Implementasi biodiesel B10 tidak dibantah, tapi perlukan jaminan pengeluar kenderaan – MAA

MAA 1H2016 2

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengesahkan satu perbincangan mengenai implementasi penggunaan biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) telah pun berlangsung semalam, di antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan pengeluar kenderaan dan beberapa pihak terlibat.

Menurut Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad, walau pun pada awalnya ia sepatutnya bermula Jun lalu dan kemudian ditangguhkan ke 1 Julai pula, namun sehingga hari ini, pihak kerajaan belum memberikan tarikh untuk mengimplementasikan penggunaan biodiesel B10

Difahamkan, penangguhan ini dilakukan kerana pihak kerajaan perlu mendengar pandangan dari pelbagai pihat termasuk pengeluar kenderaan, ahli MAA, persatuan operator bas dan lori, syarikat pembekal bahan api serta kemeneterian lain yang berkaitan.

“Kami telah menyuarakan kepada kerajaan bahawa kami belum bersedia untuk pelaksanaan ini. Ini kerana kebimbangan paling utama kami ialah kebanyakan ahli MAA menyatakan, dengan B10, mereka tidak dapat memberikan jaminan, itu masalahnya,” ujar Aishah sambil menambah jamiman amat diperlukan sebelum perkara ini dilaksanakan.

biodiesel 1

Walau bagaimana pun, beliau turut menambah, “Namun ini bukan bermakna kami membantah penggunaan B10, kami menyokongnya, tetapi jaminan perlu diberikan. Malah kami turut menyarankan agar kerajaan boleh menyediakan kedua-dua bahan api diesel B7 dan B10 di semua stesen minyak seluruh negara sebagai pilihan kepada pengguna.”

Pengurus Kanan Pemasaran UMW Toyota Motor Mohd Mazwan Mohd Safwan pula berkata, “Kualiti B10 adalah isunya, di mana di kawasan sejuk termasuk tanah tinggi, ia boleh mengakibatkan pemendakan. Justeru, ia menjadi kebimbangan di kalangan pengeluar kenderaan di sini. Di mana pemendakan itu boleh mengakibatkan ia tersumbat pada penapis minyak dan sebagainya, jadi itulah yang kami hendak elakkan.

“Jadi, ia berkaitan dengan kualiti minyak atau aspek teknikal. Seperti mana yang Datuk Aishah katakan tadi, kami juga berharap agar kerajaan dapat memberikan alternatif, jadi para pelanggan boleh memilih sama ada mahu menggunakan B7 atau pun, sekiranya kerajaan benar-benar mahu mengimplementasikan B10. Ia sangat penting kepada pelanggan untuk memilih,” ujar Mazwan.

Sebelum ini, beberapa pengeluar kenderaan termasuk BMW Malaysia, Isuzu, Toyota dan Volkswagen telah menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan biodiesel ini. Dalam masa yang sama, MAA juga telah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

2016-Malaysian-Bio-diesel-Camerons-drive-2-e1459475144369

Walau bagaimana pun, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menyanggah dakwaan itu dan berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendapan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required