proton_saga_ext-4

Bersempena dengan acara Stop the Crash ASEAN 2016 yang sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama dua hari, turut dianjurkan majlis penyampaian anugerah ASEAN NCAP Grand Prix (GP) 2016. Ia juga adalah bagi meraikan ulang tahun ASEAN NCAP yang kelima.

Proton telah diumumkan memenangi tiga anugerah menerusi kategori ‘Kereta Paling Mampu Milik ASEAN NCAP lima-bintang di Malaysia’ menerusi Iriz. Selain itu, Preve juga telah memenangi anugerah yang sama di bawah kategori Thailand. Malah Saga baharu juga tidak ketinggalan dikurniakan anugerah ‘Rising Star’ selepas menerima peningkatan empat-bintang apabila diuji pada tahun 2016, daripada hanya tiga-bintang (2013) dan dua-bintang (2012).

“Dengan rasa rendah diri, kami amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan. Ini merupakan kemuncak kepada usaha berterusan PROTON dalam memberikan lebih nilai kepada pelanggan. Proton memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali selaku CEO Proton.

Perodua_Bezza_Ext-3

Dalam penganjuran majlis yang sama, Perodua turut mencatatkan sejarah peribadinya apabila Bezza telah menerima anugerah Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) Terbaik dan Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) Terbaik, kedua-duanya bagi kategori kereta keluarga kecil.

“Kedua-dua anugerah ini merupakan pengiktirafan ke atas usaha kami yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan dalam produk kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan.

Pada 16 Julai 2016, Bezza juga diberikan penilaian lima-bintang daripada ASEAN NCAP, menjadikannya kereta sedan nasional mesra alam lima-bintang pertama di Malaysia.