Cloned-cars-

Berikrar mahu membanteras sindiket kenderaan klon hingga ke akar umbi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nekad untuk meneruskan operasi mengesan kenderaan mewah klon tersebut. JPJ mendapati, ia masih lagi digunakan pengguna jalan raya di negara ini, laporan Bernama.

Bercakap kepada pihak media semalam, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya masih kekal komited dan operasi besar-besaran akan terus diadakan bagi mengesan pengguna yang masih berdegil menggunakan kereta klon tersebut.

“Semua sedia maklum menggunakan kereta klon adalah salah. Justeru, kami nasihatkan semua pengguna kereta klon agar menyerahkan kenderaan mereka kepada pihak berkuasa sama ada JPJ atau PDRM, sebelum dikesan. Sekiranya dikesan, tindakan undang-undang akan diambil,” ujar Ismail.

Katanya lagi, banyak kesalahan yang boleh diambil ke atas pemilik kenderaan klon ini termasuk ia tidak didaftarkan, penggunaan cukai jalan palsu, nombor pendaftaran palsu dan sebagainya.

Jika disabit kesalahan, pengguna kereta klon boleh didenda sehingga RM50,000.

“Namun sekiranya pemilik kenderaan klon menyerahkan kereta mereka, kita tidak akan ambil apa-apa tindakan. Sehingga kini sebanyak 1,708 buah telah disita dan saya yakin masih banyak lagi yang belum disita, dengan jumlah yang tidak diketahui. Mungkin 2,000 hingga 3,000 buah lagi,” sambungnya.

Tambah Ismail, beliau yakin sindiket kereta klon akan dapat diselesaikan sepenuhnya selepas pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang kini sedang dibangunkan.