PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid talaan Impul

Serena Impul -1

MPV Nissan Serena S-Hybrid C26 mula masuk ke pasaran Malaysia sejak tahun 2013 dalam bentuk CBU. Bagi versi facelift, pihak Edaran Tan Chong Motor berjaya untuk menghasilkan model berkenaan dalam bentuk CKD, seterusnya membolehkan MPV ini dijual di Malaysia dengan harga yang lebih kompetitif.

Selain dari status CKD, sistem hibrid yang dipadankan pada Serena C26 ini turut membolehkan ia mendapat lebih pengecualian cukai dari kerajaan. Jadi, dalam pasaran MPV ‘van type‘ di Malaysia yang dibarisi oleh model seperti Mazda Biante (RM146k), Volkswagen Cross Touran (RM171k) dan Peugeot 5008 (RM155k), Serena merupakan model paling mampu milik dengan harga atas jalan tanpa insuran RM132,978.59 bagi varian terendah S-Hybrid 2.0 Highway Star.

Model yang kami peroleh untuk sesi pandu uji kali ini adalah dari varian tertinggi S-Hybrid Premium talaan Impul lengkap dengan roda aloi Impul Aura SX-50 bersaiz 18-inci dan dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 225/45R18, yang baharu sahaja dilancarkan bulan lalu dan dijual pada harga RM155,863.43. Model talaan Impul ini juga hadir dengan pilihan roda aloi bersaiz 17-inci dan dijual pada harga RM153,863.43. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Serena Impul -12

Dimensi Serena diukur dengan panjang keseluruhan 4,770 mm, lebar 1,735 mm, dan tinggi 1,865 mm, sementara jarak roda pula diukur dengan 2,860 mm. Ini membuatkan Serena merupakan MPV terpanjang dalam kelasnya iaitu lebih panjang dari Biante (-55 mm), 5008 (-240 mm) dan Cross Touran (-364 mm), serta merupakan yang paling tinggi (memberikan kelebihan pada ruang kelegaan kepala). Walau bagaimanapun, Serena mempunyai kelebaran yang paling kecil berbanding Biante (1,770 mm), Cross Touran (1,799 mm) dan 5008 (1,837 mm).

Apa yang membuatkan model ini sebuah ‘model talaan Impul’? Tiada sebarang talaan pada enjin atau suspensi dibuat, tetapi MPV ini dilengkapi dengan pelbagai aksesori tulen yang eksklusif dari Impul yang terdiri dari kit badan, roda aloi serta pelbagai lagi. Pemilik Nissan Serena S-Hybrid sebelum ini juga masih berpeluang untuk mendapatkan kit Impul ini secara berasingan dan keseluruhan kit ini dijual pada harga RM17,490.

Kit badan Impul berkenaan terdiri dari bampar hadapan baharu dengan rekabentuk perumah lampu kabus membuatkan Serena ini nampak seperti Nissan Elgrand, kemasan krom pada penutup bonet enjin yang kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan, spoiler bampar belakang, skirt sisi dan spoiler bumbung serta sirip krom pada bahagian sisi. MPV ini turut dilengkapi lampu hadapan LED dengan larasan automatik, lampu belakang dan lampu brek ketiga LED serta cermin sisi lengkap dengan lampu isyarat membelok, standard untuk semua varian.

Pada bahagian dalaman, versi talaan Impul ini masih lagi seiras dengan model standard. Papan pemuka MPV ini dilengkapi dengan paparan instrumen digital sepenuhnya yang diletakkan tinggi – pemandu tidak perlu menundukkan kepala untuk melihatnya – menampilkan paparan takometer, penggunaan bahan api dan meter kelajuan sebagai watak utama. Skrin utama 6.5-inci sistem infotaimen dan navigasi TCAT (dengan fungsi pemain DVD dan hubungan iPod, USB, Bluetooth dan AUX) berada di konsol tengah, di bawah liang penghawa dingin utama.

