Nampak gayanya, sebuah SUV kompak baru akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Gambar yang dihantar oleh pembaca kami iaitu Mohd Faizul menunjukkan dua buah SUV, dengan jenamanya ditutup rapi sedang diangkut atas treler di Lebuh Raya Kesas. Walaupun begitu, nama model tersebut boleh dilihat di tepinya, iaitu Chevrolet Trax.

Model ini adalah sebuah crossover kompak global yang akan masuk dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Ford EcoSport dan juga Toyota C-HR. Bagi negara kita, Trax mungkin dianggap baru, tetapi sebenarnya ia sudah berada di pasaran antarabangsa sejak tahun 2012, dan model yang dilihat ini adalah versi facelift terkini yang tampil pertama kali tahun lalu.

Dalam negara Asean, Chevrolet Trax facelift ini sudah berada di pasaran Vietnam, manakala di Indonesia pula, model yang dipasarkan kini adalah model sebelum facelift yang diperkenalkan semasa IIMS 2016.

Panjang Chevrolet Trax adalah 4,248 mm, iaitu 47 mm lebih pendek berbanding Mitsubishi ASX, tetapi ukuran lain antara keduanya adalah hampir sama. Jarak roda Trax adalah 2,555 mm dan menurut Chevrolet, ia cukup untuk memuatkan lima orang dalam keadaan selesa. Tempat duduk belakangnya boleh dilipat 60:40 dan mempunyai luas ruang barangan 1,370 liter.

Di Vietnam dan Indonesia, Trax ditawarkan dengan versi yang dikuasakan enjin 1.4 liter Ecotec Turbo, mampu menghasilkan 140 PS dan 200 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Tiptronic dan spesifikasi ini dijangka digunakan juga untuk model pasaran Malaysia.

Gambar ini menunjukkan dua varian berbeza, di mana kereta berwarna biru mempunyai spesifikasi lebih tinggi, kerana ia menggunakan rim yang lebih besar dan panel bawah bampar yang berwarna kelabu. Kedua-dua kenderaan ini mempunyai lampu siang LED, lampu utama projector dan lampu kabus.

GALERI: Chevrolet Trax 2016 spesifikasi Indonesia