weststar ambulance

Kejadian baru-baru ini di mana sebuah ambulan yang laluannya ke tempat kemalangan terhalang berikutan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan laluan kecemasan seterusnya menutup laluan tersebut telah mendorong kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Ini boleh dilakukan menerusi bukti berdasarkan gambar dan video.

Pembantu Pengarah (operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail menyarankan agar pengguna jalan raya mengambil gambar mereka yang menyalahgunakan laluan kecemasan dan menghantarnya kepada JPJ, lapor The Sun. Beliau berkata jumlah mereka yang menyalahgunakan laluan tersebut semakin meningkat, terutamanya ketika waktu puncak.

“Orang ramai boleh melaporkannya ke JPJ, tolong ambil juga gambar kereta mereka sebagai bukti,” kata beliau kepada wartawan. Beliau menyatakan mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan lorong keselamatan ini menyebabkan unit tindakan pantas lambat tiba ke tempat berlakunya kemalangan. Beliau juga menggesa orang ramai untuk membayangkan akibatnya jika ahli keluarga mereka yang lambat menerima bantuan ketika kemalangan sedemikian kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pengguna jalan raya ini.

Sementara itu, tujuh pemilik kenderaan yang menyebabkan laluan kecemasan sepanjang laluan Lebuhraya PLUS Simpang Ampat, Alor Gajah pada 22 Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo. Beliau berkata kenderaan-kenderaan berkenaan jelas menghalang laluan ambulan semasa kejadian kecemasan tersebut berlaku. Mereka akan didakwa di bawah Undang-undang Trafik 1959, yang akan membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara untuk kesalahan kali pertama.

Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan Km228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.