img_4828

Selepas melancarkan Volkswagen Vento pada pertengahan Mei lalu, hari ini Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) memperkenalkan pula model Jetta facelift bagi pasaran Malaysia. Ia juga telah pun mula dibuka tempahan sejak 20 September lalu. Jetta 2016 ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Trendline, Comfortline dan spesifikasi tertinggi Highline.

Kesemua varian dijana oleh enjin generasi baharu iaitu 1.4L TSI suntikan-terus empat-silinder dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Berbanding Jetta model sebelum ini yang dipadankan dengan enjin 1.4L TSI pengecas-berkembar (supercharger dan turbocharger) dengan kuasa 160 PS dan tork 240 Nm. Ini bermakna Jetta 2016 diturunkan kuasa sebanyak 10 PS tetapi miliki kelebihan 10 Nm.

Ia turut dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan, membolehkan Jetta 2016 mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 220 km/j. Berbanding Jetta terdahulu yang mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8.3 saat dengan kelajuan maksimum 221 km/j.

Enjin berkenaan juga membolehkan Jetta yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) diiktiraf secara rasmi sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi dengan fungsi start/stop automatik, fungsi luncuran dan brek janaan semula. Ini membolehkan ia memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan kos penyelenggaran yang lebih rendah. Dengan prestasinya yang sporty, ia turut menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter (berbanding 6.0L untuk model Jetta terdahulu) bagi setiap 100 km.

volkswagen_jettafl_ext-25-bm

Bagi luarannya, Jetta 2016 menyerlahkan DNA reka bentuk Volkswagen dengan ciri-ciri yang elegan termasuk dengan ciri aerodinamik yang telah ditambah baik. Selain itu, ia juga hadir dengan gril, bampar hadapan serta lampu bampar belakang baharu.

Untuk varian asas Trendline, spesifikasi yang ditawarkan adalah di bawah model Jetta terdahulu. Walau pun ia mengekalkan beberapa elemen termasuk lampu utama reflektor halogen, rim aloi Sedona 16-inci, lampu kabus depan dan belakang, kemasan fabrik Sienna dan corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang. Elemen baharu yang ditampilkan cuma kemasan dan hiasan Zebrano.

Walau bagaimana pun terdapat beberapa ciri yang berbeza di mana Trendline kali ini dilengkapi dengan penghawa dingin yang dikawal secara manual berbanding sistem Climatronic dwi-zon pada model sebelum ini. Malahan unit utama sistem audio juga menggunakan sistem RCD 220 yang lebih rendah termasuk dengan port USB, kad SD dan enam-pembesar suara. Bukan itu sahaja, ia tidak lagi menampilkan kawalan kelajuan dan butang kawalan pada stereng.

Manakala untuk Comfortline iaitu varian pertengahan, ia ditampilkan dengan rim Navara, dan tambahan elemen dalaman termasuk unit audio RCD 330G dengan skrin sentuh lima-inci serta sambungan Bluetooth dan Mirrorlink.

Bagi varian tertinggi iaitu Highline pula, didatangkan dengan ciri tambahan, termasuk lampu utama bi-xenon dengan lampu nyalaan siang LED serta ciri pengaktifan automatik bersama fungsi ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’ secara manual, lampu belakang LED, rim aloi Queensland 17-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang Push Start, kawalan kelajuan dan kemasan kulit Vienna bagi tempat duduk.

Untuk keselamatan, Jetta 2016 ini dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah penggera anti-curi bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak ISOFIX.

Harga bukan atas jalan (tanpa insurans) yang diumumkan ialah RM108,990 bagi Trendline, Comfortline pula berharga RM117,990 dan Highline pula ialah RM128,990. Semua pembelian model Volkswagen mulai 1 September 2016, akan menikmati waranti pengilang selama lima tahun, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama.

Jetta 2016 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).

Untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai spesifikasi bagi setiap varian Jetta 2016, sila layari Carbase.my.

GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Highline

GALERI: Volkswagen Jetta 2016 varian Comfortline