Sejak mula diperkenalkan, Toyota 86 (GT86 untuk pasaran Eropah) dianggap sebagai penyambung legasi kepada kereta sport ringan, mampu milik, pacuan belakang keluaran Toyota – Toyota Corolla AE86. Namun, jika model generasi baharu ini merupakan model ini sambungan dari generasi terdahulu, mengapa kod casisnya tidak berkesinambungan dengan AE86 dan tidak diberikan nama Levin atau Sprinter Trueno?

Menurut Toyota, 86 generasi baharu ini sebenar dibina bukan semata-mata sebagai gantian kepada AE86, malah ia turut mengambil insiprasi dari kereta-kereta sport ikonik Toyota terdahulu terutamanya Toyota GT2000 dan juga Toyota Sports 800.

Jadi, serentak dengan penyiaran galeri GT86 versi facelift, Toyota turut mempertemukan kereta sports generasi baharu ini bersama model-model ikonik Toyota terdahulu yang masih disimpan sebagai koleksi warisan di muzium mereka.

Toyota GT2000 merupakan kereta sport coupe dua pintu, pacuan roda belakang yang diproduksi Toyota antara tahun 1967 hingga 1970. Ia dikuasakan dengan enjin enam silinder sebaris 2.0 liter 3M dengan kepala silinder DOHC binaan Yamaha (merintis kepada kepala silinder DOHC siri “G” Toyota dan Yamaha selepas itu) dan disuap oleh tiga karburator perlumbaan side-draught Solex PHH 40.

Enjin berkenaan dipadankan kotak gear manual lima-kelajuan, serta diberikan LSD pada gandar belakang bersama cakera brek pada semua roda secara standard – pertama seumpamanya dalam sejarah produksi kereta Jepun.

Toyota Celica TA22 merupakan model generasi pertama dalam susur galur keluarga Celica. Model ini merupakan kereta sport flagship Toyota ketika mula diperkenalkan pada tahun 1970 dan nama Celica yang berasal dari bahasa Latin bermaksud “dari syurga” diberikan sempena kedudukan yang paling atas dalam hieraki barisan model keluaran Toyota.

Ia ditawarkan dengan pelbagai enjin bermula dari 1.4 liter hingga 2.2 liter, namun antara yang paling berkuasa adalah enjin 2T-G 1.6 liter DOHC disuap dengan dua buah karburator perlumbaan Solex Mikuni dari varian 1600GT. Model liftback kemudiannya diperkenalkan pada tahun 1973 yang menampilkan bentuk badan seperti Ford Mustang dan varian tertinggi 2000GT versi berkenaan dijana oleh enjin 18R-G 2.0 liter DOHC.

Toyota Corolla AE86 diperkenalkan pada tahun 1983 sebagai model tertinggi dalam barisan model Corolla generasi kelima (E80). Walaupun Corolla generasi berkenaan hadir sebagai model pacuan model hadapan, adik-beradik Levin dan Sprinter Trueno masih kekal dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang – dengan platform yang dibina bersama kebanyakkan komponen sama seperti Corolla generasi keempat (E70).

Model tertinggi dengan kod casis AE86 (Levin dan Trueno turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter karburator diberikan kod casis AE85) dikuasakan dengan enjin 4A-GE 1.6 liter DOHC EFI digandingkan bersama kotak gear lima-kelajuan manual. Walaupun kuasa diberikan tidak terlalu besar, dengan berat yang rendah dan dimensi yang sempurna, model ini masih lagi beraksi sebagai jentera perlumbaan yang kompetitif diseluruh dunia ketika ini, menentang kereta-kereta yang jauh lebih muda.

AE86 merupakan Corolla generasi terakhir yang menggunakan pacuan roda belakang. Masuk ke generasi keenam (E90), kesemua Corolla termasuk model berprestasi tinggi Levin dan Trueno dibina menggunakan platform pacuan roda hadapan yang sama. Namun Levin dan Trueno tidak dieksport ke Eropah, tetapi benua berkenaan menerima model istimewa Corolla GTi AE92.

GTi pasaran Eropah ini dibina berasaskan Corolla versi liftback dan hatchback tiga-pintu. Walaupun memacu roda hadapan, enjin 4A-GE T-VIS ‘Big Port’ pada GTi ini masih mampu memberikan sensasi pemanduan yang mengujakan.

Toyota MR2 merupakan kereta sport ringan Toyota yang diberikan enjin ditempatkan di bahagian tengah (antara belakang pemandu dan hadapan tayar belakang). Nama MR2 itu sendiri berasal dari ‘Mid-engine, Rear-wheel drive, 2 seater’, membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1984 menerusi model generasi pertama AW11.

Semasa diperkenalkan, ia dijana enjin 1.6 liter DOHC tanpa bantuan induksi paksaan 4A-GE sama seperti AE86, kemudian diberikan suapan supercharger menerusi enjin 4A-GZE pada tahun 1986. Evolusi MR2 diteruskan pada model generasi kedua SW20 pada tahun 1989 dan kemudian disambung oleh generasi ketiga ZZW30 yang diberi nama baharu – MR-S – pada tahun 1999.

Toyota Supra sebenarnya berasal dari keluarga Celica – di bina sebagai model flagship jenama tersebut. Ia bermula dari Celica liftback generasi kedua yang diberikan nama Celica XX atau Celica Supra. Nama yang sama dibawa pada Celica generasi ketiga, dan akhirnya pada generasi keempat, kedua-dua model ini dipisahkan – Celica dibina sebagai kereta sport kompak pacuan roda hadapan/4WD, manakala Supra dibina sebagai kereta sports penuh pacuan roda belakang dengan enjin enam-silinder.

Supra yang ditampilkan ini merupakan Supra generasi keempat, yang juga antara ikon kereta sport Jepun pada era 90’an, disamping Nissan Skyline GT-R dan Honda NSX. Ia ditawarkan dengan berberapa versi, antaranya 3.0 liter NA dengan enjin 2JZ-GE dan yang paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter turbo berkembar 2JZ-GTE.

Supra generasi baharu juga kini sedang dibangunkan oleh Toyota dengan kerjasama BMW. Jentera yang dijangka bakal membuat kemunculan sulung pada tahun hadapan tersebut kini dilihat sedang giat diuji di atas jalan raya dan juga di litar Nurburgring.

Toyota 86 generasi baharu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh model-model sports terdahulu – memberikan keseronokan memandu sebenar kepada mereka yang gemar memandu dan bertanding secara aktif pada perlumbaan-perlumbaan diseluruh dunia. Pembinaan model facelift yang diberikan pelbagai penambahbaikkan pada kerangka dan juga sistem elektronik berserta “Track Mode” masih diketua oleh Ketua Jurutera Global Toyota – Tetsuya Tada.

Selain dari model produksi, Toyota Eropah juga turut membina GT86-CS-R3 yang dibina berdasarkan spesifikasi undang-undang FIA WRC R3, yang membolehkannya bertanding di bawah mana-mana perlumbaan rali yang menggunakan regulasi berkenaan.

Selain itu, Toyota Eropah turut membantu menyediakan 86 untuk Juara Formula Drift Dunia 2015, Fredric Aasbo. Jentera yang diberi nama Toyota Express Service 86-X berkenaan dijana oleh enjin 2JZ dari Supra, diolah semula bagi memberikan kapasiti keseluruhan 3.4 liter berkuasa 1,172hp/1,594Nm, digandingkan bersama transmisi ‘dog-box’ NASCAR Toyota.