Tahun ini Proton telah berusaha keras dengan melancarkan empat buah model tahun 2016. Pengenalan model yang luas dari sedan segmen-A Saga, sedan segmen-B Persona, MPV segmen-B enam tempat duduk Ertiga hingga sedan eksekutif segmen-D Perdana, Proton dilihat seperti sedang melempar pukat yang besar, untuk mencakupi setiap segmen panas dalam lautan pasaran automotif di Malaysia.

Namun, usaha berkenaan dilihat masih lagi belum diterjemahkan dalam angka jualan. Proton mensasarkan untuk menjual 90,000 unit keretanya untuk tahun 2016, tetapi kini dilihat agak mustahil. Menurut CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali dalam laporan oleh Bernama, ini adalah kerana momentum pembelian untuk model-model baharu kini masih lagi sedang meningkat dan syarikat automotif nasional itu menjangkakan jualan akan meningkat untuk tahun hadapan.

“Penangguhan pelancaran model tertentu telah menjejaskan sasaran jualan untuk tahun 2016. Tetapi dengan kesemua empat produk, kami percaya tahun hadapan kami mampu untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya 10,000 unit sebulan, atau 120,000 unit untuk keseluruhan 2017,” jelasnya.

Menurut Datuk Ahmad Fuaad lagi, syarikatnya kini sedang menumpukan perhatian terhadap pelanggan. “Kesemua usaha yang dijalankan oleh Proton sekarang akan menumpukan perhatian terhadap pelanggan terlebih dahulu. Kami cuba untuk memastikan kepercayaan pelanggan kembali semula kepada Proton dan dengan memberikan mereka produk yang baik, jualan kami insyaallah akan menjadi lebih baik tahun hadapan,” katanya.

Pusat servis Proton terpilih kini sudah mula beroperasi tujuh-hari seminggu sebagai sebahagian usaha untuk memuaskan hati pelanggan. Setakat Disember ini, sebanyak 27 pusat servis telah pun mula beroperasi sepanjang minggu.

Proton juga telah menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion dari kerajaan pada April lalu, yang mana pemberian pinjaman berkenaan mensyaratkan Proton untuk mencari rakan strategik dari luar. Setakat ini, Proton telah pun menyenarai pendek tiga rakan kongsi yang berpotensi dan menurut Datuk Ahmad Fuaad, kesemua mereka mempunyai kriteria yang mampu untuk membawa Proton ke tahap yang lebih tinggi.

Datuk Ahmad Fuaad menjangkakan kertas cadangan lengkap akan diterima pada Februari 2017 dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada suku pertama 2017, setelah rakan strategik luar tersebut dipilih. “Mungkin akan ada perbincangan lanjut untuk membuat keputusan tetapi diharapkan perjanjian boleh ditandatangani pada Mei 2017,” katanya.