Disamping kemunculan sulung SUV Geely Boyue pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Proton dan Zhejiang Geely hari ini, Proton turut mempamerkan MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora versi kemaskini untuk tahun 2017.

Seperti yang anda boleh lihat, Exora disegarkan ini menerima berberapa sentuhan perincian baharu seperti yang diterima oleh Iriz facelift 2017 sebelum ini. Antara perubahan berkenaan termasuk kemasan hitam yang diberikan pada kit badan iaitu lip spoiler hadapan dan belakang serta skirt sisi.

Warna hitam turut diberikan pada gril hadapan (menggantikan bar krom sebelum ini), penutup cermin sisi, bumbung, spoiler bumbung serta kemasan pada pintu tailgate belakang.

Kemasan pelindung pintu yang telah ditiadakan pada versi tingkat taraf sebelum ini nampaknya dikembalikan untuk model 2017, juga diberikan warna hitam. Logo-logo 3D baharu Proton juga kini menggantikan logo-logo lama yang terdapat pada Exora sedia ada.

Bagi melengkapkan rupa keseluruhannya, Exora kini menerima rim-rim aloi bersaiz 16-inci yang diambil dari Proton Inspira tetapi diberi kemasan dua-ton – aloi digilap bersama rona hitam.

Sedikit perubahan perincian dapat dilihat pada bahagian dalaman antaranya kemasan seperti elemen aloi pada konsol tengah dan sekeliling tuil penukar gear serta roda sterengnya kini diberikan unit yang sama diambil dari sedan Preve. Ia turut diberikan satu slot USB yang diletakkan pada ruang storan berhampiran tuil brek tangan.

Tiada sebarang perincian rasmi dikeluarkan oleh Proton setakat ini, dan menerusi apa yang kami nampak, Exora masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.6 liter CFE Turbo digandingkan bersama kotak gear CVT. Apa yang boleh dijangkakan, Exora 2017 mungkin diperhalusi pada talaan enjin dan transmisi CVT, serta pelbagai kerja yang dilakukan untuk menambah baik aspek NVH – kemaskini yang sama diberikan terhadap Proton Iriz 2017.

Selain itu, Proton juga masih lagi belum mengumumkan tarikh sebenar Exora ini akan dilancarkan, serta harga jualannya nanti. Jadi, teruskan bersama kami untuk sebarang maklumat baharu.