Ketua pegawai operasi (COO) Mitsubishi yang baharu, Trevor Mann, mahu budaya asal yang diamalkan syarikatnya itu diubah bagi membolehkan ia bergerak kehadapan dan keluar dari situasinya sekarang, menurut laporan CarAdvice.

Mann yang sebelum ini merupakan eksekutif berpengalaman dari Nissan diberikan tanggungjawab baharu ini tahun lalu, setelah Pakatan Renault-Nissan memiliki Mitsubishi Motors setelah mengambilalih 34% kepentingan syarikat automotif Jepun berkenaan.

Bercakap kepada media semasa berlangsungnya Geneva Motor Show 2017, COO baharu itu menegaskan asas budaya dalam Mitsubishi perlu diubah dan menjelaskan ini merupakan sebab utama mengapa Mitsubishi mahu mendapatkan bantuan dari Nissan. Walau bagaimanapun, Mann mengatakan perniagaan asas Mitsubishi setakat ini masih dalam keadaan baik.

“Mitsubishi tidak dipenuhi oleh orang yang tidak baik, jauh daripada itu, mereka merupakan orang-orang yang sangat baik, jurutera yang kompeten yang mahu lebih maju dan membuat kerja yang baik. Mengapa berberapa perkara terjadi sebelum ini? Kami perlu melihatnya semula dan membuat perubahan.”

Jelas Mann lagi, buat masa sekarang Nissan sedang dalam usaha untuk mengubah berberapa isu-isu yang sangat penting berkenaan syarikat tersebut. “Berberapa asas yang perlu kami ‘berikan kejuruteraan semula menggunakan kejuruteraan kami’, dalam proses yang kami lalui untuk membina teknologi dan platform dan kenderaan kami – untuk memastikan semuanya kukuh dan jelas, serta jelas mengikut arah yang betul,” katanya.

“Kami sedang memperkukuhkan organisasi kami supaya kami memperolehi tadbir urus yang baik serta etika perniagaan yang sangat kuat, membolehkan kami bersifat sangat terbuka. Jadi jika seseorang melihat sesuatu yang tidak betul, mereka tidak takut untuk mengangkat tangan dan berkata ‘tolong lihat perkara ini’,” tambah Mann lagi.

Beliau menjelaskan ia bukan bermaksud syarikat tersebut teruk tetapi sudah jelas sebelum ini memang sesuatu yang teruk telah terjadi dan ia disebabkan pelbagai faktor, jadi mereka perlu memastikan ia perlu dirujuk setiap satu daripadanya.

“Jadi berkenaan organisasi syarikat, berkenaan struktur, fungsi bersilang, ketelusan dan etika perniagaan, kami sedang menilainya semula bagi memastikan kami sebuah syarikat yang kukuh dan pada arah yang betul,” jelas Mann lagi.

Pelbagai perancangan produk telah dilakukan diumumkan oleh Pakatan Renault-Nissan untuk Mitsubishi sebelum ini termasuk membina platform kenderaan elektrik bersama dan juga akan menggugurkan berberapa modelnya seperti Lancer bagi memberi laluan kepada pembinaan barisan model SUV dan kenderaan perdagangan ringan yang dilihat lebih berpotensi.