Nampaknya kerjasama antara Proton-Geely menarik minat ramai pereka grafik dan olahan digital untuk membayangkan penawaran masa depan yang akan terhasil daripada usaha berkenaan.

Walaupun ada yang bersikap sinikal terhadap kerja-kerja sampingan seperti ini – kerana menurut mereka ia hanya sia-sia dan tidak akan menjadi kenyataan – namun di satu sisi lain ia hadir sebagai sebuah harapan dan semacam sokongan positif kepada pengeluar kenderaan nasional itu.

Sebelum ini kami pernah paparkan rekaan bayangan terhadap SUV pertama Proton yang mengambil inspirasi dari model Geely Boyue yang dihasilkan oleh Theophilus Chin. Ini diikuti juga oleh rekaan dan ilustrasi digital terhadap model SUV yang daripada sentuhan Saharudin Busri dari MIMOS, yang tampil dengan rekaan model yang dipanggil Proton Bayu.

Kali ini, sebuah lagi rekaan atau imej render secara digital muncul, hasil imajinasi dan kreativiti juga dari Theophilus Chin, yang dikongsikan dengan kami. Lebih menarik, beliau tidak meneruskan imej bayangan bagi model SUV pertama Proton yang diumumkan itu, tetapi mengalihkan perhatian kepada sebuah rekaan kenderaan hatchback.

Beliau menampilkan Proton Satria yang diberi banyak perubahan dan sentuhan baru. Rekaan ini mengambil model Geely GS sebagai asasnya, tampil dengan sangat ringkas dan tetap kemas. Gril utama dengan “sayap” yang panjang berwarna krom, serta logo baru Proton, ia memberikan daya tarikan tersendiri.

Ini ditambah dengan rekaan ala ruang udara di bahagian tepi bampar, serta bahagian tengah bampar yang sama kelihatan terhampar luas, dengan bukaan luas yang turut menempatkan apa yang kelihatan seperti petak hitam kecil bagi kedudukan sensor.

Rekaan profil sisi, pendekatan lekuk dan garis badan yang ringkas dan bersih diteruskan lagi. Bahagian “bahu” disisi juga kelihatan agak ketara, turut menempatkan cermin sisi dengan dua tona warna. Ini selari juga dengan penggunaan dua tona warna pada keseluruhan badan kereta ini, dengan bahagian bumbung berwarna hitam, membezakannya dari warna badan.

Rim dengan rekaan “bilah kipas” juga menyuntik imej sporty bagi model hatchback tiga pintu ini – meneruskan rekaan tradisi model Satria dari dahulu sehinggalah kepada versi Satria Neo. Bahagian belakang menggunakan lampu dalam rekaan C, mungkin LED, dengan rekaan keseluruhan lampu belakang yang sama ringkas – juga menerapkan rekaan two piece.

Alur pada pintu belakangnya juga tampil satu laku lengkung di bahagian bawahnya, untuk dipadankan dengan rekaan bampar belakang yang nampak padat dan menonjol. Imej dibahagian belakang ini disempurnakan dengan bahagian hitam pada bampar, dengan ruang nombor plat yang tersedia di situ, serta hujungnya dengan tambahan lampu reflektor atau lampu kabus. Tidak lupa juga rekaan spoiler kecil yang menjadikannya kelihatan sporty.

Apa pandangan anda? Katakanlah rekaan ini akan menjadi kenyataan nanti, adakah ia mampu meneruskan tradisi dan imej hatchback Proton Satria yang merupakan antara model dengan rekaan paling segar untuk muda-mudi yang dihasilkan Proton sejak dulu?