Jika anda mahukan sebuah trak pikap yang garang dari Ford dengan harga yang lebih rendah dari varian Wildtrak 3.2L, kini Sime Darby Auto Connexcion (SDAC) bakal menawarkan Ranger dengan imej agresif tetapi lebih mampu milik berbanding varian tertinggi berkenaan, digelar Ranger FX4. Model tersebut diasaskan dari varian 2.2 XLT tetapi diberikan kemasan unik pada bahagian luaran dan dalaman, bakal menerjah pasaran secara rasmi pada 20 April ini.

Tiada perubahan mekanikal diberikan pada FX4, bermaksud ia masih dijana enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang sama dengan XLT, berkuasa 158 hp dan tork maksima 385 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan bersama sistem pacuan empat roda serta gear rendah dan kawalan menuruni bukit.

Pada bahagian luaran, FX4 menerima kemasan hitam kilat pada gril hadapan (krom pada model XLT standard), perumah cermin sisi dan juga pemegang pintu. Ia juga menerima rel bumbung (tiada pada XLT), serta bar side step yang lebih lebar dan rata seiras yang dipadankan pada Wildtrak.

Untuk pelekat badan pada bonet hadapan dan pintu tailgate belakang pula, ia tidak mengenakan serlahan warna kontras, sebaliknya masih menggunakan warna hitam tetapi dengan kemasan matte. Sebagai melengkapkan imejnya yang kini lebih garang, FX4 diberikan rim 18-inci dengan enam jejari berkembar kemasan hitam.

Sebagai membezakan XLT standard dan FX4, varian baharu ini menerima upholsteri kulit yang kelihatan lebih sporty dan premium, bersama cop logo FX4 pada tempat duduk. Ciri XLT lain masih dikekalkan, termasuk kamera undur dengan fungsi pemantauan bahagian belakang yang bersepadu pada skrin infotaimen SYNC bersaiz 4.2-inci.

Juga sama seperti XLT, FX4 turut diberikan lampu automatik (bersama lampu hadapan halogen), penggilap cermin automatik, penghawa dingin manual, cermin pandang belakang anti-silau automatik, roda stereng kulit serta tempat duduk pemandu larasan berkuasa empat-hala. Untuk keselamatan, trak pikap ini juga masih diberikan dua-beg udara bersama kawalan kestabilan.

Ford Ranger 2.2L FX ditawarkan dengan dua pilihan warna badan iaitu Meteor Grey dan Aluminium Metallic, dijual pada harga RM121,888 di semenanjung Malaysia dan RM127,688 di Sabah dan Sarawak. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga jangkaan atas jalan tanpa insuran.