Audi Q7 baharu kini di Malaysia – ditawarkan dengan enjin 2.0 TFSI quattro, harga bermula RM525k

Static photo  Colour: Tofana White

Sebelum ini, Audi Q7 dijanakan oleh enjin 3.0 TFSI dengan supercharged V6, yang diperkenalkan di pasaran pada tahun lalu. Terbaru, Audi Malaysia membawa varian baharu Q7 dengan pilihan 2.0 TFSI quattro bersama pacuan semua roda.

Bagi varian baharu ini, ia dilengkapi enjin 2.0 TFSI empat-silinder dengan suntikan terus bahan api dan pengecas turbo. Ia dipadankan dengan transmisi tiptronic lapan-kelajuan, gabungan tersebut membantu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp dan tork puncak 370 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm.

Audi Q7 2.0 TFSI quattro ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 7.1 saat, iaitu 0.8 saat lebih pantas berbanding varian Q7 3.0 TFSi generasi terdahulu. Audi turut mendakwa penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 7.4 liter bagi setiap kilometer dan emisi bagi CO2 pula lebih kurang 172 g/km.

Ia turut ditawarkan dengan pengendalian yang lebih berdinamik dan penuh karakteristik, sesuai dengan sifatnya sebagai SUV bersaiz besar. Malahan ia turut memiliki ruang dalaman yang luas dalam kelasnya, serta telah dikurangkan beratnya sebanyak 325 kg berbanding generasi sebelumnya. Selain itu, ia turut dibina dengan menggunakan komponen alumnium dan rekaan pelbagai-material pintar bagi memberikan ia lebih ringan tanpa berkompromi soal ketegaran dan kestabilannya.

Static photo  Colour: Tofana White

Bagi pengendalian yang lebih dinamik, Q7 2.0 TFSI quattro ini turut dilengkapi dengan suspensi udara adaptif sebagai standard berserta sistem peredam gegelung udara kawalan elektronik boleh laras berterusan bagi memberikan keselesaan pengendalian.

Selain itu, ia turut dilengkapi pelarasan Auto, Dynamic, Efficiency, Comfort dan Individual sebagai standard, serta mod Allroad dengan ketinggian pengendalian 25 mm yang membolehkan jentera dipacu dalam keadaan apa jua permukaan jalan. Serta mod Lift/Offroad dengan ketinggian maksimum 60 mm. Bukan itu sahaja, gandar belakang juga direndahkan lebih kurang 45 mm bagi menambahkan kebolehcapaian bagi ruang penyimpanan barang di belakang.

Bagi imej yang ditampilkan, ia lebih kurang sama dengan varian 3.0 liter, kecuali dipadankan dengan roda aloi rekaan jejari-V 19-inci, berbanding 20-inci. Selain itu, ia masih mengekalkan gril bingkai tunggal yang lebar dengan lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Q7 2.0 TFSI quattro ini mampu memuatkan tujuh-penumpang dalam satu masa, turut dilengkapi dengan papan pemuka dua-tona berwarna kelabu perak serta kekemasan berlian, selain roda stereng empat-jejari dengan butang pelbagai-fungsi, pedal penukar gear, sistem infotainmen sentuhan MMI dengan navigasi MMI, kluster instrumen, sistem bunyi dengan sembilan-saluran amplifier dan 10-pembesar suara.

Dynamic photo  Colour: Tofana White

Turut ditampilkan tempat duduk hadapan boleh laras secara elektronik dengan sokongan belakang empat-cara, tempat duduk barisan kedua dengan ruang kaki yang besar dan konfigurasi tempat duduk barisan ketiga dengan boleh lipat secara nisbah 50:50 bagi memberikan ruang yang lebih besar pada bahagian kargo dari 770 liter menjadi 1,955 liter.

SUV ini turut didatangkan dengan sistem start/stop dengan pemulihan tenaga, indikator tekanan tayar, kawalan mendaki bukit, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, EBD< ABS dan lapan beg udara. Ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Glacier White, Floret Silver, Argus Brown, Ink Blue, Graphite Grey, Orca Black dan warna istimewa Daytona Grey dengan efek mutiara.

Sudah mula dibuka tempahan, Audi Q7 2.9 TFSI quattro yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan dengan harga bermula RM524,900 tanpa insurans. Ia turut ditawarkan dengan pakej pilihan S line yang lebih sporty dengan bampar hadapan dan belakang, diffuser, roda aluminium 20-inci serta roda stereng S line, tempat duduk sport dan kesemua pakej ini bernilai RM15,000.

Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai spesifikasi Audi Q7 2.0 TFSI quattro ini, sila layari carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required