Panel kawalan penghawa dingin automatik diletakkan di bahagian bawah, manakala pada bahagian dasar konsol tengah berkenaan pula ditempatkan tuil penukar gear serta suis penghidup enjin. Serena mempunyai ruang storan yang agak banyak – di bawah panel instrumen, glove box pada bahagian atas dan bawah sebelah penumpang, ruang storan terbuka sebelah kiri, pemegang cawan berkembar di konsol tengah, dan ruang storan di dalam perehat tangan bahagian tengah. Meja lipat kecil lengkap dengan pemegang cawan juga dipasang pada tempat duduk barisan pertama untuk kegunaan penumpang di tempat duduk barisan kedua.

Antara ciri lain yang turut dilengkapi pada MPV ini adalah roda stereng balutan kulit dengan butang Kawalan Kelajuan, sistem kunci pintar I-Key, pintu gelangsar belakang berkuasa untuk kedua-dua belah, skrin LCD 10.1-inci untuk kabin belakang, liang penghawa dingin sisi untuk tempat duduk baris kedua dan ketiga, panel kawalan penghawa dingin berasingan untuk kabin belakang serta pelindung matahari pada tingkap tempat duduk baris kedua.

Untuk model premium talaan Impul ini, ia menerima tempat duduk balutan kulit hitam keseluruhan dengan sulaman logo Impul istimewa. Bercakap tentang tempat duduk, kerusi barisan kedua boleh digelangsarkan kehadapan/kebelakang dan tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat kebahagian sisi. Apa yang menarik, perehat tangan bahagian hadapan jika diangkat bahagian atasnya, akan mengubah konfigurasi tempat duduk barisan pertama menjadi ‘bench seat‘.

Perehat tangan tersebut juga boleh digelangsarkan ke bahagian tengah tempat duduk barisan kedua, membolehkan barisan berkenaan diduduki oleh tiga orang (ia turut dilengkapi dengan tali pinggang keledar untuk penumpang tengah). Secara keseluruhan, Serena mampu menempatkan lapan orang penumpang (termasuk pemandu) dalam satu-satu masa, dan konfigurasi kesemua tempat duduknya boleh diubah dengan 14 mod.

Selain itu, tempat duduk baris ketiga mempunyai kelebaran 1,270 mm iaitu kurang 55 mm dari lebar tempat duduk barisan kedua (dengan perehat tangan digelangsarkan ke bahagian ini). Ruang kelegaan lutut bahagian ini juga hampir sama dengan ruang pada barisan kedua, membolehkan dua orang dewasa duduk dengan selesa tanpa rasa ‘terkurung’. Bukan itu sahaja, ruang storan serta pemegang cawan turut dilengkapi pada kedua-dua bahagian sisi barisan ketiga tersebut.

Satu masalah jika MPV sebegini adalah ruang kargonya, sekiranya semua tempat duduk dipenuhi dengan penumpang. Serena S-Hybrid dilengkapi dengan ruang but tambahan pada bahagian lantai ruang kargo. Ruang tambahan berkenaan boleh dibuka dengan mudah walaupun tempat duduk barisan ketiga tidak dilipat. Nissan tidak menyebut kapasiti rasmi ruang tambahan ini, tetapi mengikut pengamatan saya, tidak ada masalah untuk memuatkan 6-8 beg plastik membeli-belah bersaiz besar yang berisi penuh.

Serena Impul -18

Beralih kepada ciri keselamatan, semua varian Serena C26 didatangkan standard dengan sistem brek ABS lengkap dengan EBD dan BA, Bantuan Mula Mendaki, dua beg udara pada bahagian hadapan serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada tempat duduk baris kedua.

Model talaan Impul ini masih mengekalkan unit janakuasa asal Serena S-Hybrid tanpa apa-apa perubahan – dijana oleh enjin petrol MR20DD dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 147 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi automatik Xtronic CVT, memacu roda hadapan.

Sistem hibrid pada Serena ini tidaklah begitu ‘hardcore‘ seperti sistem hibrid pada Honda atau Toyota. Tiada motor elektrik yang dipadankan terus pada enjin atau sistem transmisi, dan tiada juga bateri pek bersaiz besar pada bahagian tengah atau belakang MPV ini. Ia hanya dilengkapi bateri kedua yang kecil sedikit (berkapasiti 27 Ah) dari bateri utama dan sebuah alternator bersaiz besar digelar ECO motor yang bukan sahaja berfungsi mengecas bateri utama ketika enjin beroperasi, tetapi turut akan mengecas bateri tambahan ketika Serena ini menyah-pecut.

