Naza Corporation Holdings telah memberi ganjaran kepada empat atlet Malaysia yang memenangi pingat emas dan gangsa di Sukan Paralimpik Rio 2016. Di mana atlet paralimpik negara yang berjaya membawa pulang pingat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Mohamed Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, masing-masing menerima unit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan Kia Sportage baharu.

Manakala Siti Noor Radiah Ismail yang memenangi pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 pula dihadiahkan seunit Kia Rio Sedan.

“Untuk prestasi yang luar biasa dan memecah rekod mereka di Paralimpik Rio 2016, juara-juara ini layak untuk diiktiraf dan diberikan ganjaran dengan suite kediaman di Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 sebagai tambahan kepada Kia Sportage baharu bernilai RM121,888 dan Kia Rio Sedan bernilai RM72,888 yang keseluruhannya berjumlah hampir RM1.5 juta,” kata SM Nasarudin SM Nasimuddin, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings.

Sambungnya lagi, “Kami juga turut memberikan ganjaran kepada ketiga-tiga jurulatih Paralimpik, Jaganathan Ramasamy, Mohd Faizol Bin Harun dan Mohd Syahrul Amri Bin Mohd Suhaimi di atas usaha dan dedikasi mereka yang melatih atlit paralimpik sehingga menjadi seorang juara.”

Dengan pencapaian ini di Rio, SM Nasarudin berharap kejayaan ini dapat dilakukan di Sukan Paralimpik di Tokyo 2020. “Saya amat gembira dan berbangga kerana kejayaan ini merupakan kejayaan yang terbesar di dalam sejarah sukan para negara. Sebagai wakil Naza dan juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, perasaan bangga yang saya rasai amat berlainan sekali kerana saya diberi peluang untuk memberi penghargaan kepada individu-individu yang menakjubkan.”

Naza Corporation Holdings sebelum ini telah menaja pertandingan terbesar di peringkat antarabangsa dalam skuasy wanita, Kejohanan Skuasy Naza-PSA Dunia Wanita. Mereka juga akan menjadi penaja platinum untuk Sukan Kuala Lumpur 2017 yang akan datang.