AppleMark

Mahkamah Majistret Melaka telah menjatuhkan hukuman terhadap 20 pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan dengan memandu di lorong kecemasan dalam satu insiden di KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada 22 Mei lalu sehingga mengakibatkan ambulans tersekat dalam kesesakan trafik dan tiba lewat di lokasi bagi menyelamatkan mangsa kemalangan terbabit.

Kesemua pesalah trafik terbabit yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat wanita berusia di antara 23 hingga 65 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing, laporan Bernama.

Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman terhadap enam tertuduh yang didenda RM1,000, seramai 11 tertuduh didenda RM1,500 dan tiga lagi didenda RM2,000. Sekiranya gagal membayar denda itu, seramai 19 tertuduh berdepan penjara sebulan manakala seorang tertuduh yang didenda RM2,000 boleh dipenjara dua bulan.

Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Antara alasan yang diberikan oleh pesalah trafik berkenaan ialah ingin cepat menuju ke destinasi, mahu melepasi kesesakan lalu lintas teruk, ingin ke tandas, anggota keluarga sakit, kereta rosak dan tidak mengetahui peraturan lorong kecemasan.

Walau bagaimana pun, Nor Azizah berkata faktor kepentingan awam perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman bagi kes itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa kemalangan malah pengguna jalan raya lain.

Katanya, “Jika semua tidak guna lorong kecemasan, bantuan cepat sampai. Malah kenderaan yang terlibat dengan kemalangan boleh dialihkan dengan cepat dan seterusnya kesesakan lalu lintas dapat diselesaikan segera. Fikirkan orang yang betul-betul perlukan bantuan. Jangan fikir nak cepat saja, kalau jadi keluarga mangsa, tentu kamu juga marah.”

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan Nur Azmina Jacqueline Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.