Zhejiang Geely, pengeluar automotif dari China dijangka akan memulakan bidaan seawal minggu ini bagi mendapatkan tempat sebagai rakan strategik luar untuk Proton, lapor Reuters. Perkara ini diberitahu kepada agensi berita berkenaan oleh berberapa sumber dalaman yang mengikuti proses bidaan berkenaan.

Sumber berkenaan turut memberitahu Geely bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran tersebut.

Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan bersama Volvo, jelas sumber tersebut. Tambah sumber itu lagi, dengan menawarkan Proton berberapa teknologinya, Geely mensasarkan untuk menerjah masuk ke pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), menerusi Proton.

Kerjasama yang signifikant bersama Proton ini bakal memberikan syarikat China tersebut asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD global. “Sejumlah lapan juta kenderaan RHD dijual di seluruh dunia setiap tahun. Geely tidak pernah menjual walau seunit pun kereta RHD, jadi kereta Geely akan dijual di bawah Proton, jika tidak Geely perlu membuat bayaran lesen yang besar,” jelas salah seorang sumber berkenaan kepada Reuters.

Menurut sumber berkenaan lagi, pelaburan dari Geely akan membantu Proton untuk mengembangkan pasaran eksportnya dan mengambil semula bahagian pasarannya yang hilang pada berberapa tahun kebelakangan ini. “Rancangan sepenuhnya pada asasnya untuk melabur di dalam Proton bagi mengembalikannya pada tahap global (untuk jualan) yang dicapai pada era 90’an,” tambah sumber itu lagi.

Walau bagaimanapun tiada petunjuk tawaran yang bakal diberikan pada Geely – yang menurut sumber tersebut ia merupakan bahagian terakhir untuk proses bidaan ini – termasuk tawaran kepentingan di dalam Proton. Tambah mereka, Geely berminat untuk mengambil sekurang-kurangnya 51% kepentingan Proton.

Reuters seterusnya menghubungi DRB-Hicom namun menurut syarikat berkenaan tiada apa perkara baharu yang boleh dinyatakan. “Kami sedang menilai bidaan yang diterima. Tiada pendedahan akan diumumkan sehingga rakan strategik luar ini dipilih,” ujar jurucakapnya. Sementara itu Geely turut enggan untuk mengulas spekulasi ini.

Laporan turut menyebut Geely dan PSA Groupe dari Perancis sedang mendahului bidaan untuk menjadi rakan strategik Proton. Minggu lalu, DRB-Hicom sekali lagi menegaskan mereka kini sedang menumpukan pada proses kritikal untuk mengenal pasti rakan yang paling ideal untuk Proton.

Syarikat berkenaan akan mengumumkan secara formal keputusan pencarian rakan strategik ini – yang turut termasuk penyatuan kedua-dua kilang syarikat tersebut yang terletak di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam, Selangor – pada penghujung separuh pertama 2017, dan bakal dilengkapkan secepat mungkin.

Hari ini juga kerajaan menafikan khabar angin bahawa Proton akan menjual 51% sahamnya kepada rakan asing, serta menyatakan tidak akan masuk campur terhadap urusan pemilihan rakan strategik ini kerana Proton kini bukan milik kerajaan, tetapi DRB-Hicom.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan akhir masih lagi belum dicapai. “Kerajaan bukannya gadai hak negara tetapi mencari peluang untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia,” jelas Ong.

Sebelum ini, kerajaan turut mengatakan pihak mereka tidak mempunyai masalah sekiranya DRB-Hicom mahu menjual kepentingan di dalam Proton. Sementara itu, DRB-Hicom sebelum ini mengatakan Proton akan kekal sebagai pembuat automotif nasional negara, dan menegaskan mereka akan kekal sebagai pemegang ekuiti majoriti di dalam Proton.