Toyota C-HR Geneva live 9

Toyota telah mendedahkan beberapa maklumat utama berkenaan crossover terbaharu segmen-B jenama tersebut, Toyota C-HR dalam laman sesawangnya berbahasa Jepun. Turut berada dalam barisan varian model berkenaan adalah varian 2.0L CVT, iaitu konfigurasi yang berkemungkinan besar adalah spesifikasi yang akan dipasarkan ke rantau ASEAN dan sudah tentu termasuk sekali pasaran Malaysia.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, varian yang menerima enjin kapasiti terbesar akan dijana oleh enjin petrol 2.0 liter tanpa induksi paksaan tetapi jumlah kuasa yang dihasilkan belum lagi didedahkan. Pendedahan terbaharu dari Toyota ini mengesahkan varian 2.0 liter akan menghasilkan kuasa sejumlah 150 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 193 Nm pada takat 3,800 rpm. Melihat pada angka kuasa tersebut, ia tidak sama dengan kuasa yang dihasilkan oleh enjin 6AR-FSE pancitan bahan api terus VVT-iW D-4S yang menjana Camry facelift berkuasa 167 PS/ 199 Nm.

Walau bagaimanapun, angka kuasa yang dihasilkan tersebut adalah hampir sama dengan enjin 3ZR-FE Dual VVT-i yang dilengkapi pada Corolla Altis menjana 145 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 3,600 rpm – jadi ini mungkin enjin yang sama akan dilengkapi pada C-HR. Sebagai perbandingan antara Altis dan C-HR, crossover tersebut menghasilkan lebih 5 PS pada rpm yang lebih rendah dan lebih 6 Nm tork pada 200 rpm lebih tinggi.

Berbanding pencabar utamanya pula, C-HR menghasilkan 8 PS/ 21 Nm lebih daripada Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang berbanding Mazda CX-3 2.0. Enjin tersebut hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik dan memacu roda hadapan. Tidak seperti HR-V dan CX-3, untuk pasaran global termasuk pasaran JDM, tiada model pacuan semua roda (AWD) akan ditawarkan untuk C-HR 2.0L.

Toyota C-HR Geneva live 7

Tetapi, varian AWD boleh dipilih oleh pembeli menerusi varian dengan enjin yang kurang berkuasa iaitu enjin turbo petrol 1.2 liter menjana 116 PS/185 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada transmisi CVT automatik atau enam-kelajuan manual, kedua-duanya menyalurkan kuasa ke sistem AWD.

Juga terdapat untuk pasaran Jepun ialah model hibrid, menggunankan enjin 1.8 liter berkuasa 98 PS/142 Nm bersama sepasang motor eletrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Gandingan unit janakuasa tersebut adalah sama seperti yang terdapat pada Prius terbaharu, dan hanya disediakan dalam bentuk pacuan roda hadapan, tiada opsyen motor untuk roda belakang seperti model Prius E-Four. Toyota mendakwa model hibrid ini boleh mencapai emisi karbon dioksida serendah 90 gram untuk setiap kilometer.

Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding Honda HR-V. Berbanding Mazda CX-3 pula, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang.