PANDU UJI: Toyota Hilux 2.8G – Ketangkasan dalam imej urban, mampukah ia mengekalkan populariti?

2016-toyota-hilux-2-8g-bm-06

Sama ada kita suka atau tidak, Toyota Hilux merupakan satu daripada produk akhir automotif yang paling berjaya diperingkat global; ia dijual di 180 negara, dan dipasang atau dikilangkan di 12 buah negara seluruh dunia.

Sejak model generasi pertamanya diperkenalkan pada 1968, ia membina reputasi yang luar biasa meluas bagi pengeluarnya. Dari banyak sudut, Hilux merupakan perintis kepada penerimaan pikap trak oleh pasaran dan perkara itu sukar disangkal oleh sesiapapun.

Malaysia sendiri turut tidak terlepas daripada menjadi sebahagian daripada “watak” di dalam lipatan sejarah model berkenaan. Sejak daripada model generasi pertama itu diperkenalkan, kilang pemasangan milik UMW Toyota Motor, Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang terletak di Shah Alam sudah mula memasangnya untuk pasaran tempatan. Ini berlaku lama dahulu, sejak penghujung 1960an.

Sepanjang tempoh itu, kita sudah menyaksikan tujuh generasi Toyota Hilux dilahirkan dan mendominasi pasaran, baik diperingkat global mahupun di Malaysia. Melihat kepada perkembangannya, Hilux bukanlah sebuah model yang perlukan pengenalan panjang lebar lagi. Ia sampai ke tahap ini; jika anda memiliki atau memandu mana-mana trak pikap, sebahagian besar orang ramai masih tetap menggelar trak pikap berkenaan dengan panggilan “Hilux”.

Tidak kiralah yang anda pandu itu sebuah Ford Ranger, Nissan Navara atau Mitsubishi Triton. “Hilux” sudah menjadi satu nama yang sudah sebati dengan imej sebuah pikap trak, seperti mana nama “Jip” (yang datang daripada jenama kenderaan 4×4 Jeep) digunakan untuk merujuk kepada hampir semua kenderaan pacuan empat roda oleh segelintir masyarakat kita.

2016-toyota-hilux-2-8g-bm-73

Reputasi seperti ini pula tidaklah datang secara tiba-tiba. Ambil contoh Toyota Hilux generasi ketujuh, versi yang selalu kita lihat sebelum ini. Sejak diperkenalkan di sini pada 2005, lebih daripada 200,000 unit sudah dipasang dan dijual untuk pasaran tempatan sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi tempoh 10 tahun terakhir, perkongsian pasaran bagi model ini di dalam segmen trak pikap secara purata ialah 50%. Separuh daripada keseluruhan jumlah trak pikap yang dijual dalam tempoh berkenaan adalah disumbangkan oleh Toyota Hilux. Ini semestinya satu pencapaian yang bukan calang-calang; ia sudah meraih keyakinan melalui jenamanya. Dan, ini baru mengambil kira situasi di Malaysia sahaja, belum di tempat-tempat lain.

Versi terbaharu Toyota Hilux yang masuk pasaran tempatan, yang dilancarkan awal tahun ini dan yang dipaparkan untuk laporan ini adalah merupakan Hilux dari generasi kelapan. Secara ringkasnya, ia adalah model serba baharu, terpisah terus daripada model generasi sebelumnya.

Sebagai contoh, struktur paling asasnya menggunakan casis ladder frame serba baharu yang kini lebih kukuh dan tebal. Kerangka badannya (bodyshell) pula kali ini mempunyai 45% lebih banyak titik kimpalan (388 berbanding 268 bagi model sebelumnya). Kelebihannya? Keselamatan ketika perlanggaran kini lebih baik serta kemampuan menyerap impak pada bahagian ini juga dipertingkatkan.

Bagi sistem suspensi, ia kekal sama seperti sebelumnya, tetapi melibatkan beberapa pembaharuan pada talaan. Bahagian depan menggunakan sistem suspensi double wishbones. Di belakang pula, gandar jenis rigid axle dengan semi-elliptic leafspring bagi kedua-dua sisi digunakan. Leafspring belakang kini 100 mm lebih panjang dan diletakkan dengan tambahan 50 mm lebih jauh antara satu sama lain, menyumbang kepada lebih keselesaan dan kestabilan.

Turut menyumbang kepada perkara ini ialah diameter silinder penyerap hentak yang lebih besar, yang menghasilkan peningkatan daya dengan strok yang lebih pendek untuk mengendalikan gegaran kecil dengan lebih baik. Semua penambahbaikan ini memberikan satu kesan besar; wheel articulation Hilux kini dipertingkat kepada 520 mm bagi kedua-dua belah roda belakang (dahulunya 433 mm bagi roda kiri, 474 mm bagi roda kanan).

