StarWarsGrabCar-e1450774455652

Syarikat pengendali aplikasi teksi GrabCar, Grab Malaysia, telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dan mematuhi peraturan bakal digubal.

Menurut Pengurus Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu, pihaknya komited membantu mana-mana kementerian atau agensi bagi menaik taraf industri teksi di negara ini, laporan Berita Harian.

“Kami mengalu-alukan peluang untuk menyumbang idea, cadangan dan maklum balas kepada pembuat dasar dalam usaha mentransformasi industri teksi, baik membabitkan pemandu atau penumpang.

“Grab komited memastikan pemandu menjalankan tugas secara amanah di samping menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyarankan agar pengusaha dan pemandu teksi supaya memperbaiki perkhidmatan masing-masing untuk bersaing dengan Grabcar dan Uber. Katanya, terdapat banyak aduan dari orang ramai termasuk pelancong yang diterima berhubung dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi termasuk tidak menggunakan meter, suka memilih laluan sendiri dan tidak menjaga kebersihan.

Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian iaitu Uber dan GrabCar dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

Hari ini pula, pemandu teksi menyeru agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.