Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin, Volkswagen China akan memanggil balik sejumlah 103,569 unit Touareg di negara tersebut bagi memasukkan sebahagian alat yang hilang kerana tanpa alat itu boleh menyebabkan pedal brek tercabut.
Laporan agensi berita China Xinhua menyebut, penarikan semula itu akan bermula 18 April ini yang membabitkan model Touareg keluaran antara 12 Januari 2010 dan 19 Januari 2016.
Syarikat pembuat kereta itu berkata cemat pangsi (pivot pin) pada pedal brek kenderaan yang terjejas mungkin kehilangan klip lengkung (circlip). Jika pedal brek tercabut, ia akan menyebabkan brek gagal berfungsi sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Volkswagen berjanji akan melakukan pemeriksaan menyeluruh serta menggantikan alat yang rosak secara percuma. Namun pihak Volkswagen tidak mendedahkan sama ada terdapat kemalangan yang membabitkan komponen tersebut mahu pun tidak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.