Hal ini adalah amat penting misalnya ketika berada di laluan yang permukaannya tidak rata dan off-road, yang pada kebanyakan masanya meletakkan tayar belakang di sebelah kiri dan kanan berada dalam kedudukan dan situasi yang berbeza dalam satu-satu masa. Dengan ini, badan trak akan lebih stabil dan ‘tegak’ berbanding model terdahulu ketika melalui permukaan tidak rata berkenaan. Ketika sesi pandu uji ringkas sebelum pelancarannya dahulu, kami sempat mencubanya dalam laluan yang lebih mencabar.

Beberapa lagi fakta nombor Hilux 2016 ini berbanding model lamanya; bagi model Double Cab, ia kini 70 mm lebih panjang dan 20 mm lebih lebar. Jarak kelegaan tanahnya juga mencapai jarak 286 mm, untuk membolehkan Hilux melepasi halangan laluan atau meredah air tanpa sebarang masalah.

Enam varian dipasang dan ditawarkan sebagai pilihan untuk pasaran tempatan. Tetapi yang lebih penting untuk dinyatakan ialah pilihan enjin yang ada. Kali ini, masih dengan dua penawaran enjin, tetapi bukan enjin yang sama dengan model lama; 2GD-FTV 2.4 liter yang menjana 148 hp dan 400 Nm tork pada 1,600 rpm – 2,000 rpm dan juga 1GD-FTV 2.8 liter yang menghasilkan 175 hp dengan 450 Nm tork pada 1,600 rpm – 2,400 rpm.

Enjinnya menggunakan teknologi penyampaian bahan api commonrail bertekanan tinggi dengan ciri variable nozzle turbocharger (VNT) yang dikawal secara elektronik. Berat dan geseran dalaman antara komponen enjin dikurangkan, serta kedudukan intercooler kini dialihkan ke bahagian depan berbanding bahagian atas enjin sebelum ini meningkatkan keberkesanan penyejukan enjin.

Berbeza sama sekali dengan Hilux sebelum ini, yang ditawarkan dengan pilihan enjin 2.5 liter (142 hp/343 Nm) dan 3.0 liter (160 hp/343 Nm). Seperti yang dapat dilihat, penawaran enjin terbaharunya adalah dalam kapasiti yang lebih kecil, tetapi mampu memberikan janaan kuasa yang lebih.

Enjin 2.4L baharu memberikan 4% lebih output berbanding enjin 2.5L sebelumnya, dengan tork yang 16% lebih tinggi. Bagi enjin 2.8 liter baharu pula, kuasanya 9% lebih tinggi jika dibandingkan dengan enjin 3.0L lama, dengan tambahan tork yang lebih ketara, iaitu sebanyak 13% peningkatan.

Kedua-dua pilihan enjin berkenaan kini dipadankan dengan sistem transmisi automatik atau manual enam kelajuan. Bagi transmisi automatik, ia dari jenis Super ECT dengan pertukaran gear dikawal secara elektronik. Ia lengkap dengan Deceleration Downshift Control yang membantu mengekalkan kelajuan enjin ketika kenderaan diperlahankan.

Toyota Hilux di dalam penampilannya yang terbaharu seperti ingin mengikut jejak kebanyakan trak-trak pikap lain lebih cenderung menerapkan ciri-ciri yang lebih mesra penumpang, sama seperti yang ditawarkan pada kereta penumpang biasa. Maksudnya di sini, trak pikap kini tidak lagi terasa ‘kosong’, dan semata-mata untuk memenuhi keperluan kerja-kerja lasak sahaja.

Selain ketangkasan dan kelasakan yang sudah terbukti, Hilux terbaharu dari varian G yang diuji ini ingin membawa imej dan gaya urban. Lihat sentuhan penggayaan yang digunakan di bahagian luar; penggunaan lampu utama LED dengan lampun nyalaan siang (DRL) yang juga dari jenis LED, kemasan krom yang sangat ketara pada gril depan, pemegang pintu serta penutup ruang kargo belakang, cermin sisi dengan penunjuk lampu isyarat serta lampu belakang sentuhan gelap (smoke), semuanya mengukuhkan pernyataan ini.

Ini diikuti juga di bahagian dalamnya. Melangkah ke dalam kabin, antara hal yang paling menonjol ialah rekaan papan pemukanya. Lebih padat dan rapat ke bahagian dinding depan, rekaan dan kemasannya juga lebih moden dan kontemporari; pada pandangan saya ini sesuatu yang menarik berlaku terhadap Hilux, kerana ia tidak lagi terlalu ringkas dan membosankan seperti sebelumnya.

