Menurut Audi, 50% daripada model Audi TT yang terjual di seluruh dunia dilengkapi dengan sistam pacuan semua-roda. Oleh itu, Audi telah memutuskan untuk menawarkan sistem model generasi ketiga itu pada enjin 2.0 liter TDI.

Boleh didapati bagi versi Coupe dan Roadster, penjana kuasa TDI ini mampu menyalurkan kuasa sehingga 184 hp dan tork 380 Nm, yang disalurkan menerusi transmisi dwi-klac S tronic enam-kelajuan, dan ke semua roda. Sistem quattro menggunakan klac pelbagai-plat elektro-hidraulic untuk mengedarkan tork pada kedua-dua gandar.

Bagi prestasinya, TT Coupe 2.0 TDI quattro mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat, dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 234 km/j. Manakala bagi Roadster pula, ia mencecah tujuh saat bagi 0-100 km/j, dan kelajuan maksimumnya ialah 230 km/j. Berbanding setara dengan petrol (2.0 TFSI quattro S tronic), TDI lebih perlahan bagi 100 km/j iaitu 1.4 saat (bagi kedua-dua jenis kerangka) dan 16 km/j lebih perlahan untuk kelajuan maksimumnya.

Walau bagaimana pun, bagi enjin diesel ini, Coupe menggunakan sekitar 5.2 liter per 100 km, sementara Roadster pula 5.4 liter per 100 km (jika mengikut kitaran NEDC). Dengan perbandingan itu, TDI quattro bagi TT ini menggunakan antara 1.2 hingga 1.3 liter per 100 kurang berbanding model yang sama yang menggunakan petrol.