Audi perkenalkan Audi A5 dan S5 Sportback terkini – enjin turut diperbaharui, kelengkapan lebih canggih

Audi A5 Sportback

Tujuh tahun selepas pengenalan Audi A5 Sportback yang pertama, kini Audi memperkenalkan versi terbaharu kenderaan coupe lima pintu tersebut.

Pada aspek luarannya, kenderaan ini direka supaya nampak lebih dinamik dan tegap tetapi masih mengekalkan identiti Audi seperti penggunaan gril Singleframe, namun ia lebih lebar dan rata berbanding model sebelumnya.

Lampu utama pula kini diberikan pilihan sama ada LED ataupun Matrix LED, dengan lampu penunjuk arah dinamik.

Perbandingan lain yang boleh dibuat dengan model sebelumnya adalah termasuk pengurangan berat sebanyak 85kg, dengan berat keseluruhan 1,470kg dan kecekapan rintangan angin (drag coefficiency) 0.26cd.

Untuk bahagian enjin, Audi A5 Sportback akan dilancarkan secara keseluruhan dengan pilihan lima enjin; dua TFSI (petrol) dan tiga TDI (diesel), masing-masing dengan kuasa antara 190hp hingga 286hp. Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 17 peratus dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan sebanyak 22 peratus berbanding model sebelumnya.

Semua pilihan enjin ini akan digabungkan dengan transmisi yang bersesuaian, sama ada manual enam kelajuan, automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan ataupun Tiptronic lapan kelajuan.

Namun, bagi varian prestasi lebih tinggi iaitu Audi S5 Sportback, ia akan ditawarkan dengan enjin 3.0 TFSI V6 yang dipadankan bersama kotak gear Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan sehingga 354hp kuasa maksimum dan 500Nm tork.

Selain itu, Audi A5 Sportback juga akan ditawarkan sebagai bivalent g-tron, yang dikuasakan oleh sama ada e-gas Audi, gas asli ataupun gasolin.

Audi S5 Sportback

Casis juga adalah antara tarikan utama Audi A5 dan S5 Sportback, dan untuk model baharu ini, A5 Sportback akan dilengkapi dengan stereng kuasa elektromekanikal dan pilihan stereng dinamik yang boleh mengawal nisbah gear bergantung kepada kelajuan dan sudut pusingan stereng.

Seperti kenderaan Audi lain, mod pemanduan didatangkan standard pada Audi A5 dan S5 Sportback baharu.

Pada bahagian dalam Audi A5 Sportback, keluasannya bertambah bagi pemandu dan penumpang, dengan kelengkapan lain yang berkualiti tinggi termasuk lampu suasana dalam 30 warna berbeza yang boleh dipilih.

Ciri lain pada Audi A5 Sportback adalah ruang simpanan belakang 480 liter, tempat duduk belakang 40:20:40 yang boleh menjadikan ruang simpanan 1,300 liter, monitor TFT 12.3 inci beresolusi tinggi dengan pelbagai paparan serta sambungan telefon pintar Apple Car Play dan Android Auto.

Bagi yang mahukan lebih daripada itu, Audi turut menyediakan pilihan pengesan untuk membuka ruang simpanan belakang secara automatik, Head Up Display, Audi Connect SIM, MMI Navigation Plus, sistem pengecas telefon tanpa wayar dan sistem bunyi 19 pembesar suara Bang & Olufsen.

Audi A5 dan S5 Sportback akan berada di pusat pameran di Jerman dan negara Eropah lain pada Januari 2017 dengan harga bermula EUR37,800 (RM172,775) bagi A5 Sportback dan EUR62,500 (RM285,673) bagi S5 Sportback.

Untuk pasaran Malaysia, ketibaan serta pilihan enjinnya masih belum dipastikan, namun Audi Malaysia sedang memberikan perhatian kepada model A4 baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required