Terdiri daripada beberapa lapisan rekaan, papan pemuka dengan warna latar hitam serta kemasan warna perak yang agak menonjol memberi sentuhan yang segar. Bahagian ini terasa seperti rekaan yang sepatutnya apa pada kenderaan penumpang biasa, dan bukannya bagi sebuah trak. Ia juga dilengkapi dengan skrin sentuh 6.1 inci DVD-AVX Display. Dari aspek ruang dalaman, sekurang-kurangnya pada varian 2.8G yang dicuba ini, itu sahaja sudah cukup jelas arah tuju yang cuba di capai oleh pengeluarnya.

Namun, adakah ia berhasil menawarkan keselesaan dan pemanduan yang lebih bersahaja (bagi sebuah trak pikap tentunya) untuk melengkapi imej yang dinyatakan tadi? Untuk pertanyaan ini, saya fikir jawapannya tidak. Dan, itu bukanlah sesuatu yang negatif. Mengapa? Mudah saja, disebalik semua ciri aksesori dan kemasan yang ditampilkan untuk menjadikan Hilux lebih menawan, DNA terasnya masih sebuah trak pikap dengan tradisi 50 tahun lamanya.

Walaupun mungkin ada yang tidak menggemarinya, sebagai contoh, bunyi bising dari enjin dieselnya yang kedengaran dengan jelas dari dalam kabin, saya sebaliknya tidak bermasalah dengan gangguan seperti itu. Ini kerana, sejak awal lagi jangkaan saya ialah Hilux akan memberikan pengalaman pemanduan selayaknya sebagai sebuah trak pikap (dalam konteks ini, yang tangkas dan lasak).

Memang untuk tujuan itulah Hilux direka. Bagi penumpang, saya boleh faham jika ada yang akan merungut; walaupun berjalan di atas permukaan yang baik, misalnya di lebuhraya, lantunan yang akan dirasakan adalah sangat ketara. Jika anda faham tentang gandingan ladder frame serta penggunaan leafspring pada suspensi belakangnya, anda akan mampu menerima Hilux seadanya.

Kerana ini adalah sebahagian daripada kerektornya. Disebabkan ini juga, saya tak faham mengapa kebanyakan pemandu trak pikap cenderung memandu dengan laju dalam cara merbahaya. Ia tidak direka untuk fungsi itu, dan dalam kebanyakan waktu, dalam keadaan laju seperti itu, ia sangat mudah hilang kawalan dan mengakibatkan kemalangan.

Kesempatan memandu Hilux 2.8G ini beberapa hari sebelum ini, sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan harian, faktor keselesaan ini antara yang diberi perhatian. Ada ketika, memandunya terasa agak meletihkan; saiz yang besar memerlukan perhatian tambahan, begitu juga dengan lantunan yang dapat dirasakan.

Namun, ketika memikirkan tentang torknya, itu sudah cukup untuk mengukir senyuman. Tambahan pula ketika cuaca hujan atau berada dilaluan binaan yang ketika ini berselerak di sekitar Kuala Lumpur, tak sedetik pun saya merasa ragu-ragu. Apa saja suasananya, saya tahu Hilux pasti dapat melepasinya. Jika berlaku banjir kilat di tengah kota, kemungkinan Hilux dapat meredahinya lebih tinggi daripada kemungkinan ia tersangkut sama.

Aspek keselamatannya juga pada penawaran yang terbaik. Bagi varian 2.8G, tujuh beg udara disediakan (tiga beg udara bagi varian lain). Dengan penarafan ASEAN NCAP 5 bintang, ia dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan terkini dan terlengkap; selain daripada ciri yang biasa seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Hill-start Assist Control (HAC) dan ISOFIX di tempat duduk belakang, Hilux juga disertakan dengan Trailer Sway Control (TSC) yang bertindak mengawal bahagian trailer tambahan (jika ada) dalam situasi-situasi memerlukan.

Adakah Hilux 2.8G ini sesuai untuk anda? Jika anda boleh bertolak ansur dengan karektor pemanduan sebuah trak pikap seperti yang dinyatakan, Hilux akan menjadi kenderaan yang dapat memuaskan keperluan dan kehendak anda. Sepanjang menggunakannya, penggunaan minyak terbaik yang dapat dicapai, seperti yang dipaparkan oleh komputernya, ialah 11 km per liter.

Toyota Hilux 2.8G AT Double Cab 4×4 dijual pada harga RM133,900 termasuk GST dan insurans. Untuk melihat perbezaan varian lain atau nasihat pembelian, layari juga laman Carbase.my

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required