CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali sebelum ini telah menyatakan syarikatnya kini telah menyenarai pendek tiga pengeluar automotif asing yang bakal dipilih sebagai rakan strategik luarnya, tetapi kesemua calon tersebut masih lagi belum lagi diumumkan dan dijangka bakal lengkap pada suku pertama tahun ini.

Namun, dalam laporan New Straits Times, tiga calon yang berkemungkinan dipilih tersebut adalah Geely, Groupe PSA dan juga Renault. Calon-calon ini dijangka bakal memberikan sokongan dalam aspek teknologi serta skala ekonomi, dan sebagai pulangan, mereka akan diberikan sebahagian kepentingan di dalam Proton.

Geely merupakan pengeluar dari China yang kini turut mengusai jenama automotif dari Sweden iaitu Volvo. Group PSA pula merupakan kumpulan automotif dari Perancis yang di anggotai oleh Peugeot dan Citroen, manakala Renault pula merupakan sebahagian dari Pakatan Renault-Nissan yang kini merupakan kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia setelah mengambil alih 34% saham dan seterusnya memiliki Mitsubishi Motors Corporation.

Pencarian rakan strategik dari luar yang dilakukan Proton ini adalah sebagai memenuhi syarat kerajaan ketika meluluskan pinjaman mudah bernilai 1.5 bilion tahun lalu. Walau bagaimanapun, Datuk Fuaad dilaporkan telah membayangkan tarikh akhir pencarian tersebut yang dijangka pada Mac ini perlu ditunda, mungkin hingga ke Jun 2017. Menurut pengarah urusan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar pula, syarikatnya berharap pemilihan rakan strategik luar Proton ini akan lengkap pada separuh pertama tahun ini.