2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-drive-3_BM

Porsche Holding Salzburg (PHS) telah mengumumkan penyertaannya ke dalam pasaran automotif tempatan sebagai pengedar rasmi kenderaan Volkswagen, di bawah nama syarikat baharu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Ia diterajui oleh dua orang Pengarah Urusan iaitu Alin Tapalaga yang memantau operasi Jenama dan Sumber Manusia. Sementara Florian Steiner pula bertanggungjawab ke atas aspek Selepas Jualan, Teknologi Maklumat dan Kewangan.

Dengan aspirasi menjalankan perniagaan di rantau ini dalam jangka masa panjang, fokus utama VPCM melibatkan strategi jualan menerusi produk- produk pada masa depan. Di samping mengukuhkan rangkaian pengedar Volkswagen, servis dan kebolehdapatan alat ganti.

“VPCM benar-benar komited terhadap pertumbuhan masa depan Volkswagen, di sebalik landskap automotif Malaysia yang sangat kompetitif. Dengan pasukan pengurusan sedia ada yang mantap, kami akan berusaha untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lengkap kepada para pelanggan. Kami juga akan menambah rangkaian model CKD dan terus mengimport model CBU ke negara ini,” kata Tapalaga.

L-R Mr. Alin Tapalaga and Mr. Florian Steiner of Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)

(Dari kiri ke kanan) Alin Tapalaga & Florian Steiner

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan produk-produk Volkswagen, VPCM turut memperkenalkan jaminan pengilang selama lima tahun untuk semua kenderaan Volkswagen yang dibeli mulai 1 September 2016. Ia adalag bagi menggantikan waranti 2+3 sedia ada. Selain itu, VPCM juga akan melancarkan dua model penting Volkswagen iaitu Jetta baharu dan Passat serba baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Aspek kepuasan pelanggan kekal menjadi keutamaan kami. Untuk mencapai semua ini, kami sedar tentang pentingnya hubungan yang mantap dengan para pengedar. Kami akan terus bekerjasama untuk meneroka cara baharu untuk meningkatkan lagi pengalaman para pelanggan,” kata Steiner.

Porsche Holding Salzburg merupakan pengedar automotif paling besar dan berjaya di Eropah. Syarikat yang berpangkalan di Salzburg itu ditubuhkan pada tahun 1947. Ia kini beroperasi di 26 buah pasaran di Barat dan Tenggara Eropah, China, Columbia serta Chile di Amerika Selatan.

Pengumuman ini dibuat selepas satu siri langkah penggabungan dilakukan sejak enam bulan lalu oleh Volkswagen Malaysia. Mulai sekarang, Volkswagen Group Malaysia (VGM) akan memberi fokus kepada kepentingan perniagaannya di Malaysia iaitu jenama Audi dan operasi pemasangan tempatan di Pekan. VGM akan beroperasi di bawah kendalian pengarah urusan yang baharu, Jeffrey Dehate berkuatkuasa 1 Oktober 2016.