VW_E-Golf

Volkswagen (VW) mungkin mensasarkan China sebagai lokasi pertama bagi membuka kilang memproduksi bateri kenderaan elektrik (EV). Menurut Automotive News Europe, pembukaan kilang terbabit dilihat mampu mendorong pengeluar kenderaan terbesar di Eropah ini dalam memperkenalkan lebih kurang 30 model EV menjelang dekad akan datang.

Selain itu, VW turut menjangkakan mampu menjual tiga juta bateri bagi EV dalam setahun. Jadi, bagi merealisasikan harapan itu, ia memerlukan enam kali ganda bekalan berbanding kapasiti sel bateri automotif pada masa kini di seluruh dunia.

China dilihat sebagai lokasi terbaik bagi tujuan tersebut kerana kerajaan negara berkenaan kini sedang memperhebatkan usaha untuk menambah produksi kenderaan mesra-alam bagi menangani isu pencemaran udara. Malahan, jika kilang bateri besar ini dibina di China, sebahagian besar daripada dananya boleh disumbangkan oleh Shanghai Automotive atau mana-mana entiti dari negara terbabit.

Ada laporan baru-baru ini mengatakan, VW mungin akan membina ‘Gigafactory’ umpama kilang Tesla Motors di Nevada. Pembinaan kilang tersebut adalah sebagai salah satu langkah untuk memperluaskan lagi produksi bagi kenderaan plug-in kerana skala ekonomi juga akan mengurangkan kos setiap unit bagi bateri kenderaan plug-in dan dapat mengelakkan syarikat daripada membeli bateri dari sumber luar termasuk dari Panasonic, Samsung, dan LG Chem.