BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

Sementara BMW masih belum mengesahkan akan mengeluarkan M2 versi yang lebih berkuasa, sebuah syarikat ubah suai kenderaan Jerman, Lightweight Performance telah melakukannya lebih awal, dan model yang diubah suai tersebut dipanggil sebagai M2 CSR, yang bermaksud “Carbon Sport Race.”

Dengan nama seperti itu, sudah tentu, orang ramai menjangkakan penggunaan meluas gentian karbon, dan ia memang benar. Beberapa elemen pada pakej aerodinamik serta badan kenderaan ini diperbuat daripada gentian karbon, termasuk lapik cermin sisi, kemasan ekzos, diffuser belakang, bumbung, pintu dan penutup but.

Perubahan luaran lain yang dilakukan pada kenderaan ini adalah pembelah angin hadapan yang agresif, sayap belakang besar dan set rim aloi ringan yang dibalut tayar Michelin Cup 2 saiz 265/35 di hadapan dan 295/30 di belakang. Terdapat juga banyak kemasan berwarna merah serta lencana khas, dan tema ini diguna juga pada bahagian dalam.

Di dalam, hampir keseluruhan permukaan yang boleh dicapai diperbuat daripada gentian karbon untuk meningkatkan lagi aspek ringan yang sudah menjadi pakej bagi kenderaan ini. Tidak cukup dengan itu, tempat duduk belakang juga telah dibuang dan diganti dengan roll cage yang dicat warna merah untuk menjadikannya serasi dengan bahagian lain.

Dua tempat duduk yang tinggal di hadapan juga diperbuat daripada gentian karbon dengan bentuk bucket, lengkap bersama tali pinggang lumba. Pada bahagian penyandar tempat duduk ini, terdapat sulaman M2 CSR yang menjadikannya lebih unik. Semua penggunaan gentian karbon ini menjadikan M2 CSR 195 kg lebih ringan berbanding kereta standard, pada 1,371 kg.

BMW M2 CSR oleh Lightweight Performance – 610 hp

Walaubagaimanapun, Lightweight Performance turut bertindak menukar enjin asal N55 M2 kepada unit S55 iaitu enjin yang digunakan pada M3 dan M4. Hasilnya, M2 CSR mampu menghasilkan 610 hp dan 767 Nm tork, dan catatan ini adalah 240 hp dan 302 Nm lebih berbanding M2 biasa.

Catatan masa pecutan yang lebih pantas boleh dijangka dan kenderaan ini boleh mencapai kelajuan maksimum 328 km/j. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan ataupun DCT M tujuh kelajuan, dengan kuasa disampaikan kepada tayar belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required