Exco Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

LPT2 highway PT

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula hari ini bukanlah keputusan tergesa-gesa yang diambil oleh Kabinet, lapor Bernama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, pengguna telah menikmati laluan LPT2 sepenuhnya sejauh 184km dari Jabor di Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu sejak ia dibuka pada 31 Januari tahun lalu.

“LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan. Jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

“Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai. Tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang, kosnya juga telah meningkat berkali ganda,” jelas Rosli.

Kadar caj tol yang dikenakan pada LPT2 ini adalah sama dengan kadar yang dikenakan pada LPT1 dari Kuantan ke Karak iaitu RM0.12 sen untuk sekilometer bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta. Menurut Rosli kadar berkenaan masih relevan dan tidak membebankan pengguna.

LPT2 dilengkapi dengan 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah mempunyai kemudahan seperti tandas, kedai makan dan surau yang sudah beroperasi sepenuhnya.

“Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal. Saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembinaan stesen minyak di R&R lain.

“Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan,” jelas Rosli.

Rosli turut memberitahu kerajaan Pusat bersetuju untuk membayar balik tuntutan sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri atas kos pembinaan LPT2 berkenaan dan wang tersebut akan digunakan sebagai dana khas pembinaan LPT3.

“Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required