mitsubishi-ek-wagon

Satu lagi skandal terbongkar, kali ini melibatkan angka penggunaan bahan api. Mitsubishi Motors Corporation (MMC), mengakui telah memanipulasi data ujian penggunaan bahan api pada empat model kereta mini ketika mempersembahkan pencapaian angka penjimatan bahan apinya.

Semalam syarikat berkenaan telah mengumumkan menerusi kenyataan rasmi bahawa ujian penggunaan bahan api telah ‘diubah’ ketika mengendalikan ujian terhadap Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, yang dibangunkan dan dibekalkan kepada Nissan sejak Jun 2013.

Terdapat lebih setengah juta kereta yang terlibat dan MMC berkata sehingga Mac tahun ini, sebanyak 157,000 unit eK Wagon dan eK Space telah terjual dan telah membekalkan sejumlah 468,000 unit Dayz dan Dayz Roox kepada Nissan. Mitsubishi juga berkata sejak pembangunan model-model tersebut dan bertanggungjawab mendapatkan pensijilan yang relevan untuk mereka, maka adalah perlu untuk mengendalikan ujian penggunaan bahan api.

Nissan Dayz dan Dayz Roox

Isu ini timbul apabila Nissan telah mengambil keputusan untuk melakukan sendiri penyelidikan bagi pembangunan generasi akan datang untuk kereta mininya, selain melakukan sendiri ujian penggunaan bahan api untuk rujukannya sendiri. Namun ia mendapati data yang diberikan sebelum ini tidak begitu bertepatan, lantas meminta MMC untuk menyemak semula hasil ujian tersebut.

Berikutan permintaan itu, Mitsubishi telah melakukan siasatan dalaman dan mengeluarkan pengolahan data dan melihat hasil ujian tersebut agak tidak selari dengan apa yang sepatutnya. Walau bagaimana pun kaedah ujian tersebut turut digunakan oleh model-model lain yang dihasilkan bagi pasaran domestik Jepun.

MMC turut berkata ia telah pun menghentikan serta-merta pengeluaran dan jualan model-model terbabit dan merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar luar untuk melakukan siasatan ke atas perkara ini. Malah Nissan juga turut menghentikan jualan model-model yang terjejas dan akan berbincang dengan MMC berhubung dengan ganti rugi disebabkan isu ini.