BMW 01

BMW Group Malaysia memperkenalkan Millennium Welt Kuantan sebagai penambahan terbaharu dalam rangkaian pengedarnya di Malaysia. Dengan premis yang terletak di Jalan Teluk Sisik di Kuantan, Millennium Welt Kuantan menyediakan kemudahan 4S yang komprehensif kepada para pelanggan di seluruh negeri Pahang dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Negeri Pahang dan kawasan sekitarnya di Pantai Timur adalah pasaran yang sedang membangun untuk kami. Kawasan ini menyumbangkan lebih 150 buah kenderaan kepada segmen premium dan mempunyai potensi pertumbuhan sehingga 20% untuk beberapa tahun akan datang.”

Memiliki ruang binaan seluas 28,000 kaki persegi, pengedar 4S baharu ini diselia oleh lebih 20 orang kakitangan yang berdedikasi. Ia juga mampu mempamerkan sehingga enam buah kenderaan di ruang pamerannya.

Konsep dan seni bina Millennium Welt Kuantan menampilkan perabot serta identiti terkini jenama BMW. Ia juga menepati semua standard dan spesifikasi bertaraf antarabangsa yang ketat. Pengedaran ini turut merangkumi ruang kerja untuk kakitangan jualan dan penasihat jualan, Isetta Café, sebuah lounge pelanggn, ruang penyerahan kenderaan dan tempat perbincangan.