TIP: Berhati-hati di jalan raya, sila amalkan pemanduan berhemah – Pandu cermat, jiwa selamat

TIP: Berhati-hati di jalan raya, sila amalkan pemanduan berhemah – Pandu cermat, jiwa selamat

Pantasnya masa berlalu. Tinggal empat hari saja lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan Syawal dan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Sedih juga hendak meninggalkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Moga ia bukan Ramadan terakhir buat kita semua.

Pastinya setiap antara kita mahu meraikan Aidilfitri dengan keluarga dan insan yang tersayang. Pulang ke kampung halaman pastinya menjadi keutamaan, bertemu ibu ayah tercinta dan berkumpul seisi keluarga mengeratkan lagi ikatan kasih sayang. Biar pun mungkin terpaksa memandu dalam masa yang panjang kerana jarak, namun pasti terbayang wajah yang kita sayang, yang sedang menanti di kampung halaman. Oh! Tidak sabarnya hendak pulang ke kampung.

Hari Raya ini juga masa yang dinantikan untuk saling kunjung-mengunjungi sanak saudara dan kenalan di merata lokasi dan mungkin ada yang merencana percutian bersama keluarga. Memilih untuk memandu atau road trip ke destinasi yang menjadi pilihan pastinya menyeronokkan. Biarpun penat kerana merentasi perjalanan panjang, mungkin tersekat dalam kesesakan trafik, perbelanjaan bertambah untuk menampung kos bahan api, tol dan penyelenggaran kenderaan, namun ibarat ‘setahun sekali, Syawal datang lagi’, pastinya itu bukan halangan untuk kita bersuka ria di Hari Raya.

Untuk yang bakal memulakan perjalanan dengan memandu, kami ingin berkongsikan sedikit panduan untuk anda. Perkara utama yang ingin kami titipkan; ‘Sila mengamalkan pemanduan berhemah, berhati-hati di jalan raya. Ingatlah insan yang tersayang.’

TIP: Berhati-hati di jalan raya, sila amalkan pemanduan berhemah – Pandu cermat, jiwa selamat

Persediaan sebelum memulakan perjalanan :
1) Sila lakukan pemeriksaan kenderaan anda di pusat servis kenderaan yang dipercayai. Periksa keadaan tayar kenderaan, minyak enjin, bateri dan air bateri, pendingin hawa dan sebagainya. Pastikan kenderaan anda diselenggara dengan baik dan selamat dipandu.

2) Jangan lupa memeriksa tayar simpanan dan pastikan anda membawa air bateri, minyak enjin, peti pertolongan kecemasan, pemadam api bersaiz kecil serta peralatan yang berkaitan sekiranya diperlukan ketika kecemasan. Pastikan juga lampu utama, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.

3) Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh. Memandu di dalam keadaan yang mengantuk dan letih adalah berbahaya.

4) Pastikan anda turut menyemak lokasi berehat termasuk stesen minyak sepanjang perjalanan.

5) Memandangkan ramai yang berpusu-pusu ke kampung halaman masing-masing, anda disarankan agar merancang perjalanan supaya tidak terkandas di dalam kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di lebuh raya utama pada musim perayaan. Anda juga boleh mengikuti perkembangan trafik daripada syarikat konsesi lebuh raya. Malah PLUS turut berkongsikan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 21 Jun hingga 3 Julai ini.

6) Sekiranya perlu, anda boleh menggunakan GPS, Waze, Google Maps atau aplikasi yang berkaitan untuk merancang perjalanan anda. Aplikasi sebegini boleh membantu anda mengetahui laluan alternatif sekiranya jalan yang biasa anda lalui mengalami kesesakan atau pun kerosakan.

7) Sila pastikan anda turut menyimpan nombor-nombor penting sekiranya berlaku sebarang kecemasan semasa pemanduan. Termasuklah nombor telefon keluarga terdekat, balai polis berhampiran dan juga mekanik yang dipercayai.

8) Bagi yang menggunakan perkhidmatan Smart Tag atau pun Touch & Go, sila pastikan anda sudah membuat isian semula kad tersebut. PLUS telah mengumumkan semua lorong tambah nilai di plaza tolnya ditutup selama seminggu mulai 22 Jun hingga 2 Julai. Jadi, pastikan anda menambah nilai kad tersebut lebih awal dan secukupnya.

TIP: Berhati-hati di jalan raya, sila amalkan pemanduan berhemah – Pandu cermat, jiwa selamat

Semasa dalam perjalanan :

1) Tetapkan kelajuan mengikut keadaan trafik semasa. Elakkan memandu perlahan di lorong kanan, memotong dari lorong kiri dan menggunakan laluan kecemasan. Amalkan sikap saling bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya.

2) Gunakan lampu isyarat jika ingin memotong kenderaan lain atau mengubah laluan.

3) Patuhi papan tanda yang menjadi panduan dalam pemanduan seperti mengetahui kawasan berisiko kemalangan, angin lintang dan sebagainya.

4) Jika hari hujan atau pun cuaca gelap, pastikan anda memasang lampu utama dan bukannya menggunakan hazard light. Perlahankan kenderaan sekiranya jarak penglihatan anda terbatas. Elakkan daripada memandu laju.

5) Awasi jarak pemanduan anda. Jangan sesekali mengekori kenderaan di hadapan secara dekat kerana ia boleh mengundang padah terutamanya jika ia brek mengejut atau pun memasuki simpang secara mendadak.

6) Pastikan anda dan para penumpang memakai tali pinggang keselamatan.

7) Sentiasa fokus pada pemanduan. Jangan sesekali menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu. Jika ada panggilan masuk atau membuat panggilan keluar, anda disarankan menggunakan kit bebas tangan atau kemudahan bluetooth yang boleh disambung terus pada kenderaan anda.

8) Jika mengantuk, seeloknya anda berhenti di tempat yang selamat untuk berehat atau boleh bergilir-gilir memandu dengan keluarga dan rakan yang bersama anda. Baru-baru ini, kami telah berkongsikan artikel mengenai gejala ‘microsleep’ iaitu badan ‘tidur’ buat seketika. Di mana segala input dari deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses otak. Tempoh microsleep adalah antara satu hingga 30 saat. Ia boleh berlaku walaupun mata masih terbuka. Seperti sebuah komputer, otak telah “shut down”. Ia juga boleh berlaku sewaktu kita sedang memandu. SILA BACA ARTIKEL TERSEBUT DI SINI.

9) Kerap melihat cermin pandang belakang dan cermin sisi. Ia boleh membantu anda mengetahui keadaan lalu lintas di belakang kenderaan anda. Malah ia juga boleh dijadikan panduan sekiranya anda mahu menukar lorong, memecut atau memotong kenderaan lain.

10) Selepas memandu dalam tiga hingga empat jam, disarankan untuk berhenti seketika di kawasan rehat yang selamat untuk merehatkan fizikal dan mental anda. Ia juga untuk memastikan kenderaan anda juga dapat berehat seketika bagi mengelakkan enjin terlampau panas dan sebagainya.

Semoga anda selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required