Accord-Facelift-Malaysia-e1470042357803_BM

Honda Malaysia mengumumkan tempahan untuk Accord facelift 2016 kini secara rasminya dibuka. Tempahan kini boleh dibuat di semua 88 bilik pameran pengedar sah Honda di seluruh negara.

Seperti juga model sedia ada, model facelift ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin, dalam tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Manakala pelancarannya pula dijangka akan diadakan pada suku ketiga tahun ini.

Perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini sudah pastinya pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Accord facelift bakal dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu “Solid Wing” Honda, menampilkan bar krom yang tebal. Imej yang diberikan oleh pihak HM juga menunjukkan model berkenaan dilengkapi dengan lampu hadapan LED, di mana ia direka seperti bersambung dengan gril hadapan.

Ia juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu serta bar LED pada lampu kombinasi belakang. Bahagian belakang juga diberi nafas baharu dengan pemadanan kemasan bar krom yang yang turut direka seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Tiada perubahan besar dilakukan pada bahagian sisi, kecuali roda aloinya kini menerima rekaan baharu. Model facelift ini juga ditawarkan dengan dua warna baharu iaitu White Orchid Pearl dan Lunar Silver Metallic.

Tahun ini, jenama Accord sudah pun berada dalam pasaran selama 40 tahun. Model facelift generasi kesembilan ini sebelum ini telah pun dilancarkan di Thailand pada Februari lalu, dan dipamerkan pada Bangkok International Motor Show bulan berikutnya. Untuk mereka yang mahu menyaksikan sendiri Accord ini hadapan mata, Honda Malaysia akan membawa kereta ini dalam satu siri jelajah dari 12 Ogos hingga 4 September 2016. Layari laman web Honda Malaysia untuk jadual penuh siri jelajah tersebut.