Mazda perkenal CX-5 2.2L SkyActiv-D – harga RM162K

CX-5 Front

Bermaz Motor hari ini memperkenalkan barisan kenderaan diesel yang dilengkapi enjin SkyActiv-D. Ini termasuk model crossover CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D dan dijual pada harga RM161,529. Langkah ini selari dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Mazda di Jepun terhadap barisan kenderaan yang lebih menarik dan cekap dengan sambutan yang sangat menggalakkan.

Ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di kilang pemasangan Bermaz di Kulim, Kedah bagi membolehkan pengguna menikmati pakej harga yang lebih berbaloi.

Enjin SkyActiv-D 2.2L ini menghasilkan 420 Nm tork, setara dengan enjin petrol 4.0L V8. Namun, dalam masa sama, ia memberikan 20% lebih penjimatan bahan api. Enjin diesel yang dibangunkan Mazda ini juga telah menemukan penyelesaian dan tidak lagi menghadapi masalah ketika menghidupkan enjin dalam keadaan sejuk.

Masalah utama bagi enjin diesel ialah ia tidak mempunyai cukup haba untuk pembakaran sempurna dalam keadaan sejuk, dan kerap mengalami misfiring ketika memanaskan enjin. Penyelesaian konvensional adalah dengan meningkatkan nisbah mampatan. Namun, langkah ini mempunyai satu masalah lain; tekanan dan suhu yang terlalu tinggi untuk enjin yang menyebabkan pembakaran tidak lengkap. Penyelesaian umumnya adalah dengan melambatkan ignition, tetapi penggunaan bahan api akan menjadi lebih teruk.

Penyelesaian Mazda pula adalah dengan mengawal dengan tepat suntikan minyak dan memperbaiki bukaan dan penutupan injap ekzos. Penyuntik multi-hole piezo digunakan bagi paten suntikan yang pelbagai. Ketepatan jumlah suntikan dan pemasa ini akan membolehkan kawalan campuran yang optimum, membawa kepada pembakaran maksimum.

Sistem bukaan injap boleh ubah (variable valve lift, VVL) digunakan bagi injap ekzos. Kitaran pembakaran tunggal memadai untuk meningkatkan suhu; gas ekzos kemudiannya disalurkan semula ke dalam silinder untuk menaikkan lagi suhu, yang kemudian memperbaiki menghidupkan enjin ketika sejuk.

Mazda CX-5 SkyActive-D dipadankan dengan transmisi automatik SkyActive-Drive enam-kelajuan dan sistem pacuan 2WD. Ia dijual pada harga RM161,529 tidak termasuk insurans. Pilihan warnanya ialah Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey. Ia juga lengkap dengan semua ciri keselamatan Mazda i-Activeness, termasuk Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS) dan Blind Spot Monitoring (BSM).

Selain model ini, Bermaz turut membawa masuk Mazda6 2.2L SkyActiv-D versi CBU. Sebuah lagi model, Mazda CX-3 1.5L SkyActiv-D juga akan dibawa masuk untuk tujuan penilaian.

Penawaran terbaharu Mazda ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required