uber-x-car_BM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan dianggarkan 50,000 hingga 60,000 individu berdaftar melalui aplikasi e-hailing sebagai pemandu perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grabcar di seluruh negara setakat ini, menurut laporan Bernama.

Wee memberitahu perkara berkenaan di persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah pengguna yang berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan Uber dan Grabcar di seluruh negara sehingga Oktober 2016.

Menurut Wee lagi,daripada jumlah itu hanya 20 peratus pemandu yang aktif manakala selebihnya pemandu separuh masa yang mempunyai pekerjaan tetap. “Kebanyakan pemandu yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grabcar tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang,” katanya.

Wee juga menjelaskan satu rang undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan ‘ride hailing’ akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan dan kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkenaan yang turut melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak.