Honda Accord 2.4 VTi-L 2016 diprebiu di Malaysia

Honda_Accord_Preview-2

Selepas mengesahkan tempahannya telah pun dibuka sejak 1 Ogos lalu, Honda Malaysia turut mengambil kesempatan mempertontonkan Honda Accord 2.4 VTi-L 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, dalam majlis sambutan Aidilfitrinya bersama pihak media.

Walau pun masih berahsia mengenai tarikh pelancarannya, namun difahamkan ia bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

Model facelift ini ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L serta dua pilihan enjin berbeza. Namun difahamkan, tiada perubahan mekanikal dan ia masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model sebelum ini. Bagi enjin 2.4 VTi-L, ia mampu menghamburkan kuasa 173 hp pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Manakala enjin 2.0 VTi pula dengan kuasa 153 hp pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

Walau bagaimana pun, terdapat perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini iaitu pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Accord facelift dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu “Solid Wing” Honda, menampilkan bar krom yang tebal.

Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu hadapan LED, di mana ia direka seperti bersambung dengan gril hadapan. Ia juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu serta bar LED pada lampu kombinasi belakang.

Bahagian belakang juga diberi suntikan yang lebih segar dengan padanan kemasan bar krom yang yang turut direka seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Walau bagaimana pun tiada perubahan besar dilakukan pada bahagian sisi, kecuali roda aloinya kini menerima rekaan baharu. Model facelift ini juga ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu White Orchid Pearl dan Lunar Silver Metallic.

Untuk bahagian kabinnya, perubahan yang ditampilkan ialah skrin paparan pelbagai-info bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Malah antara elemen yang dijangkakan termasuklah Engine Remote Start, yang membolehkan enjin dan penghawa dingin dihidupkan dengan kunci (seperti mana yang ada pada Civic 2016) dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

Walau bagimana pun, perincian lanjut mengenai Accord facelift 2016 akan boleh diketahui pada hari pelancarannya kelak. Begitu juga dengan harga yang bakal ditawarkan. Namun jika ada sebarang perkembangan, pastinya kami akan berkongsi dengan anda semua.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required