Serena Impul -7

Jadi bagaimana sistem berkenaan membuat Serena ini lebih cekap tenaga? Ketika Serena ini dipandu, kuasa elektrik untuk sistem pancitan bahan api enjin dan sistem elektrikal lain tidak dibekalkan oleh alternator, sebaliknya dari bateri utama dan bateri tambahan. Ini membolehkan beban enjin ketika beroperasi dikurangkan, seterusnya memberikan kecekapan tenaga yang lebih baik. Motor ECO berkenaan juga akan memberikan tork tambahan 50 Nm terus ke aci engkol selama 1 saat semasa MPV ini mula bergerak dari keadaan pegun dan enjin baharu dihidupkan setelah dimatikan ketika sistem idling auto start/stop berfungsi.

Dengan berat badan hampir 1.7 tan, karekter enjin 2.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear CVT ini bersifat agak ‘malas’ ketika memecut. Tetapi ia agak selesa setelah mendapat momentum kelajuan, dan mudah mencapai kelajuan sekitar 140-150 km/j. Adakah ini menjadi masalah? Tidak, kerana Serena secara automatik mengubah corak pemanduan saya, sesuai dengan statusnya sebagai sebuah MPV keluarga. Ia akan membuatkan anda stress jika berusaha memandunya dengan gaya pemanduan agresif, ditambah dengan ngauman enjin yang agak kuat. Sebaliknya, anda akan berasa selesa jika memandunya dengan tenang – dengan bunyi enjin dan bunyi tayar yang agak minima masuk ke dalam kabin.

Sejauh mana kecekapan tenaga Serena ini? Mengikut brosur, MPV ini mencatatkan 15.2 km/l dalam ujian penggunaan bahan api kitaran JC08 di Jepun. Sepanjang saya menguji MPV ini, paparan info penggunaan bahan api purata berada pada paras sekitar 8.6-8.7 km/l. Satu tangki penuh bahan api sebanyak 60 liter habis saya gunakan ketika trip meter menunjukkan jarak 520 km, atau sekitar 8.67 km untuk setiap liter petrol.

Serena S-Hybrid dibina berasaskan platform Nissan Sylphy G11, oleh itu, ia dibekalkan dengan sistem suspensi Topang McPherson pada bahagian hadapan dan gandar torsion beam pada bahagian belakang. Kerana badannya yang tinggi, sudah tentu olengan badannya terasa ketika meredah selekoh dengan kelajuan tinggi. Namun jika anda memandu MPV ini pada kadar sepatutnya, dinamik pengendalian Serena boleh dikatakan berada pada paras ‘bagus’. Stereng Serena juga bersifat tidak malas, dan mudah diagak ketika melalui jalan berliku.

Sudah tentu ‘van’ ini tidak mempunyai kebolehan mencengkam jalan yang hebat – kerana ia sebuah MPV, dan suspensinya ditala lembut lebih menjurus kepada keselesaan penumpang. Tapi, anda tidak perlu risau kemungkinan berlakunya oversteer atau understeer, kerana dalam situasi paling buruk, sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VSC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang dilengkapi pada semua varian Serena C26 akan memainkan peranannya.

Dengan harga hampir RM14,000 lebih mahal berbanding model standard varian tertinggi Premium Highway Star 2.0 (RM143,063.44) adakah versi talaan Impul ini berbaloi untuk dimiliki? Dari segi praktikaliti, langsung tiada beza antara varian berkenaan. Tetapi jika semasa zaman bujang dahulu anda pengguna sebuah sedan yang paling kurang pun perlu menukar sport rim agar mata tidak sakit ketika melihat kereta sendiri, pelaburan sedemikian mungkin amat diperlukan untuk mengubah sebuah ‘kotak bergerak’ menjadi sebuah MPV yang menawan.

GALERI: Nissan Serena Hybrid 2.0 Highway Star standard

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required