Screen-Shot-2016-06-03-at-2.09.13-PM_BM

Selepas Volvo XC90 T8 Twin Engine versi CKD dilancar rabu lalu, sedan dan wagon yang turut diasaskan dari Scalable Product Architecture (SPA) iaitu S90 dan V90 kini muncul di laman web Volvo Malaysia, membayangkan kedua-duanya akan mula menembusi pasaran tempatan dan mungkin turut dipasang secara CKD.

Malah, V90 turut ditampilkan pada slide utama laman web tersebut yang turut menampilkan Zlatan Ibrahimovic, bintang bola sepak Sweden yang membintangi kempen V90 di Eropah dengan tagline “Made by Sweden”. Walau bagimanapun, tiada perincian berkenaan harga dan tarikh pelancaran diberikan. Namun dengan kemunculan kedua buah model tersebut di laman web berkenaan sudah cukup untuk memberikan petunjuk ia akan dilancarkan pada masa terdekat (sebahagian khabar angin mengatakan awal tahun hadapan).

Tetapi dengan sedikit perincian yang diberikan, boleh dijangka S90 dan V90 pasaran Malaysia akan dilengkapi dengan sistem bantuan kekal laluan, run-off road mitigation serta pengesan pejalan kaki dan haiwan besar juga pelbagai ciri lain lagi. Seperti yang diketahui, kedua-dua model ini turut dilengkapi dengan rekaan signatur terbaharu Volvo iaitu lampu LED penuh beserta lampu nyalaan siang “Tukul Thor”, gril hadapan “Iron Mark” serta lampu belakang berbentuk-C.

Dibuktikan dengan pelancaran XC90 T8 CKD tempoh hari, S90 dan V90 tidak mustahil turut akan ditawarkan dalam varian T8 Twin Engine yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo serta supercharger dan motor elektrik plug-in hybrid menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik. Ini akan memberikan pengecualian cukai khas dibawah polisi EEV kerajaan untuk kereta mesra alam yang dibuat secara CKD.

Kilang Swedish Motor Assemblies di Shah Alam juga kini telah dilengkapi dengan infrstruktur untuk memasang kenderaan dari platform SPA dan unit janakuasa berteknologi tinggi, setelah Volvo melaburkan sejumlah modal yang besar untuk tujuan tersebut.

“Pelaburan terbaharu kami di Malaysia menunjukkan komitmen kami terhadap aspirasi negara ini untuk menjadi hab kenderaan EEV di ASEAN, selari dengan Polisi Automotif Nasional,” kata Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia Lennart Stegland ketika pelancaran XC90 CKD.

GALERI: Volvo S90


GALERI: Volvo V90