjalankan proses peleburan, implementasi pertama seumpamanya di kilang Toyota luar Jepun. Dengan proses peleburan dijalankan di tempat yang sama, kilang ini dapat mengurangkan risiko yang berkaitan penghantaran logam lebur ketika proses pembentukan komponen utama.

Selain itu juga, ruang yang diperlukan untuk proses peleburan dan pembentukan dapat dikurangkan kerana proses penghantaran telah tiada dalam senarai proses. Permintaan yang tidak menentu juga dapat dihadapi dengan lebih responsif, kerana amaun pengeluaran logam lebur dapat dilaras seiring permintaan.

Kilang ini juga turut menampilkan teknologi teras pasir bukan organik, juga pertama seumpamanya di kilang Toyota luar Jepun. Teras tersebut diletakkan di dalam acuan pembentuk untuk mewujudkan rongga dalaman pada proses akhir pembentukan sesebuah komponen. Setelah logam lebur dituang ke dalam acuan dan mengeras, teras tersebut akan pecah.

Secara tradisi, teras adalah bahan organik yang digunakan semasa proses pembentukan, kerana ia memerlukan kombinasi supaya mudah dipecahkan, kuat, kalis haba dan mempunyai sifat pengacuan. Walaubagaimana pun, penggunaannya menghasilkan banyak kesan sampingan seperti pencemaran bau dan penghasilan tar.

Menerusi penggunaan bahan bukan organik, kesan sampingan tersebut boleh dikurangkan dari segi kuantiti, penggunaan penyedut habuk dan penyahbau yang lebih kecil, yang mana akan mengurangkan ruang yang dibuat untuk proses pembentukan dan juga mengurangkan pelaburan awalan.